Sabtu, 14 Mei 2016

2:253 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 253.

تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ مِنْهُمْ مَنْ كَلَّمَ اللَّهُ وَرَفَعَ بَعْضَهُمْ دَرَجَاتٍ وَآتَيْنَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ الْبَيِّنَاتِ وَأَيَّدْنَاهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلَ الَّذِينَ مِنْ بَعْدِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَلَكِنِ اخْتَلَفُوا فَمِنْهُمْ مَنْ آمَنَ وَمِنْهُمْ مَنْ كَفَرَ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلُوا وَلَكِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ (٢٥٣)

Seorang lelaki dari kalangan kaum muslim bertengkar dengan seorang lelaki Yahudi. Lelaki Yahudi itu berkata dalam sumpah yang diucapkannya, "Tidak, demi Tuhan yang telah memilih Musa atas semua manusia."

Maka lelaki muslim mengangkat tangannya dan menampar wajah orang Yahudi tersebut seraya berkata, "Hai orang yang buruk, juga atas Muhammad s.a.w.?"

Lelaki Yahudi datang menghadap Nabi s.a.w., lalu mengadukan perihal lelaki muslim tadi.

Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Janganlah kalian mengutamakan diriku atas para nabi, kerana sesungguhnya manusia itu semuanya mati di hari kiamat nanti, dan aku adalah orang yang mula-mula dibangunkan. Ternyata kujumpai Musa sedang memeluk tiang Arasy. Aku tidak mengetahui apakah dia terbangun sebelumku ataukah dia telah memperoleh balasannya dengan kematian (sa'iqah) ketika di Bukit Tur? Kerana itu, janganlah kalian mengutamakan diriku atas para nabi." atau disebutkan, "Janganlah kalian saling mengutamakan di antara para nabi."

"253. Itulah rasul-rasul Kami telah lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain." 

Allah s.w.t. mengutamakan sebahagian rasul-rasul atas sebahagian yang lain. Seorang hamba di samping wajib mengenal Allah, hendaknya mengenal para rasulNya, sifat wajib, mustahil dan yang ja'iz (boleh terjadi) pada diri mereka. Untuk mengetahuinya dapat kita peroleh dari dari penjelasan Allah s.w.t. di beberapa ayat tentang sifat mereka.

Di antaranya adalah bahawa mereka lelaki bukan wanita, berasal dari penduduk tersebut, bukan dari pelusuk (badui), mereka adalah orang-orang terpilih, Allah menghimpun pada dirinya semua sifat terpuji dan bahawa mereka selamat dari semua yang menodai risalah mereka, seperti dusta, khianat, sifat menyembunyikan dan sifat tercela lainnya.

Mereka juga tidak keliru dalam hal risalah dan taklif (pembebanan syari'at), Allah s.w.t. juga mengkhususkan mereka dengan wahyuNya.

Kita wajib beriman dan mentaati mereka. Barang siapa yang tidak beriman kepada mereka, maka dia adalah kafir, mencacati mereka atau memaki mereka juga kafir. Dalil-dalil yang disebutkan di sini banyak sekali, dan barang siapa yang mentadabburi Al Qur'an, maka akan semakin jelas lagi.

"Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata" 

Di antara mereka ada rasul yang langsung Allah berfirman dengannya, seperti Nabi Musa a.s.

"dan Dia meninggikan sebahagian mereka beberapa darjat." 

Sebahagian lagi ada yang ditinggikanNya beberapa darjat, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. dengan umumnya risalah Beliau, ditutupnya kenabian dengan Beliau, dilebihkan umatnya di atas umat-umat yang lain dll. Bahkan pada diri Beliau berkumpul keistimewaan yang terpisah-pisah pada diri yang lain.

Sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis Isra, iaitu ketika Nabi s.a.w. bersua dengan para nabi lainnya di langit sesuai dengan perbedaan kedudukan mereka di sisi Allah s.w.t.

"Dan Kami berikan Isa putera Maryam keterangan-keterangan" 

Kami berikan kepada Isa putera Maryam beberapa mukjizat. Al bayyinat ialah hujah-hujah dan dalil-dalil yang tepat yang membenarkan apa yang Beliau sampaikan kepada kaum Bani Israil, bahawa dia adalah hamba dan utusan Allah kepada mereka.

Antara mukjizat Nabi Isa a.s. adalah dapat menyembuhkan seorang yang buta sejak lahir, orang yang terkena penyakit sopak dan menghidupkan orang yang sudah mati. Semua itu dengan izin Allah.

Hal tersebut untuk membuktikan kenabiannya, bahawa dia adalah hamba Allah dan rasulNya, kalimatNya yang disampaikan kepada Maryam dan dengan tiupan ruh dariNya.

"dan Kami perkuat dia dengan Ruhul Qudus." 

Menurut jumhur musafirin, bahawa Ruhul Qudus itu ialah Malaikat Jibril. Iaitu Allah memperkuatnya dengan Malaikat Jibril a.s. yang berjalan bersama Nabi Isa a.s. di mana saja Beliau berjalan. Ada juga yang mengertikan Ruhul Qudus dengan "iman, keyakinan dan diberi kekuatan untuk menjalankan perintah yang dibebankan kepadanya".

"Dan jika Allah menghendaki, tidak saling membunuh orang-orang yang setelah mereka setelah apa yang datang kepada mereka keterangan-keterangan." 

Kalau Allah menghendaki, nescaya orang-orang setelah mereka tidak berbunuh-bunuhan setelah bukti-bukti sampai kepada mereka.

"Akan tetapi mereka berselisih, maka di antara mereka orang yang beriman dan di antara mereka orang yang kafir." 

Tetapi mereka berselisih, maka di antara mereka ada yang beriman dan ada yang tetap kafir. Akibatnya, terjadilah perpecahan, permusuhan dan peperangan.

"Dan jika Allah menghendaki, tidaklah mereka saling membunuh."

Walaupun begitu, jika Allah menghendaki, tentu tidak akan terjadi saling membunuh.

"Akan tetapi Allah berbuat apa yang Dia kehendaki."

Allah berbuat menurut kehendakNya. Hal tersebut terjadi kerana keputusan dan takdir Allah. Kita dilarang saling mengutamakan dalam situasi pertengkaran dan persengketaan, tidak boleh saling mengutamakan hanya berdasarkan pendapat dan fanatisme.

Manusia tidak berhak saling mengutamakan di antara para nabi. Hal tersebut hanyalah hak Allah s.w.t. semata. Manusia hanya diperintahkan tunduk, berserah diri, dan beriman kepadaNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...