Rabu, 22 Jun 2016

36:22-32 Tafsir Surah Yasin, ayat 22-32.

وَمَا لِيَ لا أَعْبُدُ الَّذِي فَطَرَنِي وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (٢٢) أَأَتَّخِذُ مِنْ دُونِهِ آلِهَةً إِنْ يُرِدْنِ الرَّحْمَنُ بِضُرٍّ لا تُغْنِ عَنِّي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا وَلا يُنْقِذُونِ (٢٣) إِنِّي إِذًا لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ (٢٤) إِنِّي آمَنْتُ بِرَبِّكُمْ فَاسْمَعُونِ (٢٥) قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ (٢٦) بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ (٢٧) وَمَا أَنْزَلْنَا عَلَى قَوْمِهِ مِنْ بَعْدِهِ مِنْ جُنْدٍ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا كُنَّا مُنْزِلِينَ (٢٨) إِنْ كَانَتْ إِلا صَيْحَةً وَاحِدَةً فَإِذَا هُمْ خَامِدُونَ (٢٩) يَا حَسْرَةً عَلَى الْعِبَادِ مَا يَأْتِيهِمْ مِنْ رَسُولٍ إِلا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ (٣٠) أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنَ الْقُرُونِ أَنَّهُمْ إِلَيْهِمْ لا يَرْجِعُونَ (٣١) وَإِنْ كُلٌّ لَمَّا جَمِيعٌ لَدَيْنَا مُحْضَرُونَ (٣٢)

Kemudian, seakan-akan kaumnya bertanya kepadanya, “Adakah kamu di atas agama para utusan itu?” Lelaki itu berkata,

"22. Dan mengapa bagiku tidak menyembah Yang menciptakan aku" 

Tidak ada alasan bagiku dan kalian untuk tidak menyembah Allah yang telah menciptakan aku dan kalian kerana memang yang menciptakan itulah yang berhak disembah, dan tiada sekutu bagiNya.

"dan kepadaNya kalian dikembalikan?"

Hanya kepadaNyalah kalian akan dikembalikan setelah mati, kelak di hari kemudian, lalu Dia akan memberikan balasan atas semua amal perbuatan kalian. Jika baik, maka balasannya baik; dan jika buruk, balasannya buruk juga.

"23. Apakah aku akan menjadikan dari selain Dia tuhan-tuhan? Jika menghendaki terhadapku Ar Rahman dengan kemudaratan, tidak memberi manfaat bagiku pertolongan mereka sedikit pun dan mereka tidak menyelamatkan aku." 

Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selainNya? Padahal jika Allah Yang Maha Pemurah atau Maha Pengasih menghendaki bencana terhadapku, pasti pertolongan mereka tidak berguna sama sekali bagi diriku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkanku.

Seandainya Allah menghendaki keburukan terhadap diri seseorang, tidak ada yang mampu menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Berhala-berhala itu tiada peranan dalam urusan ini, tiada daya upaya apa pun untuk menolak dan mencegah hal tersebut serta tidak juga dapat menyelamatkannya.

"24. Sesungguhnya aku jika demikian, pasti dalam kesesatan yang nyata." 

Sesungguhnya aku kalau menjadikan berhala-berhala sebagai sesembahanku selain dari Allah, pasti aku benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.

Dalam ucapannya ini, dia menggabung antara memberi nasihat kepada mereka, menjadi saksi atas kebenaran para utusan itu, memberitahukan bahawa Allah yang berhak diibadahi dan menyebutkan dalilnya, iaitu kerana Dia Pencipta.

Dia juga menerangkan bahawa menyembah selainNya adalah batil dan menerangkan buktinya, serta memberitahukan sesatnya orang yang menyembah selainNya, serta menampakkan keislamannya secara terang-terangan.

"25. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kalian, maka dengarkanlah aku." 

Ada yang mengatakan bahawa lelaki itu berkata kepada kaumnya, "Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kalian yang kalian ingkari itu. Maka dengarkanlah oleh kalian pengakuan keimananku ini."

Ada yang mengatakan bahawa lelaki itu berkata kepada para utusan tersebut, "Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan yang telah mengutus kalian. Maka dengarkanlah pengakuan keimananku ini." Iaitu saksikanlah oleh kalian keimananku ini nanti di hadapan Allah s.w.t.

Tatkala lelaki itu mengucapkan pengakuannya, maka kaumnya menyerangnya beramai-ramai, merajamnya dengan batu dan menginjak-injaknya dengan kaki mereka hingga isi perutnya keluar dari liang anusnya. Tiada seorang pun yang dapat membelanya dari serangan mereka.

Sedangkan lelaki itu tidak berhenti berdoa, "Ya Allah, berilah kaumku petunjuk, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui." Dia sangat menginginkan agar kaumnya mendapat hidayah. Mukmin yang sebenar adalah seseorang yang mengharapkan kebaikan bagi orang lain dan tidak menipu.

Ketika lelaki itu hampir meninggal, malaikat turun memberitahunya bahawa Allah telah mengampuni dosanya dan akan memasukkannya ke syurga. Akhirnya lelaki itu terjatuh dan meninggal dunia. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepadanya.

