Rabu, 8 Jun 2016

18:78-82 Tafsir Surah Al Kahfi, ayat 78-82.

قَالَ هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا (٧٨) أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (٧٩) وَأَمَّا الْغُلامُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَا أَنْ يُرْهِقَهُمَا طُغْيَانًا وَكُفْرًا (٨٠) فَأَرَدْنَا أَنْ يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِنْهُ زَكَاةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا (٨١) وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا (٨٢)

Nabi Musa a.s. telah membuat syarat terhadap dirinya setelah terbunuhnya seorang anak muda, bahawa jika Beliau bertanya tentang sesuatu kepada Nabi Khidir a.s. sesudah peristiwa itu, maka Musa a.s. tidak diperkenankan lagi untuk menemani Khidir a.s.

"78. Berkata, "Ini perpisahan antara aku dan antara kamu;""

Khidir a.s. berkata demikian kerana uzur telah hilang serta mereka tidak boleh bersama lagi.

"Akan beritahu kepada kamu dengan takwil apa yang tidak kamu mampu atasnya sabar."

Apa yang disebutkan dalam ayat ini merupakan tafsir dari perkara yang sulit dimengerti oleh Musa a.s. dan penjelasan dari apa yang lahiriahnya diingkari olehnya. Allah telah menampakkan kepada Khidir a.s. hakikat dari perkara itu.

"79. Adapun perahu, maka ia milik orang-orang miskin, mereka bekerja di laut," 

Mereka seharusnya dikasihani.

"maka aku hendak untuk aku merosaknya, dan ada di belakang mereka raja" 

Khidir a.s. sengaja melubangi perahu itu tiada lain hanyalah untuk membuatnya cacat, kerana mereka akan melalui penjagaan raja yang zalim dengan perahu tersebut. Nama raja itu adalah Hadad ibnu Badad. Dia termasuk salah seorang raja yang namanya tertera di dalam kitab Taurat sebagai keturunan dari Al Is ibnu Ishaq.

"mengambil setiap perahu dengan paksa." 

Dengan dilubangi perahunya, maka perahu ini selamat dari rampasan raja itu. Pemiliknya dapat terus menggunakannya dan mengambil manfaat darinya.

"80. Dan adapun anak muda, maka adalah kedua orang tuanya, keduanya orang mukmin, maka kami khuatir bahawa dia akan mendorong keduanya kepada kederhakaan dan kekafiran." 

Anak itu bernama Haisur. Dia sudah dicap sebagai orang kafir. Kedua orang tuanya merasa terlalu gembira saat kelahirannya. Kerana kecintaan yang dalam dari orang tua kepadanya, mereka menuruti apa saja keinginan anaknya. Seandainya anak itu dibiarkan hidup, ia akan memaksa kedua orang tuanya kepada kesesatan dan kekafiran. Maka dia dibunuh untuk menyelamatkan agama ibu bapanya. Keduanya merasa sangat sedih terhadapnya saat ia dibunuh.

Sesungguhnya takdir Allah untuk orang-orang mukmin dalam hal yang tidak disukai mengandungi kebaikan, lebih baik daripada takdir Allah untuk mereka dalam hal yang disukai. Oleh itu, hendaklah seseorang rela dengan takdir Allah s.w.t.

"81. Maka kami menghendaki, bahawa mengganti bagi keduanya Tuhan mereka berdua lebih baik darinya kesucian dan lebih dekat kasih sayang." 

Iaitu mendapat ganti anak lain yang lebih bersih daripadanya, soleh, dan berbakti kepada kedua orang tuanya. Anaknya itu lebih dalam kasih sayangnya dan lebih berbakti kepada kedua orang ibu bapanya daripada anaknya yang pertama. Mereka lebih sayang kepadanya.

"82. Dan adapun dinding, maka adalah milik dua pemuda kedua yatim di kota," 

Khidir a.s. sengaja memperbaiki dinding rumah itu kerana ia kepunyaan dua orang anak yatim penduduk kota itu. Mereka perlukan perhatian kerana telah ditinggal wafat bapanya ketika masih kecil.

"dan ada di bawahnya harta simpanan bagi keduanya," 

Di bawah rumah mereka terdapat harta benda simpanan, yang terpendam, perbendaharaan ilmu berupa lembaran-lembaran yang bertuliskan ilmu pengetahuan.

Harta peninggalan yang terpendam itu berupa lempengan emas yang disertai dengan harta yang cukup berlimpah. Terlebih lagi padanya tertuliskan ilmu yang berupa kata-kata bijaksana dan nasihat-nasihat yang baik.

Padanya tertulis kalimat berikut, "Aku merasa hairan terhadap orang yang mengakui dirinya beriman kepada takdir, mengapa dia bersusah payah. Dan aku hairan terhadap orang yang ingat akan neraka, mengapa dia tertawa. Dan aku merasa hairan kepada orang yang ingat akan mati, mengapa ia lalai. Tidak ada Tuhan selain Allah, Muhammad utusan Allah."

"dan adalah ayah keduanya orang soleh,"

Allah s.w.t. memelihara keduanya kerana berkat kesolehan bapanya. Disebutkan bahawa Jarak antara mereka dengan bapanya itu adalah tujuh keturunan, iaitu datuk ketujuhnya, dia seorang ahli menulis.

"maka menghendaki Tuhanmu bahawa keduanya sampai kedewasaan mereka berdua dan keduanya mengeluarkan harta simpanan mereka berdua" 

Iradah atau kehendak dinisbatkan kepada Allah s.w.t. kerana usia baligh keduanya tidaklah mampu berbuat apa pun terhadap harta terpendam itu, kecuali dengan pertolongan Allah.

"rahmat dari Tuhanmu. Dan tidak aku melakukannya dari kemahuanku." 

Perbuatan melubangi perahu, membunuh anak muda, dan menegakkan kembali dinding yang hampir roboh itu adalah merupakan rahmat Allah kepada para pemilik bahtera, orang tua si anak, dan kedua anak lelaki yang soleh. Kejadian-kejadian itu adalah taqdir dan ilham dari Allah s.w.t. semata yang dijalankanNya melalui tangan Khidir. Apa yang Beliau perbuat bukan menurut kemahuannya sendiri.

"Demikian takwil apa yang tidak kamu sanggup atasnya sabar."

Itulah keterangan perbuatan-perbuatan yang engkau tidak sabar terhadapnya. Setelah Khidir a.s. menjelaskan kepada Musa a.s. tujuan semua perbuatannya, lenyaplah kesulitan memahaminya dari Musa a.s.

Betapa lembutnya keputusan Allah s.w.t., Dia menaqdirkan untuk hamba perkara-perkara yang tidak disukainya, namun terdapat kebaikan untuk agamanya dan dunianya, agar kita ridha dengan qadha’ dan qadarNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...