Ahad, 10 Julai 2016

18:83-84 Tafsir Surah Al Kahfi, ayat 83-84.

وَيَسْأَلُونَكَ عَنْ ذِي الْقَرْنَيْنِ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُمْ مِنْهُ ذِكْرًا (٨٣) إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الأرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا (٨٤) 

Orang-orang kafir Mekah mengirimkan utusan kepada kaum Ahli Kitab di Madinah untuk meminta dari mereka soalan-soalan untuk menguji Nabi Muhammad s.a.w. Maka kaum Ahli Kitab menyuruh orang-orang kafir Mekah bertanya kepada beliau s.a.w. beberapa soalan. Antaranya ialah kisah seorang lelaki yang menjelajah menguasai di muka bumi.

"83. Dan mereka bertanya kepadamu tentang Zulkarnain." 

Lelaki yang dimaksudkan mereka adalah Zulkarnain.

"Katakanlah, "Akan aku bacakan kepada kalian darinya peringatan.""

Iaitu akan kubacakan kepada kalian kisahnya. Namanya adalah Iskandar. Zulqarnain adalah seorang raja, namun bukan seorang nabi. Gabenor atau Perdana Menterinya adalah Al Khidir a.s. Beliau adalah seorang hamba yang ikhlas kepada Allah, maka Allah membalasnya dengan pahala yang berlimpah.

Dia dinamakan Zulkarnain kerana kedua sisi batok kepalanya berupa tembaga dan membentuk seperti sepasang tanduk. Atau kerana dia menguasai belahan timur dan barat bumi, dari tempat terbit hingga ke tempat tenggelamnya tanduk matahari.

Atau kerana dia menyeru kaumnya untuk menyembah Allah, tetapi mereka memukul tanduknya, hingga matilah dia. Kemudian Allah menghidupkannya kembali, dan menyeru kaumnya lagi untuk menyembah Allah, tetapi mereka memukuli tanduknya, hingga matilah dia.

Zulkarnain hidup di masa Nabi Ibrahim a.s. Beliau beriman kepada Ibrahim a.s. dan menjadi pengikutnya. Beliau bertawaf di Baitullah bersama Ibrahim a.s. setelah Ka'bah dibangunkan. Beliau melakukan korban haiwannya untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengikuti jejak Ibrahim a.s.

Zulkarnain bukan berasal dari Romawi, sesungguhnya yang berasal dari Romawi ialah Iskandar atau Alexander II putera Philips Al Maqdoni Al Yunani. Gabenor atau Perdana Menterinya adalah Aristoteles, seorang ahli filsafat yang terkenal. Dialah yang mula-mula mencanangkan penanggalan Romawi, dia memerintah Romawi pada tahun kira-kira tiga abad sebelum Nabi Isa Al Masih dilahirkan.

"84. Sungguh Kami, Kami telah memberi kedudukan baginya di bumi," 

Allah s.w.t. memberikan kerajaan yang besar lagi kukuh dengan menguasai segala apa yang dimiliki oleh semua raja iaitu kekuasaan, bala tentera, peralatan perang, dan perlengkapannya.

Dia berjaya menghancurkan semua musuh, mengalahkan semua orang musyrik, menundukkan semua raja, menguasai dan membuka semua kawasan dan negeri yang ada di belahan timur dan barat bumi ini.

"dan Kami telah beri dia dari segala sesuatu sebab." 

Allah s.w.t. memberikan, memudahkan, sebab-sebab untuk mencapai maksudnya, semua jalan dan sarana untuk mencapai segala sesuatu yang diinginkannya iaitu ilmu, menguasai semua bahasa manusia, semua tempat di bumi dan tanda-tandanya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...