Ahad, 29 Mei 2016

3:93-94 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 93-94.

كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِلا لِبَنِي إِسْرَائِيلَ إِلا مَا حَرَّمَ إِسْرَائِيلُ عَلَى نَفْسِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ تُنَزَّلَ التَّوْرَاةُ قُلْ فَأْتُوا بِالتَّوْرَاةِ فَاتْلُوهَا إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (٩٣) فَمَنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (٩٤) 

Orang-orang Yahudi berkata, "Sesungguhnya kamu mengaku berada di atas agama Nabi Ibrahim, padahal ia tidak memakan daging unta dan susunya."

Orang-orang Yahudi menyangka bahawa nasakh (penghapusan hukum) tidak boleh terjadi, oleh kerananya mereka kafir kepada Nabi Isa a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w., di mana keduanya datang dengan membawa hukum yang sebahagiannya berbeda dengan hukum yang ada pada Taurat dalam hal yang halal dan yang haram.

Allah s.w.t. menurunkan ayat,

"93. Semua makanan menjadi halal bagi Bani Israil, kecuali apa yang diharamkan Israil atas dirinya sendiri," 

Israil a.s. (Nabi Ya'qub a.s.) menderita sakit 'irqun nasa (encok atau gout) di setiap malam harinya. Penyakit ini membuatnya tidak dapat tidur. Tetapi bila siang hari, penyakit ini pergi dan datang lagi pada malam harinya. Lalu Nabi Ya'qub bernazar kepada Allah s.w.t., bahawa jika Allah benar-benar menyembuhkan dirinya, nescaya ia tidak akan memakan makanan yang paling disukainya, iaitu daging unta dan susunya. Kemudian keturunan Nabi Ya'qub pun mengikutinya dalam mengharamkan hal tersebut.

"sebelum diturunkan Taurat." 

Hal itu terjadi sebelum Taurat diturunkan, iaitu setelah Ibrahim a.s., namun pada masa Beliau makanan tersebut tidak diharamkan.

Pada mulanya Allah memperbolehkan Adam a.s. menikahkan anak-anak lelakinya dengan anak-anak perempuannya, tetapi sesudah itu peraturan tersebut diharamkan.

Di dalam kitab Taurat, dinaskan bahawa ketika Nabi Nuh a.s. keluar dari perahunya, Allah s.w.t. memperbolehkan mereka memakan daging semua binatang yang ada di bumi.

Di masa Ibrahim a.s., mengambil gundik di samping isteri diperbolehkan. Ibrahim a.s. melakukan hal ini terhadap Siti Hajar, ketika Beliau mengambilnya sebagai gundik di samping isterinya sendiri (iaitu Siti Sarah). Akan tetapi, hal seperti itu diharamkan bagi mereka dalam kitab Taurat.

Di masa Ya'qub a.s., menggabungkan dua orang saudara perempuan dalam satu perkahwinan diperbolehkan. Ya'qub a.s. sendiri melakukannya. Sesudah itu hal ini diharamkan dalam kitab Taurat.

Ya'qub a.s. mengharamkan atas dirinya daging unta dan air susunya, yang kemudian sikapnya itu diikuti oleh anak-anaknya. Ketika kitab Taurat diturunkan, hal itu tetap diharamkan; diharamkan juga hal-hal lainnya sebagai tambahan dari yang telah ada sebagai hukuman iaitu semua haiwan yang berkuku, iaitu haiwan-haiwan yang jari-jarinya tidak terpisah antara satu dengan yang lain, seperti unta, itik, angsa dan lain-lain. Sebahagian ahli tafsir mengertikan dengan haiwan yang berkuku satu seperti kuda, keldai dan lain-lain.

Mereka juga diharamkan memakan lemak lembu dan biri-biri, iaitu lemak bahagian punggung dan tsarb (lemak tipis yang menutupi perut besar dan usus). Kecuali yang melekat di punggungnya atau yang dalam isi perutnya atau yang bercampur dengan tulang.

Israil a.s. mengharamkan atas dirinya sesuatu yang paling disukainya demi kerana Allah s.w.t. Hal ini diperbolehkan menurut syariat mereka. Bagi umat Muhammad s.a.w., disyariatkan menginfakkan sebahagian dari harta dan makanan yang sangat disayangi oleh seorang hamba demi ketaatannya kepada Allah s.w.t.

Kepada Al Masih a.s., Allah s.w.t. menghalalkan sebahagian dari apa yang pernah diharamkan oleh kitab Taurat. Tetapi mereka tidak mahu mengikutinya, bahkan mendustakan dan menentangnya.

Allah s.w.t. mengutuskan kepada Nabi Muhammad s.a.w., berupa agama yang benar dan jalan yang lurus, iaitu agama nenek moyangnya (yakni Nabi Ibrahim a.s.). Tetapi mereka tidak mahu beriman.

"Katakanlah, "Maka datanglah dengan Taurat, lalu bacalah ia, jika kalian orang-orang yang benar." 

Maksudnya, "Jika kalian mengatakan ada makanan yang diharamkan sebelum turun Taurat, maka bawalah Taurat itu, lalu bacalah ia, jika kalian orang-orang yang benar, kerana sesungguhnya kitab Taurat pasti dinyatakan sama dengan apa yang kami katakan."

"94. Maka barang siapa mengada-adakan terhadap Allah dusta" 

Dusta mereka terhadap Allah ialah dengan mengatakan bahawa Allah telah mengharamkan beberapa makanan kepada Bani Israil sebelum Taurat diturunkan, mengakui bahawa Allah mensyariatkan bagi mereka hari Sabtu serta berpegang kepada Taurat selamanya dan mengatakan bahawa Allah tidak mengutus nabi lain yang menyeru kepada Allah s.w.t. dengan membawa bukti-bukti dan hujah-hujah sesudah apa yang diterangkan, iaitu terjadinya nasakh, dan apa yang telah disebutkan itu benar-benar nyata.

"setelah itu," 

Iaitu setelah jelas hujjah, bahawa pengharaman tersebut hanya dari diri Ya'qub a.s. saja, bukan dari masa Ibrahim a.s.

"maka mereka itu mereka orang-orang yang zalim." 

Kezaliman yang paling besar adalah kezaliman orang yang diajak untuk menggunakan kitabnya, lalu menolaknya dengan sombong dan berdegil dengan pendiriannya. Nasakh yang orang-orang Yahudi ingkari keberadaannya sebenarnya benar-benar terjadi. Ayat ini termasuk bukti kebenaran kenabian Muhammad s.a.w.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...