Sabtu, 30 April 2016

39:32-37 Tafsir Surah Az Zumar, ayat 32-37.

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَذَبَ عَلَى اللَّهِ وَكَذَّبَ بِالصِّدْقِ إِذْ جَاءَهُ أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِلْكَافِرِينَ (٣٢) وَالَّذِي جَاءَ بِالصِّدْقِ وَصَدَّقَ بِهِ أُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ (٣٣) لَهُمْ مَا يَشَاءُونَ عِنْدَ رَبِّهِمْ ذَلِكَ جَزَاءُ الْمُحْسِنِينَ (٣٤) لِيُكَفِّرَ اللَّهُ عَنْهُمْ أَسْوَأَ الَّذِي عَمِلُوا وَيَجْزِيَهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ الَّذِي كَانُوا يَعْمَلُونَ (٣٥) أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ وَيُخَوِّفُونَكَ بِالَّذِينَ مِنْ دُونِهِ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ (٣٦) وَمَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ مُضِلٍّ أَلَيْسَ اللَّهُ بِعَزِيزٍ ذِي انْتِقَامٍ (٣٧)

Orang-orang musyrik telah mengada-adakan kedustaan terhadap Allah dan menjadikan tuhan-tuhan lain besertaNya, mengatakan bahawa malaikat-malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah, berkeyakinan bahawa Allah beranak. Mereka mendustakan perkara yang hak ketika perkara yang hak itu datang kepada mereka melalui lisan rasul-rasul Allah,

Kerana itu Allah s.w.t. berfirman,

"32. Maka siapakah yang lebih zalim dari orang yang membuat kedustaan terhadap Allah dan mendustakan dengan kebenaran ketika datang kepadanya?" 

Orang yang paling zalim adalah orang yang mengadakan kedustaan terhadap Allah s.w.t. Mereka menisbatkan sekutu dan anak kepadaNya atau menisbatkan sesuatu yang tidak layak lainnya kepadaNya. Termasuk juga mengaku menjadi nabi atau memberitahukan bahawa Allah berfirman begini dan begitu atau memutuskan ini dan itu, padahal ia dusta. Berkata terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui itu termasuk dosa besar. Mereka mendustakan kebenaran (rasulNya) setelah datang dengan membawa bukti-buktinya dengan jelas.

Jika ia menggabung antara berdusta terhadap Allah dan mendustakan yang hak, mereka telah melakukan dua kebatilan serentak, iaitu membuat-buat kedustaan terhadap Allah dan mendustakan kebenaran, maka bererti zalim ditambah zalim.

"Bukankah dalam neraka Jahannam tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?" 

Di sana hak Allah akan diambil dari orang zalim dan kafir, iaitu orang-orang yang ingkar kepada Allah dan mendustakan rasulNya.

"33. Dan orang yang datang dengan kebenaran dan orang yang membenarkan dengannya, mereka itulah orang-orang yang bertakwa." 

Iaitu Nabi Muhammad s.a.w. bersama kaum mukmin. Mereka beriman kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya. Rasulullah s.a.w. membawa kebenaran baik dalam ucapannya maupun amalnya.

Kebenarannya menunjukkan keilmuan dan keadilannya. Pembenarannya menunjukkan ketawadhu’an dan tidak sombong. Kebenaran yang dimaksudkan adalah kalimah "tidak ada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah."

Mereka mengamalkan Al Qur'an. Mereka datang pada hari kiamat dan mengatakan, "Inilah yang telah Engkau berikan kepada Kami, maka kami mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya sesuai dengan apa yang Engkau perintahkan kepada kami."

"34. Bagi mereka apa yang mereka kehendaki di sisi Tuhan mereka." 

Berbagai kesenangan yang mereka inginkan akan mereka peroleh dan telah disediakan di syurga nanti, apa pun yang mereka minta, mereka akan mendapatnya.

"Itulah balasan orang-orang yang berbuat baik." 

Iaitu mereka yang beribadah kepada Allah seakan-akan mereka melihatNya, jika mereka tidak merasakan begitu, maka sesungguhnya Dia melihat mereka. Di samping berbuat ihsan dalam beribadah, mereka juga berbuat ihsan kepada hamba-hamba Allah.

"35. Kerana Allah akan menghapus dari mereka paling buruk yang mereka kerjakan" 

Kerana ihsan dan ketakwaan mereka. Amal yang dikerjakan manusia ada tiga macam; buruk, baik, dan yang bukan baik dan bukan buruk, iaitu amal yang mubah (boleh) dimana tidak ada pahala dan siksa terhadapnya. Yang buruk adalah semua maksiat, yang baik adalah semua ketaatan.

"dan memberi mereka balasan pahala mereka dengan yang lebih baik yang mereka kerjakan." 

FirmanNya, “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarrah, dan jika ada kebajikan sebesar zarrah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisiNya pahala yang besar.” (An Nisa’: 40)

"36. Bukankah Allah yang mencukupi hambaNya?" 

Kerana kemurahan dan perhatianNya kepada hambaNya, Dia mencukupkan hambaNya baik urusan agama maupun dunianya serta menghindarkan bahaya dari orang yang memusuhinya. Terlebih hamba adalah hamba yang paling sempurna kehambaannya kepada Tuhannya, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t. memberikan kecukupan kepada hambaNya yang bertawakal kepadaNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Beruntunglah orang yang mendapat petunjuk kepada Islam dan kehidupannya seadanya dan menerima dengan seadanya."

"Dan mereka menakuti kamu dengan yang sesembahan selain Dia?"

Orang-orang yang musyrik itu menakut-nakuti dan mengancam Rasulullah s.a.w. dengan berhala-berhala yang mereka sembah selain Allah itu akan menimpakan bahaya atau bencana. Anggapan ini muncul kerana kesesatan dan kebodohan mereka.

"Dan barang siapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada baginya dari pemberi petunjuk." 

Barang siapa dibiarkan sesat oleh Allah maka tidak seorang pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.

"37. Dan barang siapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada baginya dari seorang yang menyesatkan." 

Barang siapa diberi petunjuk oleh Allah, maka tidak seorang pun yang dapat menyesatkannya. 

Di Tangan Allahlah hak memberi hidayah dan menyesatkan, dimana apa yang Dia kehendaki pasti terjadi dan yang tidak Dia kehendaki tidak akan terjadi.

"Bukankah Allah Mahaperkasa"

Dia memiliki keperkasaan yang sempurna, dimana dengan keperkasaanNya Dia tundukkan segala sesuatu dan dengan keperkasaanNya Dia cukupkan hambaNya dan memberikan perlindungan kepadanya.

"mempunyai hukum?"

Allah s.w.t. itu adalah Zat Yang Mahaperkasa Yang tidak tertandingi. Maka barang siapa yang menyandarkan dirinya kepada Allah s.w.t. dan berlindung kepadaNya, maka sesungguhnya Dia Mahaperkasa, tiada yang lebih perkasa, dan tiada pula yang lebih keras pembalasannya terhadap orang-orang yang kafir dan musyrik kepadaNya serta menentang RasulNya selain Dia.

Dia mempunyai kekuasaan menghukum orang-orang yang derhaka kepadaNya. Oleh itu, berhati-hatilah terhadap sesuatu yang menyebabkan hukumanNya datang.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...