Jumaat, 3 Jun 2016

9:97-99 Tafsir Surah At Taubah, ayat 97-99

الأعْرَابُ أَشَدُّ كُفْرًا وَنِفَاقًا وَأَجْدَرُ أَلا يَعْلَمُوا حُدُودَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (٩٧) وَمِنَ الأعْرَابِ مَنْ يَتَّخِذُ مَا يُنْفِقُ مَغْرَمًا وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ الدَّوَائِرَ عَلَيْهِمْ دَائِرَةُ السَّوْءِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (٩٨) وَمِنَ الأعْرَابِ مَنْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَيَتَّخِذُ مَا يُنْفِقُ قُرُبَاتٍ عِنْدَ اللَّهِ وَصَلَوَاتِ الرَّسُولِ أَلا إِنَّهَا قُرْبَةٌ لَهُمْ سَيُدْخِلُهُمُ اللَّهُ فِي رَحْمَتِهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٩٩)

Allah s.w.t. berfirman,

"97. Orang-orang Arab Badui lebih kuat kekufuran dan kemunafikan," 

Orang-orang Badui adalah orang-orang Arab yang tinggal di padang pasir yang hidupnya selalu berpindah-randah. Kekufuran dan kemunafikan yang ada pada mereka jauh lebih banyak daripada penduduk kota atau kampung kerana sifat kasar mereka, dan tabi’at mereka yang keras serta jauhnya mereka dari mendengarkan Al Qur’an; dari mengetahui syari’at maupun hukum-hukum Islam.

Berbeda dengan penduduk kota atau kampung, di mana mereka dekat dengan ilmu agama, mereka memiliki bayangan mana yang baik dan ada keinginan mengerjakan kebaikan kerana banyak mengetahui jalan-jalan kebaikan, tabi’at mereka lembut, dsb. Meskipun demikian, di daerah kota dan badui ada saja orang-orang kafir dan munafik.

"dan lebih wajar untuk tidak mengetahui hukum-hukum apa yang Allah turunkan atas rasulNya." 

Oleh itu wajarlah mereka tidak mengetahui hukum-hukum dan syari’at. Sifat keras dan kasar kebanyakan terjadi di kalangan penduduk pedalaman, maka Allah tidak pernah mengutus seorang rasul pun dari kalangan mereka, dan sesungguhnya kerasulan itu hanya terjadi di kalangan penduduk kota.

"Dan Allah Maha Mengetahui Mahabijaksana." 

Allah Maha Mengetahui terhadap orang yang berhak untuk Dia ajarkan iman dan ilmu kepadanya, lagi Mahabijaksana dalam pembahagian ilmu, kebodohan, iman, kekufuran, dan kemunafikan di antara hamba-hambaNya; tidak ada yang bertanya kepadaNya tentang apa yang dilakukanNya berkat ilmu dan kebijaksanaanNya.

"98. Dan di antara orang-orang Arab Badui orang yang menjadikan apa yang dia infakkan kerugian;" 

Infak di jalan Allah mereka anggap sebagai suatu kerugian kerana mereka tidak mencari keridhaan Allah dan mengharapkan pahalanya, bahkan mengeluarkannya kerana terpaksa, seperti yang dilakukan Bani Asad dan Ghatfan.

"dan dia menanti-nanti pada kalian beberapa bencana,"

Mereka selalu mengharapkan dan menunggu agar kejadian dan malapetaka menimpa kaum mukmin kerana benci.

"atas mereka bencana yang buruk. Dan Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui." 

Merekalah yang akan ditimpa mara bahaya. Allah mendengar doa setiap hambaNya. Dia mengetahui niat, amalan, keikhlasan dan siapa yang berhak mendapat kemenangan, kekalahan atau kehinaan.

"99. Dan di antara orang-orang Arab Badui orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir," 

Tidak semua orang-orang Arab badui tercela. Di antara mereka ada yang mukmin, dirinya selamat dari kekafiran dan kemunafikan seperti suku Juhainah dan Muzainah.

"dan dia menjadikan apa yang dia infakkan sebagai pendekatan diri di sisi Allah" 

Infak di jalan Allah mereka anggap sebagai jalan untuk mencari keridhaan dan mendekatkan diri kepadaNya.

"dan doa Rasul." 

Dengan infak itu mereka berharap akan beroleh doa Rasul buat mereka.

"Ketahuilah, bahawasanya itu pendekatan diri bagi mereka." 

Mereka berjaya meraihnya.

"Allah akan memasukkan mereka dalam rahmatNya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

RahmatNya bermaksud syurgaNya. Allah s.w.t. tidak mencela mereka kerana tinggal di daerah badui, tetapi kerana meninggalkan perintah Allah dan berada di tempat yang jauh dari ilmu sehingga berpeluang besar untuk terjatuh ke dalam maksiat.

Orang yang jauh dari ilmu agama lebih dekat kepada keburukan. Ilmu yang paling bermanfaat adalah mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada RasulNya, seperti dasar-dasar agama (Aqidah) dan furu’nya (fiqh).

Dengan mengetahuinya seseorang dapat mengamalkannya. Seorang mukmin melakukan kewajibannya dengan dada yang lapang, jiwa yang tenang, dan tidak menganggapnya sebagai suatu kerugian.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...