"26. Dikatakan, "Masuklah syurga."" 

Dikatakan kepadanya, "Masuklah ke syurga." Dikatakan demikian kerana dia gugur dalam membela agama Allah, maka sudah merupakan keharusan baginya masuk syurga. Maka lelaki itu dimasukkan dan diberi rezeki di dalam syurga.

Allah s.w.t. telah melenyapkan penderitaan dunia, kesedihan dan keletihan darinya. Dia melihat pahala, balasan, kenikmatan abadi dan penghormatan yang diberikan oleh Allah kepadanya.

"Berkata, "Alangkah baiknya jikalau kaumku mengetahui.""

Lelaki itu berkata, "Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui." Seandainya kaumnya dapat menyaksikan apa yang diterimanya, tentulah hal tersebut akan mendorong mereka untuk meninggalkan perbuatan syiriknya dan mengikuti para rasul.

"27. Dengan apa memberi ampun kepadaku Tuhanku" 

Apa yang menyebabkan Tuhanku memberi ampun kepadaku. Berkat keimanannya kepada Tuhannya, kepercayaannya kepada para utusan itu dan gugur dalam membela agama Allah, berbagai hukuman disingkirkan darinya.

"dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan." 

Dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang telah dimuliakan dengan berbagai pahala dan kenikmatan. Semoga Allah s.w.t. melimpahkan rahmatNya kepadanya.

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang hukuman untuk kaum lelaki itu. Dia membalas perbuatan mereka kerana murka kepada mereka, sebab mereka telah mendustakan rasul-rasulNya dan membunuh kekasihNya.

"28. Dan tidak Kami turunkan atas kaumnya setelahnya dari pasukan dari langit" 

Setelah dia meninggal, Kami tidak menurunkan suatu pasukan malaikat pun dari langit. Maksudnya, Kami tidak perlu susah-susah membinasakan kaumnya dengan menurunkan satu pasukan malaikat dari langit untuk membinasakan mereka.

"dan tidak Kami yang menurunkan." 

Tidak layak atau tidak perlu Kami menurunkannya kerana tidak ada keperluan untuk itu. Untuk menanganinya amatlah mudah bagiNya. KekuasaanNya yang demikian hebat, sedangkan manusia begitu lemah cukup dengan menimpakan sedikit azab yang dapat membinasakan mereka. Azab tersebut adalah satu teriakan saja yang dilakukan oleh sebahagian malaikat Allah, iaitu malaikat Jibril a.s.

"29. Tidaklah ada kecuali suara keras satu kali, maka tiba-tiba mereka mati."

Tidak ada siksaan terhadap mereka melainkan dengan satu teriakan saja; maka seketika itu mereka mati. Mereka tidak bersuara dan tidak bergerak lagi setelah sebelumnya bersikap angkuh dan sombong, serta menyikapi makhluk yang mulia (para rasul) dengan sikap yang buruk. Allah s.w.t. berfirman menaruh kasihan kepada hamba-hamba itu.

"30. Alangkah besar penyesalan atas hamba-hamba," 

Alangkah besarnya penyesalan terhadap hamba-hamba itu. Iaitu alangkah celakanya, sengsaranya, kecewanya dan penyesalan terhadap hamba-hamba itu yang mendustakan para rasul lalu mereka dibinasakan. Mereka menyia-nyiakan perintah Allah dan melalaikan kewajiban mereka kepada Allah.

"tidak datang kepada mereka dari seorang rasul kecuali mereka kepadanya, mereka memperolok-olok." 

Setiap datang seorang rasul kepada mereka, mereka selalu mendustakannya, memperolok-olokkannya, dan mengingkari kebenaran yang disampaikan olehnya. Inilah sebab yang membuat mereka dibinasakan dan mendapatkan penyesalan.

"31. Apakah tidak mereka melihat berapa banyak Kami telah binasakan sebelum mereka dari umat-umat" 

Tidakkah mereka yang mendustakan rasul memperhatikan dan mengambil pelajaran dari umat-umat sebelum mereka yang sama-sama mendustakan rasul, di mana Allah s.w.t. membinasakan mereka dan menimpakan azabNya.

"bahawa mereka kepada mereka tidak akan kembali?" 

Orang-orang yang telah Kami binasakan itu tidak ada yang kembali kepada mereka. Mereka semua binasa dan tidak akan kembali ke dunia. Oleh kerana itu, tidakkah mereka mengambil pelajaran.

"32. Dan tidak setiap umat, melainkan semuanya dihadapan Kami mereka dihadirkan." 

Setiap umat, baik yang terdahulu maupun yang akan datang, semuanya akan dihadapkan kepada Kami, iaitu di mauqif (padang mahsyar) setelah dibangkitkan untuk dihisab dan diberikan keputusan yang adil yang tidak ada kezaliman sedikit pun.

Maka Dia akan membalas masing-masing dari mereka sesuai dengan amal perbuatannya. Jika amalnya baik, maka Allah akan melipatgandakannya dan akan memberikan pahala yang besar dari sisiNya. Jika amalnya buruk, maka Dia akan membalas dengan balasan yang sesuai.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...