Rabu, 25 Mei 2016

15:1-9 Tafsir Surah Al Hijr, ayat 1-9.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

الر، تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ وَقُرْآنٍ مُبِينٍ (١) رُبَمَا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ كَانُوا مُسْلِمِينَ (٢) ذَرْهُمْ يَأْكُلُوا وَيَتَمَتَّعُوا وَيُلْهِهِمُ الأمَلُ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ (٣) وَمَا أَهْلَكْنَا مِنْ قَرْيَةٍ إِلا وَلَهَا كِتَابٌ مَعْلُومٌ (٤) مَا تَسْبِقُ مِنْ أُمَّةٍ أَجَلَهَا وَمَا يَسْتَأْخِرُونَ (٥) وَقَالُوا يَا أَيُّهَا الَّذِي نُزِّلَ عَلَيْهِ الذِّكْرُ إِنَّكَ لَمَجْنُونٌ (٦) لَوْ مَا تَأْتِينَا بِالْمَلائِكَةِ إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ (٧) مَا نُنَزِّلُ الْمَلائِكَةَ إِلا بِالْحَقِّ وَمَا كَانُوا إِذًا مُنْظَرِينَ (٨) إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ (٩)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Alif Lam Ra. Ini ayat-ayat Al Kitab, dan Al Qur'an yang nyata."

Surah ini adalah sebahagian dari ayat-ayat Kitab yang sempurna iaitu ayat-ayat Al Qur'an yang memberi penjelasan antara yang hak dan yang batil.

Menerangkan hakikat yang sebenarnya menggunakan lafaz yang baik, jelas dan menunjukkan kepada maksud. Manusia sepatutnya tunduk dan menerima dengan rasa suka dan gembira.

Orang yang menghadapi nikmat yang besar ini dengan menolak atau kafir kepadanya, maka ia tergolong orang-orang yang mendustakan lagi sesat.

"2. Kadang-kadang menginginkan orang-orang yang kafir, seandainya mereka orang-orang muslim." 

Iaitu pada hari akhirat kelak, orang-orang kafir menyaksikan keadaan mereka dan keadaan kaum muslimin, atau ketika datang awal-awal akhirat, dan di saat menghadapi kematiannya.

Mereka akan menyesali kekafiran mereka selama di dunia dan seringkali berharap seandainya mereka dahulu menjadi orang-orang muslim.

Allah s.w.t. memasukkan orang-orang muslim yang berdosa ke dalam neraka bersama orang-orang kafir kerana dosa-dosa mereka.

Orang-orang kafir berkata kepada orang-orang muslim yang derhaka bahawa tiada manfaatnya Islam, iman kepada Allah, kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya dan ucapan, "Tidak ada Tuhan selain Allah" dan penyembahan mereka kepada Allah ketika di dunia. Mereka menyangka bahawa mereka adalah kekasih-kekasih Allah ketika di dunia. Sedangkan mereka sama saja berada di dalam neraka.

Allah s.w.t. murka apabila mendengar ucapan orang-orang kafir itu. Maka Dia mengizinkan para malaikat, para nabi, dan orang-orang mukmin yang bersih untuk memberi syafaat kepada orang-orang mukmin yang derhaka itu. Dia berfirman, "Keluarkanlah semua orang yang di dalam kalbunya terdapat iman sebesar biji sawi!" Lalu mereka dikeluarkan dari neraka dengan izin Allah.

Apabila orang-orang kafir yang masih tetap di dalam neraka melihat hal itu, mereka berkata, "Aduhai, sekiranya kami dahulu seperti mereka, menjadi orang-orang muslim, tentulah kami pun akan mendapat syafaat juga dan dikeluarkan dari neraka ini bersama-sama dengan mereka sebagaimana mereka dikeluarkan.”

Orang-orang mukmin derhaka yang terbelakang masuk syurga itu digelar kaum Jahannamiyyin kerana wajah mereka masih kehitaman. Lalu mereka berkata, "Ya Tuhanku, lenyapkanlah julukan ini dari kami."

Maka Allah s.w.t. memerintahkan kepada mereka untuk mandi di sungai kehidupan di syurga. Mereka menjadi bersih dari kehangusannya. Setelah itu lenyaplah julukan itu dari mereka kerana muka mereka tidak hitam lagi.

