Ahad, 17 Julai 2016

33:33-34 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 33-34.

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى وَأَقِمْنَ الصَّلاةَ وآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا (٣٣) وَاذْكُرْنَ مَا يُتْلَى فِي بُيُوتِكُنَّ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَالْحِكْمَةِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ لَطِيفًا خَبِيرًا (٣٤)

Allah s.w.t. berfirman, 

"33. Dan hendaklah kalian tetap dalam rumah kalian" 

Ayat ini turun berkenaan isteri-isteri Nabi s.a.w. secara khusus. Perintah ini juga meliputi seluruh wanita Islam. Maksudnya, diamlah kamu di rumahmu dan janganlah keluar rumah kecuali kerana suatu keperluan yang dibenarkan syara' seperti menunaikan solat berjemaah di masjid dalam keadaan berpakaian yang tertutup rapi.

Tubuh wanita itu adalah aurat. Maka apabila wanita itu keluar, syaitan datang menyambutnya. Rumah-rumah adalah tempat mereka yang lebih baik, selamat, menjaga mereka dan tempat yang paling dekat bagi wanita kepada rahmat Tuhannya. Mereka juga memperoleh amal yang sebanding dengan amal kaum Mujahid di jalan Allah.

"dan janganlah kalian berhias perhiasan orang-orang jahiliyah yang pertama," 

Janganlah kalian berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah dahulu. Tabarruj (berhias yang dilarang) adalah adalah menampakkan perhiasan, kecantikan, anggota tubuhnya dan semua hal yang boleh menarik perhatian dan merangsang syahwat lelaki bukan mahram. 

Tabarruj adalah hukum lain yang berbeza dengan hukum menutup aurat dan hukum wanita mengenakan tudung dan jilbab. 

Di antara perbuatan tabarruj adalah seorang wanita keluar dari rumah dan berjalan diantara lelaki, berjalan berlenggak-lenggok dan penuh gaya, berdandan atau bersolek berlebihan, berhias terhadap lelaki-lelaki asing (bukan mahram atau suaminya), memakai wangian yang kuat baunya, memakai pakaian yang terbuat dari batu permata, memakai pakaian nipis dan ketat, memakai tudung namun menampakkan anting-anting dan kalungnya, membuka sebahagian aurat, menghilangkan tahi lalat, meratakan gigi dan sebagainya.

Permulaan tabarruj adalah di masa antara masa Nabi Nuh dan Nabi Idris a.s., lamanya lebih kurang seribu tahun. Salah satu dari dua kabilah keturunan Adam bertempat tinggal di daerah dataran rendah, sedangkan yang lainnya tinggal di daerah perbukitan.

Kaum lelaki yang tinggal di pergunungan terkenal dengan ketampanannya, sedangkan kaum wanitanya tidak cantik. Kaum lelaki di daerah perbukitan pula hodoh-hodoh, sedangkan kaum wanitanya cantik-cantik.

Lalu Iblis la'natull'ah mendatangi seorang lelaki di dataran rendah dalam rupa seorang pelayan, lalu ia menawarkan jasa pelayanan kepadanya, akhirnya si iblis menjadi pelayan lelaki itu.

Kemudian iblis membuat suatu alat muzik yang serupa dengan yang biasa dipakai oleh para penggembala. Alat tersebut dapat mengeluarkan bunyi-bunyian yang sangat merdu dan belum pernah orang-orang di masa itu mendengarkan bunyian seindah itu. Bunyi muzik iblis itu didengari oleh penduduk di sekitarnya, maka berdatanganlah mereka untuk mendengarkannya.

Mereka membuat suatu hari raya setiap tahun untuk mereka berkumpul. Kaum wanita mereka menampakkan dirinya kepada kaum lelakinya dengan memakai perhiasan dan tingkah laku Jahiliah. Kaum lelaki juga berhias diri untuk kaum wanitanya pada hari raya itu.

Lalu ada seorang lelaki dari pergunungan mendatangi hari raya mereka itu, dan ia dapati kaum wanita daerah dataran rendah cantik-cantik. Ia memberitahukan hal itu kepada teman-temannya di daerah pergunungan. Akhirnya mereka turun dari gunung dan bergaul dengan wanita daerah dataran rendah. Maka timbullah fahisyah (perbuatan zina) di kalangan mereka.

Di masa Jahiliah atau sebelum datangnya Islam, mereka tidak memiliki ilmu dan agama. Kaum wanita sering keluar rumah sambil berdandan, memakai wewangian, memperlihatkan kecantikannya dan berjalan dengan berlenggang-lenggok dengan langkah yang manja dan memikat kepada kaum lelaki. Itulah tingkah laku Jahiliah.

