Ahad, 3 Julai 2016

3:95-97 Tafsir Surah Ali Imran, ayat 95-97.

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٩٥)إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِلْعَالَمِينَ (٩٦)فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَقَامُ إِبْرَاهِيمَ وَمَنْ دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (٩٧)

Allah s.w.t. berfirman,

"95. Katakanlah, "Benarlah Allah.""

Allah s.w.t. benar dalam semua yang difirmankan dan disyariatkanNya di dalam Al Qur'an.

"Maka ikutilah kalian agama Ibrahim yang lurus, dan bukanlah dia menjadi termasuk orang-orang yang musyrik."

Ikutilah agama Nabi Ibrahim a.s. yang telah disyariatkan oleh Allah di dalam Al Qur'an melalui lisan Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya agama Nabi Muhammad itu adalah agama yang hak, yang tidak diragukan lagi dan tidak ada kebimbangan padanya. la merupakan jalan yang belum pernah didatangkan oleh seorang nabi pun dalam bentuk yang lebih sempurna, lebih jelas, lebih terang dan lebih lengkap.

'Yang lurus' bermaksud menyelisihi semua agama selain Islam. Agama Nabi Ibrahim a.s. adalah Islam, kerana Beliau di atas tauhid dan tidak berada di atas syirk.

Ahli Kitab mengatakan bahawa kiblat mereka lebih dulu dibangun sebelum kiblat kaum muslimin. Maka Allah s.w.t. berfirman membantah mereka.

"96. Sesungguhnya mula-mula rumah diletakkan bagi manusia ialah yang di Bakkah" 

Banyak rumah yang dibangun sebelum Masjidil Haram, tetapi Baitullah adalah rumah yang mula-mula dibangun sebagai tempat beribadah. Mereka melakukan tawaf dan solat serta beri'tikaf di sana. Kemudian Al Aqsa dibangunkan. Jarak masa antara keduanya adalah 40 tahun.

Bakkah ialah Baitullah, Masjidil Haram dan sekitarnya, sedangkan selain itu dinamakan Mekah. Sempadan Mekah adalah dari Al Faj sampai ke Tan'im, sedangkan Bakkah adalah dari Baitullah sampai ke Al Batha.

Dinamakan Bakkah kerana kota Mekah dapat membuat orang-orang yang zalim dan angkara murka menjadi hina dan tunduk bila memasukinya. Juga kerana manusia berdesak-desakan di dalamnya, hingga kaum wanita dapat solat di depan kaum lelaki. Hal seperti ini hanya boleh dilakukan di dalam kota Mekah.

Nama lain bagi Mekah adalah Bakkah, Baitul Atiq, Baitul Haram, Baladul Amin, Al Mamun, Ummu Rahim, Ummul Qura, Salah, Al Arsy, Al Qadis (kerana menyucikan dosa-dosa), Al Muqaddasah, An Nasah, Al Basah, Al Balsah, Al Hatimah, Ar Ras, Kausa, Al Baldah, Al Bunyah, dan Al Ka'bah.

"yang diberkahi" 

Iaitu diberkahi sejak awal pembangunannya.

"dan menjadi petunjuk bagi seluruh alam." 

Iaitu kiblat mereka.

"97. Di dalamnya ayat-ayat yang nyata, maqam Ibrahim." 

Di sana terdapat tanda-tanda yang jelas, maqam Ibrahim. Tanda-tanda yang jelas adalah Allah tanamkan dalam hati manusia rasa hormat dan ta'zhim kepadanya, mereka rela mengorbankan jiwa dan harta untuk dapat sampai ke sana serta siap memikul beban-beban berat untuknya, di samping itu di dalamnya juga terdapat rahsia dan makna yang tinggi. Bahkan dalam pekerjaan haji pun terdapat hikmah dan maslahat yang sangat banyak.

Tanda-tanda yang jelas dan nyata menunjukkan bahawa Ka'bah dibangun oleh Nabi Ibrahim a.s. adalah Maqam Ibrahim atau Hijr, alat yang digunakan oleh Nabi Ibrahim a.s. untuk berdiri ketika dinding Ka'bah mulai meninggi. Sedangkan anaknya iaitu Nabi Ismail a.s. membekalkan bebatuan. Terdapat bekas pijakan kedua tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. pada batu itu.