"3. Biarkanlah mereka makan dan bersenang-senang" 

Di dunia ini dalam waktu yang pendek, sesungguhnya tempat kembali orang-orang yang berdosa ialah neraka.

"dan melalaikan mereka angan-angan, maka kelak mereka akan mengetahui." 

Biarkan mereka dilalaikan oleh angan-angan kosong mereka, tidak mahu sedar dan bertaubat. Kelak mereka akan mengetahui akibat perbuatannya. Janganlah tertipu kerana penundaan Allah terhadap mereka, kerana hal itu memang SunnahNya yang biasa dilakukanNya terhadap orang-orang yang mendustakan.

"4. Dan tidak Kami membinasakan dari suatu negeri, kecuali dan baginya ketentuan yang dimaklumi." 

Allah s.w.t. tidak membinasakan suatu negeri, melainkan sudah ada ketentuan yang ditetapkan baginya. Dia akan membinasakan penduduk suatu kota apabila tegaknya bukti atas kota itu dan telah sampai ajal mereka.

"5. Tidak mendahului dari suatu umat ajalnya, dan tidak dapat mengundurkan." 

Allah s.w.t. tidak akan menangguhkan suatu umat pun dari ajalnya bila telah tiba saatnya, dan mereka tidak dapat pula dibinasakan sebelum waktu ajalnya.

Hal ini mengandung peringatan bagi ahli Mekah dan sekaligus mengandung petunjuk agar mereka meninggalkan kemusyrikan, keingkaran, dan kekafirannya yang membuat mereka berhak untuk dibinasakan.

"6. Dan mereka berkata, "Wahai yang diturunkan atasnya peringatan,""

Maksudnya, orang yang mengakui Al Qur'an diturunkan kepadanya. Orang-orang kafir Mekah berkata kepada Nabi s.a.w. sebagai ejekan, kekafiran dan keingkaran mereka dalam ucapannya.

"sungguh kamu benar-benar orang gila." 

Bagi mereka, mengajak mereka supaya beriman bersama Beliau s.a.w. dan meninggalkan apa yang mereka dapatkan dari nenek moyang mereka adalah perbuatan gila.

"7. Mengapa tidak kamu datang kepada kami dengan malaikat," 

Untuk menjadi saksi terhadap kebenaran Nabi Muhammad s.a.w.

"jika kamu termasuk orang-orang yang benar?" 

Iaitu jika benar bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang nabi dan bahawa Al Qur’an berasal dari sisi Allah s.w.t. Ucapan mereka sungguh keji, mengandungi kezaliman dan kebodohan.

Kezaliman mereka adalah kerana beraninya mereka terhadap Allah Tuhan mereka dan menyusahkan diri dengan meminta ayat tertentu, padahal ayat-ayat yang menunjukkan kebenaran Beliau s.a.w. sangat banyak.

Kebodohan mereka adalah kerana mereka tidak mengerti hal yang bermaslahat bagi mereka.

"8. Tidak Kami turunkan malaikat melainkan dengan kebenaran dan tidak mereka ketika itu diberi tangguh." 

Para malaikat hanya akan diturunkan untuk membawa risalah kepada para rasul dan membawa azab kepada mereka, dan apabila sudah turun, mereka tidak akan diberi tangguh.

"9. Sungguh Kami, Kami turunkan Al Qur’an," 

Penurunan Al Qur'anul Karim sudah cukup untuk membuktikan kerasulan Nabi muhammad s.a.w.

"dan sungguh Kami baginya penjaga yang memelihara." 

Allah s.w.t. menjaga Al Qur'an, lafaznya dan maknanya dari sebarang perubahan, penyelewengan, penambahan dan pengurangan baik ketika diturunkan maupun setelah diturunkan. Ketika diturunkan ia dijauhkan dari syaitan yang terkutuk dan setelah diturukan ia disimpan dalam hati RasulNya dan hati sebahagian umatnya. Tidak ada seorang pun yang hendak menyelewengkannya kecuali Allah mengadakan orang yang menerangkan kebenaran. Kesucian dan kemurnian Al Quran adalah terjamin selama-lamanya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...