Sabtu, 11 Jun 2016

21:1-4 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 1-4.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُعْرِضُونَ (١) مَا يَأْتِيهِمْ مِنْ ذِكْرٍ مِنْ رَبِّهِمْ مُحْدَثٍ إِلا اسْتَمَعُوهُ وَهُمْ يَلْعَبُونَ (٢) لاهِيَةً قُلُوبُهُمْ وَأَسَرُّوا النَّجْوَى الَّذِينَ ظَلَمُوا هَلْ هَذَا إِلا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ أَفَتَأْتُونَ السِّحْرَ وَأَنْتُمْ تُبْصِرُونَ (٣) قَالَ رَبِّي يَعْلَمُ الْقَوْلَ فِي السَّمَاءِ وَالأرْضِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٤)

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Telah dekat bagi manusia hisab mereka," 

Telah semakin dekat kepada manusia hari perhitungan atau menghisab amal mereka, iaitu hari Kiamat yang akan berlaku pada umat yang sekarang, iaitu umat Nabi Muhammad s.a.w. Juga maksudnya adalah dekatnya maut, barang siapa mati, maka telah berlakulah kiamatnya dan telah masuk ke tempat pembalasan amal.

"dan mereka dalam kelalaian berpaling." 

Mereka tenggelam dalam ghaflah (kelalaiannya) lagi berpaling dari mempersiapkan diri untuk menghadapi kematiannya dan hari kiamat. Peringatan dan nasihat tidak bermanfaat bagi mereka, padahal penggilingan maut terus berputar, hari penghisaban dan pembalasan terhadap amal telah dekat.

Mereka tidak mahu beramal, beribadah dan tidak mahu membuat bekal untuk menyambutnya. Seakan-akan mereka diciptakan dan dilahirkan ibu mereka hanya untuk bersenang-senang dan berseronok.

Begitulah ta'ajjub (keanehan) yang ada pada majoriti manusia, kecuali orang yang mendapatkan ‘inayah (perhatian) dari Allah. Namun demikian, Allah s.w.t. sentiasa memperingatkan dan menasihati agar mereka kembali.

"2. Tidak datang kepada mereka dari peringatan dari Tuhan mereka yang baru, kecuali mereka mendengarkannya dan mereka, mereka bermain-main." 

Orang-orang Quraisy dan orang-orang yang kafir seperti mereka tidak mahu mendengarkan wahyu yang baru semasa ia diturunkan oleh Allah kepada RasulNya, yang mengingatkan mereka hal yang bermanfaat bagi mereka dan yang mendorongnya, serta mengingatkan hal yang berbahaya bagi mereka dan menakut-nakutinya.

Namun sebatas penegakkan hujjah bagi mereka, nasihat itu masuk ke telinga kanan dan keluar ke telinga kiri. Mereka mengolok-olokkannya, atau sibuk memenuhi keperluan syahwatnya dan mengerjakan perbuatan yang batil atau sia-sia.

"3. Dalam kelalaian hati mereka." 

Seharusnya hati mereka menerima perintah Allah dan telinga mereka mendengarkan dengan pendengaran yang meresap sampai ke hati, dan anggota badan mereka diarahkan untuk beribadah, di mana untuk itulah mereka diciptakan, serta memberikan perhatian terhadap hari kiamat, hisab dan pembalasan sehingga urusan mereka menjadi baik dan keadaan mereka lurus serta bersih amalnya.

"Dan mereka merahsiakan pembicaraan, orang-orang yang zalim." 

Kecelakaan, kezaliman, pembangkangan dan sikap menolak yang hak dengan yang batil membuat mereka berbisik, berbicara, bersepakat dan menghasut orang ramai secara rahsia dan sembunyi untuk memburuk-burukkan Rasulullah s.a.w.

"Tidaklah ini kecuali seorang manusia seperti kalian." 

Maksud mereka, Muhammad juga manusia seperti orang lain. Dia bertujuan untuk dilebihkan oleh manusia. Tak mungkin Muhammad adalah seorang nabi dan mendapat keistimewaan beroleh wahyu, sedangkan mereka tidak. Dia tidak perlu ditaati dan dibenarkan. Dia adalah seorang pesihir dan apa yang dibawanya adalah sihir.

"Maka apakah kalian datang sihir, dan kalian, kalian melihat?" 

Iaitu apakah kalian menerima sihir itu, padahal kalian menyaksikannya? Mereka mengganggap ayat-ayat Al Quran adalah ayat-ayat sihir, sesiapa yang mengikutinya, sama seperti tukang sihir yang mengetahui bahawa perbuatannya hanyalah sihir.

Sebenarnya mereka mengetahui bahawa Beliau adalah utusan Allah dengan sebenarnya berdasarkan ayat-ayat yang mereka saksikan yang tidak disaksikan oleh yang lain.

"4. Dia berkata, "Tuhanku mengetahui perkataan di langit dan bumi,""

Rasulullah s.a.w. menjawab perkataan mereka bahawa tiada sesuatu pun yang tersembunyi luput dari liputan pengetahuan Allah s.w.t. Dialah Yang menurunkan Al Qur'an, di dalamnya terdapat kisah orang-orang terdahulu dan orang-orang kemudian. Tiada seorang pun yang mampu mendatangkan hal yang serupa dengannya, kecuali Tuhan yang mengetahui semua rahsia dan yang tersembunyi di langit dan di bumi.

"dan Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui."

Dia Maha Mendengar semua pembicaraan dan bisikan, secara terang-terangan maupun bersembunyi. Dia Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati serta semua keadaan kalian. Dia akan memberikan balasan terhadapnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...