Sabtu, 16 Julai 2016

27:65-66 Tafsir Surah An Naml, ayat 65-66.

قُلْ لا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ الْغَيْبَ إِلا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ (٦٥) بَلِ ادَّارَكَ عِلْمُهُمْ فِي الآخِرَةِ بَلْ هُمْ فِي شَكٍّ مِنْهَا بَلْ هُمْ مِنْهَا عَمُونَ (٦٦)

Nabi Muhammad s.a.w. ditanya oleh orang-orang kafir tentang bila terjadinya kiamat. Allah s.w.t. berfirman, 

"65. Katakanlah, "Tidak mengetahui siapa di langit dan bumi ghaib, kecuali Allah." 

Hanya pada sisi Allah s.w.t. sajalah pengetahuan atau kunci-kunci tentang perkara ghaib di langit dan di bumi. Iaitu segala rahsia dan yang tersembunyi. Barang siapa yang menduga bahawa Nabi Muhammad s.a.w. atau sesiapa saja mengetahui apa yang akan terjadi esok, maka sesungguhnya dia telah berdusta besar terhadap Allah.

"Dan tidak mereka menyedari bilamana mereka dibangkitkan."

Tidak ada sesiapa pun yang ada di langit maupun yang ada di bumi mengetahui dengan pasti apa yang akan diusahakannya esok, di bumi mana dia akan mati, waktunya hari kiamat dan bilakah mereka akan dibangkitkan. Pengetahuan hari kiamat itu amat berat bagi penduduk langit dan bumi, huru-hara dan datangnya akan secara tiba-tiba.

Malaikat Jibril pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang waktu hari kiamat. Beliau s.a.w. menjawab, "Tiadalah orang yang ditanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya." Keduanya sama-sama tidak mengetahuinya.

Ada sebahagian orang yang bodoh tentang urusan Allah, mereka membuat-buat ilmu tenung melalui bintang-bintang (horoskop) dengan mengatakan bahawa barang siapa yang melakukan sesuatu dengan bintang ini, maka akibatnya akan begini atau barang siapa yang dilahirkan semasa bintang ini akan mengalami begini pada hari ini.

Allah s.w.t. telah menjadikan bintang-bintang untuk tiga kegunaan saja; sebagai perhiasan langit, sebagai tanda yang diguna untuk penunjuk arah dan sebagai alat perajam syaitan-syaitan. Maka barang siapa yang menganggap selain dari itu, bererti dia mengatakan sesuatu yang tidak ada sandarannya melainkan hanya pendapat sendiri; dia keliru besar dan menyia-nyiakan waktunya serta memaksakan diri terhadap apa yang tidak ada pengetahuan baginya tentang hal itu.

"66. Bahkan tidak sampai ilmu mereka tentang akhirat." 

Hari kiamat adalah perkara ghaib. Orang-orang yang zalim iaitu yang mendustakannya pada hari ini di dunia berada dalam kesesatan yang nyata. Mereka lemah, tidak mampu menjangkau, tidak dapat menembus dan sedikit pengetahuannya untuk mengetahui waktu terjadinya hari akhirat atau hari kiamat kerana ketidaktahuan mereka terhadap Tuhannya. Mereka tidak yakin serta tidak masuk sampai ke hati. Ini merupakan tingkatan ilmu yang paling rendah, bahkan mereka tidak mengetahui sama sekali.

Apabila berlakunya hari kiamat kelak, barulah pengetahuan mereka dapat terbuka dan mempercayainya dengan pasti, mendengar dengan terang dan melihat dengan tajam. Ilmu mereka semasa di dunia pudar ketika menyaksikannya. Namun, tidak ada manfaatnya lagi bagi mereka pengetahuan tentang kiamat.

"Bahkan mereka dalam keraguan darinya." 

Orang-orang kafir ragu-ragu tentang keberadaan dan kejadian akhirat itu. Keraguan itu menyingkirkan pengetahuan, kerana ilmu (pengetahuan) dengan semua tingkatannya tidak berkumpul bersama keragu-raguan.

"Bahkan mereka tentangnya buta." 

Hati mereka dalam kebutaan dan ketidaktahuan yang parah tentang hari kiamat dan keadaannya. Tidak terlintas di hati mereka akan terjadi atau kemungkinan untuk terjadinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...