Isnin, 29 Ogos 2016

11:17 Tafsir Surah Hud, ayat 17.

أَفَمَنْ كَانَ عَلَى بَيِّنَةٍ مِنْ رَبِّهِ وَيَتْلُوهُ شَاهِدٌ مِنْهُ وَمِنْ قَبْلِهِ كِتَابُ مُوسَى إِمَامًا وَرَحْمَةً أُولَئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ مِنَ الأحْزَابِ فَالنَّارُ مَوْعِدُهُ فَلا تَكُ فِي مِرْيَةٍ مِنْهُ إِنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يُؤْمِنُونَ (١٧)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan keadaan Nabi Muhammad s.a.w. dan orang-orang mukmin yang mengikuti Beliau menegakkan agamaNya.

"17. Maka apakah orang yang dia atas bukti yang nyata dari Tuhannya," 

Orang-orang kafir itu tidak sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum mukmin yang mempunyai dan mengikuti Al Qur'an. Mereka menghadapkan wajah dengan lurus kepada agama Islam. Mereka berada pada fitrah Allah yang telah difitrahkanNya kepada semua hambaNya, iaitu pengakuan yang menyatakan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka hanya kedua orang tuanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi atau seorang Nasrani atau seorang Majusi. Sama halnya dengan ternak unta betina yang melahirkan unta dalam keadaan utuh, apakah kalian melihat adanya kecacatan pada telinganya?"

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hambaKu dalam keadaan hanif lalu datanglah syaitan kepada mereka sehingga syaitan menyesatkan mereka dari agamanya. Dan syaitan mengharamkan atas mereka apa yang telah Aku halalkan kepada mereka. Dan syaitan memerintahkan kepada mereka agar mempersekutukan Aku dengan apa yang Aku tidak menurunkan keterangan tentangnya.”"

Di dalam kitab Musnad dan kitab Sunan disebutkan, "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan memeluk agama (Islam) ini, sehingga lisannya dapat berbicara mengungkapkan keinginannya." Tetapi orang mukmin tetap dalam keadaan fitrah ini.

"dan membacakannya seorang saksi dariNya" 

Diikuti pula oleh saksi dari sisi Allah yang membenarkannya iaitu Malaikat Jibril a.s. Ada yang menafsirkan "saksi" bermaksud Al Quran kerana Al Quran adalah suatu mukjizat yang tidak dapat dibantah atau dibatalkan. Ada yang menafsirkan "saksi" adalah fitrah yang lurus dan akal yang sihat, di mana fitrah dan akal mendukungnya sehingga imannya bertambah. Dan ada yang menafsirkan "saksi" adalah Nabi Muhammad s.a.w.

Jibril a.s. menyampaikan wahyu atau risalah Allah s.w.t. kepada para nabi, berupa syariat-syariat yang suci, sempurna, diagungkan, dan diakhiri dengan syariat Nabi Muhammad s.a.w. Dan Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan kepada umatnya.

Seorang mukmin dengan bekal fitrah yang ada pada dirinya dapat menyaksikan kebenaran syariat secara umum, dan secara rinci tersimpulkan dari syariat itu sendiri. Kemudian fitrahnya membenarkan dan mengimaninya.

"dan sebelumnya Kitab Musa pedoman dan rahmat?"

Sebelum Al Qur’an itu telah ada kitab Taurat. Allah s.w.t. menurunkannya kepada umat tersebut sebagai pedoman dan panutan yang mereka ikuti serta sebagai rahmat dari Allah buat mereka. Taurat juga menjadi saksi terhadap kebenaran Al Qur’an dan sejalan dengan kebenaran yang dibawanya.

"Mereka itu beriman dengannya." 

Maka barang siapa yang benar-benar beriman kepada Taurat, nescaya hal itu akan membimbingnya untuk beriman kepada Al Qur'an apabila ia diturunkan.

"Dan barang siapa yang kafir dengannya dari golongan maka neraka tempat yang akan diancamkan kepadanya," 

Barang siapa dari kalangan penduduk bumi yang kafir kepada Al Qur'an, baik dari kalangan orang-orang Quraisy, musyrik, ahli kitab dan orang-orang kafir lain-lainnya yang telah sampai kepadanya Al Qur'an, maka nerakalah tempat baginya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, tiada seorang pun dari kalangan umat ini yang mendengar tentang aku, baik dia orang Yahudi ataupun orang Nasrani, lalu ia tidak beriman kepadaku, melainkan pasti masuk neraka."

"maka janganlah kamu dalam keraguan darinya. Sesungguhnya dia benar dari Tuhan kamu," 

Janganlah kamu ragu-ragu atau bimbang dengan kebenaran Al Qur'an. Sesungguhnya Al Qur'an itu benar-benar dari sisi Allah s.w.t.

"dan akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman."

Ada yang tidak beriman kerana kebodohan dan kesesatannya, dan ada pula yang tidak beriman kerana kezaliman, sikap keras dan penentangannya. Hal itu, kerana kalau niat mereka baik dan pemahamannya lurus, tentu ia akan beriman, kerana semua sisi, mendorongnya untuk beriman.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...