Jumaat, 1 Julai 2016

2:144 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 144.

قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُمَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ (١٤٤)

Ketika Rasulullah s.a.w. hijrah ke Madinah, kebanyakan penduduk Madinah saat itu terdiri daripada orang-orang Yahudi. Allah s.w.t. memerintahkannya agar menghadap ke arah Baitul Maqdis. Orang-orang Yahudi merasa gembira melihatnya. Rasulullah s.a.w. menghadap ke Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan, padahal beliau sendiri menyukai kiblat Nabi Ibrahim a.s., iaitu Ka'bah.

Nabi s.a.w. apabila telah salam dari solatnya yang menghadap ke arah Baitul Maqdis selalu menengadahkan kepalanya ke langit, berdoa dan berharap turunnya wahyu yang memerintahkannya menghadap ke Baitullah Ka'bah. Maka Allah s.w.t. segera mengabulkan apa yang Beliau s.a.w. inginkan dan menurunkan firmanNya,

"144. Sungguh Kami melihat bolak-balik wajahmu di langit, maka sungguh Kami memalingkanmu kiblat kamu menyukainya." 

Sungguh Kami melihat wajahmu sering menengadah ke langit, maka akan Kami palingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Iaitu ke arah Ka'bah, tepat ke arah mizab (talang)nya, sedangkan Malaikat Jibril a.s. bermakmum kepadanya.

Turunnya wahyu pemindahan kiblat diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. ketika beliau solat di masjid Bani Salimah, kemudian masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain. Lalu Rasulullah s.a.w. berkhutbah kepada orang ramai dan memberitahukan pemindahan tersebut kepada mereka. Solat yang mula-mula dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan menghadap ke arah Ka'bah adalah solat Asar.

"Maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram." 

Hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Iaitu badanmu, kerana wajh ertinya bahagian depan badan dari atas sampai bawah.

Nabi s.a.w. melakukan solat Asar menghadap Baitullah bersama beberapa orang sahabat. Kemudian seseorang yang solat bersamanya pergi dan melintasi orang-orang yang berada di  sebuah masjid yang ketika itu sedang ruku', maka dia berkata, "Aku bersaksi dengan nama Allah, sungguh aku telah solat bersama Nabi s.a.w. menghadap ke Mekah", maka mereka pun berpusing menghadap ke Mekah. Maka kaum lelaki beralih menduduki tempat kaum wanita dan kaum wanita menduduki tempat kaum lelaki. Kaum Muhajirin dan Ansar inilah sabiqiin awwaliin iaitu mereka yang solat ke dua kiblat.

Berita pemindahan itu baru sampai ke Masjid Quba pada solat Subuh di hari keduanya. Tiba-tiba datanglah seseorang yang mengatakan bahawa sesungguhnya telah diturunkan kepada Nabi s.a.w. sebuah ayat yang memerintahkan agar menghadap ke arah Ka'bah. Saat itu wajah mereka menghadap ke arah Syam, lalu mereka berpusing ke arah Ka' bah.

"Dan dimanapun kalian berada, maka palingkanlah wajah kalian ke arahnya." 

Di mana saja kalian berada, hadapkanlah wajah kalian ke arah itu. Allah s.w.t. memerintahkan menghadap ke arah Ka'bah dari segenap penjuru dunia, baik dari timur, barat, utara, maupun selatan; semua diperintahkan agar menghadap ke arahnya.

Menghadap kiblat merupakan syarat solat, dan jika seseorang tidak dapat menghadap langsung ke rumah itu, maka dengan menghadap ke arahnya.

Tiada yang dikecualikan selain dari orang yang mengerjakan solat sunat di atas kenderaannya dalam perjalanan; iaitu diperbolehkan menghadap ke arah mana pun kenderaannya menghadap, tetapi hatinya harus tetap tertuju ke arah Ka'bah.

Semasa di dalam perang, diperbolehkan solat dalam keadaan apa pun. Dan orang yang tidak mengetahui arah kiblat boleh solat menghadap ke arah yang menurut ijtihadnya adalah arah kiblat, sekalipun pada hakikatnya keliru.

"Dan sungguh orang-orang yang mereka diberikan Al Kitab, sungguh mereka mengetahui bahawasanya itu kebenaran dari Tuhan mereka." 

Sesungguhnya orang-orang yang diberi Al kitab mengetahui, bahawa itu adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Orang-orang Yahudi dan Nasrani telah pun mengetahui bahawa Allah s.w.t. pasti akan memalingkan orang-orang Mukmin dari Baitul Maqdis ke Ka'bah, kerana ia telah termaktub di dalam kitab Taurat dan Injil.

Disebutkan pula di dalamnya tentang sifat dan ciri khas Nabi Muhammad s.a.w. serta umatnya, kekhususan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepadanya serta penghormatan yang diberikanNya, iaitu berupa syariat yang sempurna lagi besar. Akan tetapi Ahli Kitab menyembunyikan hal ini di antara sesama mereka kerana dengki, kufur, dan ingkar.

Nabi s.a.w. menyimpan harapan yang tinggi dan mencurahkan segala tenaga dan mencari cara agar orang lain mendapatkan hidayah. Beliau s.a.w. berlemah lembut dalam berdakwah dan bersedih ketika orang yang didakwahinya itu tidak mahu mengikuti.

"Dan tidaklah Allah lalai dari apa yang mereka kerjakan."

Allah s.w.t. sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan. Dia mengancam mereka yang protes dan menggembirakan kaum mukmin. Dia sentiasa memerhatikan setiap perbuatan manusia.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...