Rabu, 13 Julai 2016

17:1 Tafsir Surah Al Isra, ayat 1.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ (١)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Mahasuci," 

Allah s.w.t. mengagungkan diriNya dan menggambarkan kebesaran perananNya, kerana kekuasaanNya melampaui segala sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh sesiapa pun selain Dia. Tidak ada Tuhan selain Dia, dan tidak ada Rabb selain Dia.

"Yang telah memperjalankan hambaNya" 

Nabi Muhammad s.a.w. diperjalankan dengan menaiki buraq dalam satu malam ke tempat yang jauh sekali, dan kembali pada malam itu juga. Isra’ terjadi dengan ruh dan jasadnya secara bersamaan. 

"waktu malam" 

Iaitu di dalam kegelapan malam hari. Isra’ terjadi pada awal malam.

"dari Masjidil Haram" 

Isra' dimulai dari Masjidil Haram di Mekah. Ia adalah masjid yang paling utama secara mutlak. Akan tetapi, ada riwayat dalam hadis sahih, bahawa Beliau s.a.w. diperjalankan dari rumah Ummu Hani’. 

Dengan demikian, keutamaan pada Masjidil Haram untuk semua tanah haram. Semua bahagiannya dilipatgandakan (pahala) ibadahnya sebagaimana dilipatgandakannya ibadah ketika di masjid tersebut. 

"ke Masjidil Aqsa" 

Iaitu Baitul Muqaddas yang terletak di Elia (Jerussalem), termasuk masjid yang utama, di mana ia merupakan tempat asal para Nabi (terdahulu) sejak Nabi Ibrahim a.s. Semua nabi dikumpulkan di Masjidil Aqsa pada malam itu, lalu Nabi s.a.w. mengimami mereka di tempat mereka.

Hal ini menunjukkan bahwa Nabi Muhammad s.a.w. adalah imam terbesar dan pemimpin yang didahulukan. Semoga salawat dan salam Allah terlimpahkan kepada mereka semuanya.

Beliau s.a.w. diperjalankan dalam satu malam ke tempat yang jauh sekali, dan kembali pada malam itu juga. Tetapi sebahagian orang yang kurang akalnya mengatakan bahawa isra’ dan mi’raj bertentangan dengan akal sihat manusia.

Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu dan semuanya mudah bagiNya. Dialah yang memperjalankan Nabi Muhammad s.a.w. dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, bukan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri.

"yang Kami berkahi sekelilingnya" 

Iaitu tanam-tanamannya dan hasil buah-buahannya. Daerah-daerah sekitarnya mendapat berkah dari Allah dengan diutusNya nabi-nabi di negeri itu dan diberikanNya kesuburan tanah. 

DilebihkanNya Masjidil Aqsa di atas semua masjid selain Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ia adalah salah satu masjid yang dianjurkan mengadakan perjalanan untuk beribadah dan solat di sana. Allah s.w.t. mengkhususkannya sebagai tempat para nabi dan makhluk pilihanNya.

"untuk Kami perlihatkan padanya dari ayat-ayat Kami." 

Di atas perhatian dan kelembutan Allah s.w.t. terhadap Nabi Muhammad s.a.w., Dia memperlihatkan kepada Beliau s.a.w. sebahagian dari tanda-tanda kekuasaanNya yang besar-besar. Maka bertambahlah hidayah, basirah (pandangan yang dalam) dan furqan (pembeda).

Dia memudahkan Beliau s.a.w. menuju kepada kemudahan dalam semua urusannya. Dia juga memberikan kepada Beliau nikmat yang banyak yang mengalahkan orang-orang terdahulu dan orang-orang yang datang kemudian.

Dari Baitulmaqdis Beliau s.a.w. dinaikkan ke langit-langit hingga ke bahagian langit yang paling atas. Beliau s.a.w. melihat syurga dan neraka, dan melihat para nabi dengan tingkatan yang berbeda-beda.

Allah s.w.t. telah mewajibkan kepada Beliau s.a.w. solat lima puluh waktu, lalu Beliau kembali menghadap Allah s.w.t. dan terus kembali dengan isyarat Nabi Musa a.s., sehingga jumlahnya menjadi lima waktu, namun pahala dan balasannya seperti melakukan solat lima puluh waktu.

"Sungguh Dia, Dia Maha Mendengar Maha Melihat." 

Allah Maha Mendengar semua ucapan hamba-hambaNya, yang mukmin maupun yang kafir dan yang membenarkan maupun yang mendustakan di antara mereka. Dan Dia Maha Melihat semua perbuatan mereka. Maka kelak Dia akan memberikan kepada masing-masing dari mereka balasan yang berhak mereka terima di dunia dan di akhirat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...