Selasa, 5 Julai 2016

4:153-155 Tafsir Surah An Nisa, ayat 153-155.

يَسْأَلُكَ أَهْلُ الْكِتَابِ أَنْ تُنَزِّلَ عَلَيْهِمْ كِتَابًا مِنَ السَّمَاءِ فَقَدْ سَأَلُوا مُوسَى أَكْبَرَ مِنْ ذَلِكَ فَقَالُوا أَرِنَا اللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْهُمُ الصَّاعِقَةُ بِظُلْمِهِمْ ثُمَّ اتَّخَذُوا الْعِجْلَ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ فَعَفَوْنَا عَنْ ذَلِكَ وَآتَيْنَا مُوسَى سُلْطَانًا مُبِينًا (١٥٣) وَرَفَعْنَا فَوْقَهُمُ الطُّورَ بِمِيثَاقِهِمْ وَقُلْنَا لَهُمُ ادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا وَقُلْنَا لَهُمْ لا تَعْدُوا فِي السَّبْتِ وَأَخَذْنَا مِنْهُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا (١٥٤) فَبِمَا نَقْضِهِمْ مِيثَاقَهُمْ وَكُفْرِهِمْ بِآيَاتِ اللَّهِ وَقَتْلِهِمُ الأنْبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَقَوْلِهِمْ قُلُوبُنَا غُلْفٌ بَلْ طَبَعَ اللَّهُ عَلَيْهَا بِكُفْرِهِمْ فَلا يُؤْمِنُونَ إِلا قَلِيلا (١٥٥) 

Allah s.w.t. berfirman,

"153. Akan meminta kepadamu Ahli Kitab agar kamu menurunkan kepada mereka Kitab dari langit," 

Orang-orang Yahudi pernah meminta agar Rasulullah s.a.w. menurunkan kepada mereka sebuah kitab dari langit sebagaimana Taurat yang diturunkan sekaligus, lembaran-lembaran dalam keadaan bertulis dari Allah dan tertulis, ditujukan kepada si Fulan dan si Fulan, untuk membuktikan kebenarannya.

Permintaan mereka ini merupakan kezaliman, kebodohan, penghinaan, keingkaran, kekufuran, dan kemurtadan mereka. Menentukan yang hak dan batil dengan melihat samada kitab itu diturunkan secara sekaligus atau tidak hanyalah dakwaan yang tidak berdalil dan tidak munasabah (kesesuaian).

Rasul adalah manusia, hamba yang diatur, tidak memiliki kekuasaan, semua urusannya di Tangan Allah yang mengutus dan menurunkan sesuai yang dikehendakiNya. Al Qur'an diturunkan secara bertahap, tartil (teratur dan benar) dan terbaik penjelasannya sesuai keadaan menunjukkan keagungannya dan perhatian Allah, menguatkan hati, kepada orang yang diturunkannya.

Permintaan mereka itu tidaklah asing, bahkan ada perbuatan-perbuatan buruk mereka yang lebih parah lagi.

"maka sungguh mereka meminta Musa lebih besar dari itu. Maka mereka berkata, "Perlihatkan Allah pada kami secara nyata." Maka menimpa mereka petir kerana kezaliman mereka."

Permintaan untuk melihat Allah secara langsung adalah perbuatan zalim dan melampaui batas. Juga kerana keangkuhan dan keingkaran mereka.
"Kemudian mereka menjadikan anak lembu, setelah datang kepada mereka bukti-bukti yang nyata,"

Mereka telah melihat mukjizat-mukjizat Nabi Musa a.s. di Mesir, tenggelamnya Firaun dan bala tenteranya ke dalam laut. Tetapi setelah berjalan bersama Nabi Musa a.s. dan mereka bersua dengan suatu kaum yang menyembah berhala-berhalanya, mereka meminta agar Nabi Musa a.s. membuatkan untuk mereka sebuah tuhan (berhala) sebagaimana kaum itu yang mempunyai beberapa tuhan (berhala). Setelah Nabi Musa a.s. berangkat ke Gunung Tursina untuk bermunajat kepada Allah s.w.t., mereka menyembah anak sapi emas yang dibuat oleh Samiri.

"maka Kami memaafkan dari demikian itu,"

Allah s.w.t. menjadikan taubat orang yang menyembah dan yang membuatnya, hendaknya orang yang tidak ikut menyembah membunuh orang yang menyembahnya. Akhirnya sebahagian dari mereka membunuh sebahagian yang lain.