Setelah Islam datang, khitab larangan ini berlaku menyeluruh buat semua kaum wanita mukmin. Maka yang boleh ditampakkan adalah perhiasan yang terlihat saja.

Ada beberapa penafsiran tentang ayat “kecuali yang (biasa) terlihat” iaitu perhiasan yang tampak tanpa disengaja, pakaian, celak, cincin, pacar di jari tangan dan sebagainya, yang tidak mungkin ditutupi, muka dan telapak tangannya jika tidak dikhuatirkan fitnah. Menurut pendapat yang lain, bahawa muka haram dibuka kerana ia tempat fitnah. Ini semua adalah untuk menghindari keburukan dan sebab-sebab yang membawa kepadanya.

"dan dirikanlah solat, dan tunaikanlah zakat, dan taatilah Allah dan RasulNya." 

Iaitu sembahlah Allah semata, tiada sekutu bagiNya. Berbuat baiklah kepada makhluk. Laksanakanlah perintah dan jauhilah larangan Allah dan RasulNya.

"Sesungguhnya hanyalah Allah menghendaki Dia hendak menghilangkan dari kalian dosa," 

Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kalian. Begitu juga keburukan dan kotoran, dengan adanya perintah dan larangan itu.

"ahlul bait," 

Wahai ahlul bait. Ahlul bait di sini, iaitu keluarga Rasulullah s.a.w. Ayat ini diturunkan berkenaan dengan isteri-isteri Nabi s.a.w. secara khusus kerana merekalah yang menjadi latar belakang turunnya ayat ini. 

"dan Dia akan menyucikan kalian sesuci-sucinya."

Dan membersihkan kalian sebersih-bersihnya, sehingga kalian suci lagi menyucikan. Oleh itu, pujilah Tuhan kalian dan syukurilah kerana adanya perintah dan larangan ini, yang telah Dia beritahukan maslahatnya, dan bahawa hal itu murni maslahat (tidak ada mafsadatnya).

Allah s.w.t. tidak menghendaki mengadakan kesempitan dan kesulitan bagi kalian, bahkan agar diri kalian bersih dan pahala kalian besar.

"34. Dan ingatlah kalian apa yang dibacakan dalam rumah-rumah kalian dari ayat-ayat Allah dan hikmah." 

Ingatlah akan nikmat yang telah dikhususkan Allah bagi kalian di antara semua manusia. Al Qur'an dan sunnah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada RasulNya di dalam rumahmu, bukan rumah orang lain.

Siti Aisyah r.a. adalah isteri Nabi s.a.w. yang paling utama mendapat nikmat ini, paling beruntung, serta paling khusus di antara isteri-isterinya yang lain dalam mendapatkan rahmat yang berlimpah ini. Belum pernah diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. suatu wahyu pun di atas tempat tidur seorang isteri selain dari tempat tidur Siti Aisyah r.a.

"Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut Maha Mengetahui." 

Allah Maha Lembut sehingga kalian dapat sampai pada kedudukan sekarang ini. Dia telah menjadikan ayat-ayat Allah dan hikmahNya selalu dibacakan di dalam rumah-rumah kalian. Dia Maha Lembut mengenai kesimpulan-kesimpulan yang terkandung di dalam ayat-ayatNya lagi Maha Mengetahui tentang tempat-tempatnya.

Allah Maha Mengetahui rahsia segala urusan dan yang disembunyikan dalam dada, serta yang tersembunyi di langit dan di bumi, demikian pula amal yang ditampakkan dan dirahsiakan. Dia Maha Mengetahui bahawa kalian berhak mendapatnya, maka Dia memberikannya kepada kalian dan mengkhususkannya hanya buat kalian. Dia memilih kalian sebagai isteri-isteri Nabi s.a.w.

Kelembutan dan pengetahuanNya menghendaki untuk mendorong mereka berbuat ikhlas dan menyembunyikan amal, dan pemberian balasan dari Allah kepada amal mereka. Di antara makna Lathiif (Yang Mahalembut) adalah, bahawa Dia yang mengarahkan kebaikan kepada seorang hamba dan mengarahkan rezeki untuknya dari arah yang tidak dia ketahui, dan Dia akan memperlihatkan kepadanya sebab-sebab yang tidak disenangi oleh jiwa sebagai jalan baginya menuju darjat dan kedudukan yang lebih tinggi.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...