Sabtu, 16 Julai 2016

29:47-49 Tafsir Surah Al Ankabut, ayat 47-49.

وَكَذَلِكَ أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ فَالَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمِنْ هَؤُلاءِ مَنْ يُؤْمِنُ بِهِ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلا الْكَافِرُونَ (٤٧)وَمَا كُنْتَ تَتْلُو مِنْ قَبْلِهِ مِنْ كِتَابٍ وَلا تَخُطُّهُ بِيَمِينِكَ إِذًا لارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ (٤٨)بَلْ هُوَ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ فِي صُدُورِ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلا الظَّالِمُونَ (٤٩)

Allah s.w.t. berfirman, 

"47. Dan demikianlah Kami turunkan Al Kitab." 

Allah s.w.t. menurunkan kitab kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana Dia menurunkan kitab-kitab kepada rasul-rasul sebelumnya. Iaitu Al Qur'an yang menerangkan berita yang besar, mengajak kepada akhlak yang mulia, perintah yang sempurna, membenarkan kitab-kitab sebelumnya dan dikhabarkan oleh para nabi sebelumnya.

"Maka orang-orang yang Kami berikan kepada mereka Al Kitab mereka beriman dengannya." 

Iaitu orang-orang yang mengambil Taurat dan Injil, lalu membacanya dengan bacaan yang sebenarnya dan mereka beriman kepada Al Qur'an. Mereka terdiri dari para cendekiawan dan ulama Ahli Kitab, seperti Abdullah ibnu Salam, Salman Al Farisi dan lain-lainnya yang sepertinya. Mereka mengetahuinya dengan sebenar-benarnya, tidak dimasuki hasad dan hawa nafsu. Mereka meyakini kebenaran Al Qur’an kerana persamaan dengan apa yang mereka pegang.

"Dan di antara mereka orang yang beriman dengannya." 

Iaitu orang-orang Quraisy dan orang-orang Arab lainnya. Mereka beriman kerana pandangannya yang tajam, bukan kerana sekadar suka atau takut kepadanya.

"Dan tidaklah mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang kafir." 

Mereka mendustakan, mengingkari dan membangkang kebenaran ayat-ayat Allah. Mereka menutupi perkara yang hak dengan perkara yang batil.

Ia dibawa oleh nabi yang dipercayai, kaumnya sudah mengenal kejujurannya, amanahnya, dan semua keadaannya yang seluruhnya baik.

Sesiapa saja yang menginginkan kebenaran, ia pasti beriman kepadanya kerana ia mengandungi bukti dan keterangan yang nyata bagi orang yang mempunyai akal, sedia mendengarkan dan hadir hatinya.

"48. Dan tidak kamu bacakan sebelumnya dari suatu Kitab dan kamu tidak menulisnya dengan tangan kananmu," 

Beliau s.a.w. telah tinggal di kalangan kaumnya selama usianya sebelum diturunkan Al Qur'an. Semua orang dari kalangan kaumnya dan lain-lainnya mengetahui, para nabi terdahulu dalam kitabnya masing-masing menyebutkan bahawa Beliau s.a.w. adalah seorang lelaki ummi, tidak dapat membaca dan menulis. 

Beliau s.a.w. hanya mempunyai juru tulis-juru tulis yang mencatatkan untuknya wahyu yang diturunkan, juga surat-surat yang ditujukan ke berbagai kawasan negeri. Itulah bukti bahawa Al Qur'an itu turun dari sisi Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada seorang nabi pun melainkan dianugerahi sesuatu yang serupa dengan apa yang diimani (dipercayai) oleh manusia (di masanya), dan sesungguhnya yang diberikan kepadaku hanyalah wahyu yang diturunkan Allah kepadaku, maka aku berharap semoga aku adalah yang paling ramai pengikutnya di antara mereka (para nabi)."

"jika demikian, tentu ragu-ragulah orang-orang yang mengingkari." 

Seandainya Beliau s.a.w. pandai membaca dan menulis, tentulah orang-orang yang bodoh akan mengatakan bahawa Beliau s.a.w. mengetahui Al Qur'an ini hanyalah kerana Beliau s.a.w. belajar atau menyalin dari kitab-kitab sebelumnya yang bersumber dari para nabi sebelumnya atau dari kisah-kisah dongeng dahulukala.

"49. Bahkan, ia ayat-ayat yang jelas di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu." 

Ayat-ayat Al Qur'an menunjukkan kepada perkara yang hak, mengandungi perintah, larangan, dan kebaikan. Ayat-ayatnya terpelihara dalam dada kerana dihafal oleh ramai kaum muslimin turun temurun, sering dibaca oleh lisan dan menarik hati serta mengandung mukjizat, baik dari segi lafaz maupun maknanya.

Mereka adalah manusia utama dan orang-orang yang berakal. Allah telah memberikan kemudahan kepada mereka untuk membacanya, menghafalnya, memahaminya dan menafsirkannya.

Tidak ada seorang pun yang dapat mengubahnya. Di dalam kitab-kitab terdahulu juga telah menyebutkan bahawa kitab-kitab umat Muhammad s.a.w. berada di dalam dada mereka.

Pengetahuan yang menyatakan bahawa Beliau s.a.w. tidak pernah menulis dan membaca suatu kitab pun sebelum Al Qur'an diturunkan telah dihafal di dalam dada orang-orang yang telah dianugerahi ilmu dari kalangan Ahli Kitab.

"Dan tidaklah mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim." 

Iaitu orang-orang yang aniaya, jahil, melampaui batas lagi angkuh. Mereka telah mengetahui kebenaran dengan jelas, tetapi mereka pura-pura bodoh, menolaknya, menyelisihi, mengingkari dan berpaling darinya. 

Mereka berbicara tanpa ilmu, tidak mengikuti ahli ilmu, padahal ia mampu mengetahuinya secara hakiki. Mereka tidak akan beriman, tidak akan mengikuti ahli ilmu, padahal mereka mampu mengetahuinya secara hakiki. 

Mereka tidak akan beriman, meskipun datang kepada mereka segala macam keterangan, hingga mereka ditimpa azab yang pedih.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...