Pada mulanya hijr atau maqam Ibrahim ini melekat pada dinding Ka'bah, kemudian pada masa pemerintahan Khalifah Umar ibnul Khattab r.a. maqam tersebut dipindahkan ke sebelah timur Ka'bah, di tempat yang ada sekarang supaya memudahkan orang-orang yang bertawaf dan tidak berdesak-desakan dengan orang-orang yang solat di dekatnya sesudah melakukan tawaf kerana Allah s.w.t. telah memerintahkan agar melakukan solat di dekat maqam Ibrahim.

Ada juga yang berpendapat, bahawa yang dimaksud maqam Ibrahim di sini adalah maqam-maqam (posisi-posisi) Beliau di semua tempat manasik, sehingga termasuk di dalamnya semua bahagian haji, di mana masing-masingnya terdapat tanda yang jelas seperti tawaf, sa'i dan tempatnya, wuquf di 'Arafah dan Muzdalifah, melempar jamrah dan syi'ar-syi'ar lainnya.

"Dan barang siapa yang memasukinya, dia menjadi aman." 

Ini termasuk tanda yang jelas. Sesungguhnya Mekah diharamkan oleh Allah s.w.t. sejak Dia menciptakan langit dan bumi sampai hari kiamat. Ia bukan diharamkan oleh manusia. Dia telah menjadikan Mekah yang diharamkan (disucikan), aman dari semua ketakutan dan kejahatan. Juga aman dari api neraka.

Orang yang memasuki Baitullah akan aman baik secara syara' maupun taqdir. Secara syara' adalah, bahawa Allah memerintahkan rasulNya untuk menghormatinya dan mengamankan orang yang memasukinya.

Di dalam kota Mekah, diharamkan membawa senjata, mengalirkan darah, berperang, memburu binatang, mengherdiknya dari sarangnya, menebang pepohonannya, mencabut rerumputannya dan memungut barang-barang yang ditemui.

Barang siapa yang berlindung di Baitullah, maka Baitullah melindunginya. Tetapi Baitullah tidak memberikan naungan, makanan dan minuman. Bila ia keluar darinya, maka ia pasti dihukum kerana dosanya.

Adapun aman secara taqdir adalah, bahawa Allah s.w.t. dengan taqdirNya menetapkan dalam diri manusia, termasuk orang-orang kafir dan musyrik untuk menghormatinya. Orang yang berniat jahat terhadap Baitullah akan dihukum segera sebagaimana yang terjadi pada As habul Fiil (tentera bergajah yang hendak menghancurkan ka'bah).

"Dan bagi Allah atas manusia berhaji Baitullah," 

Kewajiban manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah. Ibadah haji adalah salah satu rukun Islam dan merupakan tiang serta asasnya. Ia hanya diwajibkan sekali dalam seumur hidup. Selebihnya adalah sunat.

"orang yang mampu kepadanya jalan." 

Bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Iaitu orang-orang yang mampu mendapatkan perbelanjaan, perbekalan, pengangkutan, sihat dan perjalanan pun aman serta keluarga yang ditinggalkannya terjamin kehidupannya.

Ketika Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima darinya." (Ali Imran: 85) Maka orang-orang Yahudi berkata, "Kami adalah orang-orang muslim."

Tetapi Allah membantah pengakuan mereka dan mematahkan alasan mereka melalui sabda Nabi s.a.w. kepada mereka, "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan atas kaum muslim berhaji ke Baitullah, iaitu orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah."

Orang-orang Yahudi menjawab, "Belum pernah diwajibkan atas kami," dan mereka menolak, tidak mahu melakukan haji. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"Dan barang siapa yang ingkar," 

Barang siapa mengingkari haji. Iaitu barang siapa yang berkemampuan, tetapi dia ingkar terhadap kefarduan ibadah haji, maka sesungguhnya dia telah kafir, maka sama saja baginya bilamana dia mati sebagai seorang Yahudi atau seorang Nasrani.

"maka sungguh Allah Maha Kaya dari seluruh alam."

Dia tidak memerlukan sesuatu pun dari manusia, jin, malaikat dan ibadah mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...