"dan Kami mendatangkan Musa kekuasaan yang nyata."

Iaitu kekuasaan terhadap kaumnya. Ketika Beliau memerintahkan mereka membunuh diri mereka sebagai taubatnya, mereka pun menurutinya.

"154. Dan Kami angkat di atas mereka Bukit Tursina dengan perjanjian mereka." 

Mereka diperintahkan agar menerima perjanjian dengan Allah s.w.t. iaitu tetap berpegang teguh kepada kitab Taurat yang didatangkan oleh Nabi Musa a.s. Tetapi mereka membangkang dan enggan menerimanya.

Lalu Allah s.w.t. mengangkat Gunung Tursina, terapung seakan-akan naungan awan di atas kepala mereka untuk mengancam, menakuti dan memaksa mereka. Jika mereka tidak mahu menerimanya, maka gunung tersebut akan dijatuhkan ke atas mereka. Akhirnya mereka terpaksa menyanggupinya dan bersujud seraya memandang ke atas kepala mereka kerana takut gunung itu jatuh menimpa mereka.

"Dan Kami katakan kepada mereka, "Masukilah pintu bersujud.""

Sedang gunung itu masih di atas kepala, mereka diperintahkan agar memasuki pintu Baitul Maqdis sambil bersujud dan mengucapkan doa hittah yang ertinya "Ya Allah, hapuslah dari diri kami dosa-dosa kami." Tetapi mereka memasukinya sambil merangkak, dan ucapannya mereka ganti menjadi hintah fi sya'rah. Oleh itu, mereka disesatkan di padang sahara selama empat puluh tahun.

"Dan Kami katakan kepada mereka, "Janganlah kalian melanggar pada hari Sabat.""

Hari Sabat adalah hari Sabtu, hari khusus untuk beribadah bagi orang Yahudi. Mereka diperintahkan agar memelihara kesuciannya dan berpegang teguh menjauhi hal-hal yang diharamkan oleh Allah atas mereka, selagi hal tersebut disyariatkan bagi mereka. Antaranya adalah mereka dilarang menangkap ikan pada hari Sabtu.

"Dan Kami mengambil dari mereka janji yang kukuh."

Iaitu perjanjian yang berat dan mereka tidak memenuhinya, mereka melanggarnya dan berbuat derhaka serta menggunakan tipu muslihat (hailah) untuk melakukan hal yang diharamkan oleh Allah s.w.t.

"155. Maka disebabkan pelanggaran mereka terhadap janji mereka, dan kekafiran mereka kepada ayat-ayat Allah," 

Di antara dosa-dosa yang mereka lakukan adalah melanggar janji-janji dan ikatan-ikatan yang telah diambil dari mereka, kufur terhadap ayat-ayat Allah, yakni hujah-hujah dan bukti-bukti kekuasaanNya serta mukjizat-mukjizat yang mereka saksikan sendiri dari tangan para nabi mereka. Mereka dilaknat, diusir dari rahmatNya dan dijauhkan dari jalan petunjuk. Maka, mereka dihukum dengan hukuman yang menghinakan, mengutuk mereka, mereka disambar petir, menjelmakan mereka menjadi kera, dan sebagainya.

"dan pembunuhan mereka para nabi tanpa hak," 

Kejahatan dan kebiadapan mereka yang luar biasa kepada nabi-nabi Allah, hingga mereka berani membunuh sejumlah nabi dari kalangan mereka tanpa alasan yang benar.

"dan perkataan mereka, "Hati kami tertutup.""

Mereka beralasan kepada Nabi s.a.w. bahawa hati mereka tidak dapat memahami apa yang dikatakannya kerana hati mereka telah terkunci mati dan dalam keadaan tertutup. Sama dengan ucapan orang-orang musyrik, "Hati kami berada dalam tutupan yang menutupi apa yang kamu seru kami kepadanya."

"Bahkan Allah mengunci mati atasnya kerana kekafiran mereka," 

Hati mereka telah terkunci mati kerana kekufuran mereka sendiri. Mereka berkeyakinan bahawa hati mereka adalah wadah ilmu yang telah penuh dengan ilmu pengetahuan.

"maka mereka tidak akan beriman kecuali sedikit."

Kerana itu hanya sebahagian kecil dari mereka yang beriman seperti Abdullah bin Salam dan kawan-kawannya. Hati mereka yang tidak beriman itu sudah terbiasa dengan kekufuran, kezaliman, serta keimanan yang sedikit sekali.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...