Isnin, 23 Mei 2016

12:54-57 Tafsir Surah Yusuf, ayat 54-57.

وَقَالَ الْمَلِكُ ائْتُونِي بِهِ أَسْتَخْلِصْهُ لِنَفْسِي فَلَمَّا كَلَّمَهُ قَالَ إِنَّكَ الْيَوْمَ لَدَيْنَا مَكِينٌ أَمِينٌ (٥٤) قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الأرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ (٥٥) وَكَذَلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الأرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاءُ نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَنْ نَشَاءُ وَلا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (٥٦) وَلأجْرُ الآخِرَةِ خَيْرٌ لِلَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (٥٧)

Telah nyata bagi Raja Mesir kebersihan dan kehormatan Nabi Yusuf a.s. dari tuduhan yang dilancarkan terhadap dirinya dan mengetahui bahawa Yusuf tidak bersalah.

"54. Dan berkata raja, "Datanglah kepadaku dengannya aku memilihnya bagi diriku.""

Raja ingin mengangkatnya menjadi orang terdekat dan juru pemberi nasihatnya. Lalu utusan itu datang kepada Yusuf a.s. dan berkata, “Penuhilah permintaan raja,” maka Yusuf a.s. berdiri dan berpelukan dengan para penghuni penjara, mendoakan kebaikan untuk mereka, lalu mandi dan mengenakan pakaian yang bagus, kemudian menemui raja.

"Maka tatkala bercakap-cakap dengannya," 

Setelah raja berbicara dengannya, mengenalnya dari dekat, mengetahui keutamaan serta kebolehan yang dimilikinya, mengetahui pula peribadi dan akhlak serta kesempurnaan dirinya, dan tertarik dengan kata-katanya.

"dia berkata, "Sesungguhnya kamu hari ini di sisi kami orang yang berkedudukan tinggi yang dipercayai.""

"Oleh kerana itu, apa yang harus kami lakukan menurut kamu?” Kata raja. Yusuf a.s. berkata, “Kumpulkanlah makanan, tanamlah banyak tanaman di tahun-tahun yang subur ini, dan simpanlah makanan dalam tangkainya, sehingga nanti orang-orang akan datang kepadamu meminta perbekalan.” Raja kemudian berkata, “Siapa yang mengurus ini?”

"55. Dia berkata, "Jadikanlah diriku atas perbendaharaan negeri ini;""

Yusuf a.s. meminta untuk kepentingan atau maslahat umum sebagai wakil, penjaga dan pengatur di Mesir.

"sungguh aku seorang penjaga yang berpengetahuan."

Yusuf a.s. menyebutkan kebolehannya, hal ini diperbolehkan jika lawan bicara tidak mengetahui perihal dirinya kerana sesuatu yang penting. Yusuf a.s. menyebutkan bahawa dirinya adalah orang yang pandai menjaga, iaitu seorang bendaharawan yang dapat dipercaya lagi berpengetahuan, mempunyai ilmu yang luas dan pengalaman yang mendalam dalam pekerjaan yang ditanganinya. Yusuf a.s. juga mengetahui akan sampai musim kemarau.

Namun demikian, hal itu bukan bererti Yusuf a.s. berambisi terhadap jabatan, bahkan yang Beliau inginkan adalah manfaat untuk orang ramai, dan telah diketahui keadaan dirinya yang memang sesuai, amanah, dan pandai menjaga.

Raja berkata kepadanya, "Saya terima," Lalu Yusuf a.s. diangkat oleh Raja Mesir, Ar Rayyan ibnul Walid sebagai perdana menteri di negeri Mesir, menggantikan Qitfir. Sedangkan Qitfir sendiri dipecat dari jabatannya. Raja Mesir masuk Islam di tangan Nabi Yusuf a.s. Dan Qitfir meninggal dunia di hari-hari itu.

Yusuf a.s. mengatur harta kekayaan negara sebaik-baiknya. Pada saat-saat subur, Beliau memerintahkan untuk banyak bercucuk tanam. Perbendaharaan negara di saat itu bermarkas di piramid-piramid sebagai tempat pengumpulan bahan makanan untuk menghadapi musim kemarau mendatang yang diberitakan olehnya. Dengan demikian, Yusuf a.s. dapat mengaturnya dengan cara yang hati-hati, baik, dan tepat. Permintaannya itu dikabulkan sebagai kehormatan buatnya.

"56. Dan demikianlah Kami memberi kedudukan bagi Yusuf di bumi;" 

Allah s.w.t. telah memberinya nikmat dengan selamat dari penjara dan memberinya kedudukan di Mesir. Di Mesir, Yusuf a.s. menegakkan keadilan dan rakyat tunduk kepadanya. Beliau tidak menyia-nyiakan sesuatu dengan menempatkan yang bukan pada tempatnya, Beliau memperhatikan betul pemasukan dan pengeluaran negara, mengetahui cara mengatur, memberi dan mencegah serta mengetahui bagaimana membelanjakannya.

"dia tinggal darinya di mana saja dia kehendaki." 

Setelah mengalami masa kesempitan, dijadikan tawanan dan penjara. Inilah buah dari kesabaran. Yusuf a.s. berkuasa penuh untuk menuju ke mana saja ia kehendaki di bumi Mesir itu.

Ra'il (Zulaikha) berdiri di pinggir jalan saat Yusuf a.s. sedang melintas, lalu ia berkata, "Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan budak seorang raja berkat ketaatannya, dan raja menjadi budak kerana kederhakaannya."

"Kami limpahkan dengan rahmat Kami orang yang Kami kehendaki dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik." 

Yusuf a.s. termasuk tokoh orang-orang yang berbuat kebaikan. Allah s.w.t. tidak menyia-nyiakan kesabaran Yusuf yang telah mengalami gangguan yang menyakitkan dari saudara-saudaranya, juga kesabarannya dalam menanggung derita dipenjara kerana ulah isteri Al-Aziz. 

Allah s.w.t. memberinya akibat yang terbaik, iaitu diberi kemenangan dan pengukuhan. Ia memperoleh kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Apa yang disimpan Allah s.w.t. bagi Nabi Yusuf a.s. di hari kemudian jauh lebih besar, lebih banyak, dan lebih agung daripada pengaruh dan kekuasaan yang diperolehnya di dunia ini.

Raja Ar Rayyan ibnul Walid mengahwinkan Yusuf a.s. dengan Ra'il. Ketika Ra'il masuk ke kamar Yusuf a.s., maka Yusuf a.s. berkata kepadanya, "Bukankah ini lebih baik daripada apa yang engkau inginkan dahulu?"

Ra'il berkata kepada Yusuf, "Hai orang yang dipercaya, janganlah engkau mencelaku, sesungguhnya aku seperti apa yang engkau lihat sendiri adalah seorang wanita yang cantik jelita lagi bergelimang di dalam kemewahan kerajaan dan duniawi, sedangkan bekas suamiku dahulu (Qitfir) tidak dapat menggauli wanita. Dan keadaanmu seperti apa yang dijadikan oleh Allah dalam keadaan demikian segak dan tampannya (sehingga membuatku tergoda kerananya)."

Ketika Yusuf a.s. menggaulinya mendapati Ra'il masih perawan, dan melahirkan anak darinya dua orang lelaki, iaitu Ifrasim ibnu Yusuf dan Maisya ibnu Yusuf. Lalu Ifrasim melahirkan Nun, bapa Yusya' ibnu Nun dan Rahmah, isteri Nabi Ayyub a.s.

"57. Dan sungguh, pahala akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan mereka bertakwa." 

Pahala di akhiratlah yang lebih baik daripada balasan di dunia.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...