Khamis, 11 Ogos 2016

23:23-30 Tafsir Surah Al Mu’minun, ayat 23-30.

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلا تَتَّقُونَ (٢٣) فَقَالَ الْمَلأ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ مَا هَذَا إِلا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُرِيدُ أَنْ يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لأنْزَلَ مَلائِكَةً مَا سَمِعْنَا بِهَذَا فِي آبَائِنَا الأوَّلِينَ (٢٤) إِنْ هُوَ إِلا رَجُلٌ بِهِ جِنَّةٌ فَتَرَبَّصُوا بِهِ حَتَّى حِينٍ (٢٥) قَالَ رَبِّ انْصُرْنِي بِمَا كَذَّبُونِ (٢٦) فَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِ أَنِ اصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا فَإِذَا جَاءَ أَمْرُنَا وَفَارَ التَّنُّورُ فَاسْلُكْ فِيهَا مِنْ كُلٍّ زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلا مَنْ سَبَقَ عَلَيْهِ الْقَوْلُ مِنْهُمْ وَلا تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا إِنَّهُمْ مُغْرَقُونَ (٢٧) فَإِذَا اسْتَوَيْتَ أَنْتَ وَمَنْ مَعَكَ عَلَى الْفُلْكِ فَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي نَجَّانَا مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (٢٨) وَقُلْ رَبِّ أَنْزِلْنِي مُنْزَلا مُبَارَكًا وَأَنْتَ خَيْرُ الْمُنْزِلِينَ (٢٩) إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ وَإِنْ كُنَّا لَمُبْتَلِينَ (٣٠)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan risalah hamba dan RasulNya yang pertama diutus kepada manusia iaitu Nuh a.s.

"23. Dan sungguh, Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya," 

Kaumnya menyembah patung-patung. Beliau mengajak mereka menyembah Allah saja, memberikan peringatan kepada mereka akan azab Allah, juga pembalasanNya yang keras terhadap orang-orang yang mempersekutukanNya, menentang perintahNya serta mendustakan rasul-rasulNya.

"lalu dia berkata, "Wahai kaumku! Sembahlah Allah, tidaklah bagi kalian dari Tuhan selain Dia.""

Hanya Allah saja yang berhak diibadahi kerana Dia adalah Pencipta dan Pemberi rezeki yang memiliki segala kesempurnaan.

"Maka apakah kalian tidak bertakwa?"

Kaumnya tidak takut hukuman dari Allah dan beribadah kepada selainNya. Nasihatnya tidak mempengaruhi mereka. Kaumnya tetap enggan mengikuti ajakannya. Mereka tetap menyembah selain Allah, semakin menjauh dan melampaui batas.

Meskipun demikian, Beliau tetap bersabar mengajak mereka di malam dan siang hari, secara sembunyi atau terang-terangan selama 950 tahun.

"24. Maka berkata pemuka-pemuka orang-orang yang kafir dari kaumnya, "Tidaklah ini kecuali manusia seperti kalian, dia menghendaki bahawa dia lebih utama atas kalian.""

Pemimpin-pemimpin kafir menentang Nabi Nuh a.s. dan memperingatkan kaumnya agar tidak mengikutinya. Mereka menuduh bahawa Nuh a.s. mengaku dirinya nabi supaya dipandang besar dan tinggi oleh mereka, padahal dia adalah seorang manusia, sama dengan mereka. Tidak mungkin Nuh saja yang diberi wahyu, sedangkan mereka tidak.

Penentangan seperti ini sentiasa ada dalam diri orang-orang yang mendustakan para rasul. Para rasul sememangnya hanya manusia seperti mereka. Akan tetapi Allah memberi kurnia dan nikmatNya kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya. Sesiapa pun tidak dapat menghalangi Allah ketika Dia memberikan kurniaNya.

"Dan sekiranya Allah menghendaki, tentu Dia turunkan malaikat." 

Mereka menyangka bahawa sekiranya Allah hendak mengutus seorang nabi, tentulah Dia mengutus malaikat dari sisiNya, bukan manusia. Allah Maha Bijaksana lagi Maha Penyayang. Hikmah dan rahmatNya menghendaki Rasul itu dari kalangan manusia, kerana malaikat tidak boleh berbicara dengan manusia kecuali jika ia menjelma menjadi manusia.

"Kami tidak mendengar dengan ini pada bapa-bapa kami terdahulu." 

Mereka belum pernah mendengar seorang manusia menjadi rasul di kalangan nenek moyang terdahulu. Maka Nuh a.s. dituduh cuba menyesatkan mereka. Pengetahuan mereka tentang masa lalu terbatas. Namun, kejahilan mereka bukanlah alasan untuk mendustakannya.

"25. Tidaklah dia kecuali seorang lelaki dengannya gila," 

Maksudnya, gila dengan pengakuannya yang menyatakan bahawa Allah mengutusnya kepada mereka, dan hanya dirinyalah yang menerima wahyu dari Allah.

"maka tunggulah kalian dengannya sehingga suatu waktu." 

Iaitu tunggulah sampai waktu kematiannya, dan bersabarlah terhadap Nuh untuk sementara waktu, sesudah itu mereka akan bebas darinya. Nabi Nuh a.s. merasakan bahawa seruannya tidak bermanfaat apa-apa bagi mereka, bahkan membuat mereka semakin jauh.

"26. Dia berkata, "Tuhanku, tolonglah aku dengan apa yang mereka dustakan aku.""

Nabi Nuh a.s. memohon kepada Allah s.w.t. agar kaumnya dikalahkan dan dibinasakan.

"27. Maka Kami wahyukan kepadanya agar, "Buatlah perahu dengan pengawasan Kami dan wahyu Kami,""

Maka pada saat itu juga Allah memerintahkan dan mengajarkan Nuh a.s. membina sebuah kapal besar yang kuat dan kukuh.

"maka apabila datang perintah Kami" 

Iaitu azab Allah.

"dan telah memancar tanur," 

Tanur ialah sejenis alat pemasak roti yang diletakkan di dalam tanah dibuat dari tanah liat, biasanya tidak ada air di dalamnya. Maksudnya, terpancarnya air dari bumi nanti menandakan bahawa banjir besar akan tiba.

"maka masukkanlah di dalamnya dari setiap sepasang dua, dan keluargamu," 

Hendaknyalah Nuh a.s. memuatkan ke dalam kapalnya itu dari tiap-tiap jenis, baik manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain sebagainya yang berpasangan, iaitu jantan dan betina. Dibawa juga isteri-isteri dan anak-anaknya yang beriman.

"kecuali orang yang lebih dulu atasnya perkataan di antara mereka." 

Orang-orang yang telah ditetapkan akan ditimpa siksaan diantara keluarganya adalah isterinya dan anaknya Kan’an (Yaam). Adapun ketiga isterinya yang lain dan anak-anaknya yang lain (Haam, Saam, dan Yaafits) ikut bersama Nuh a.s. Jumlah orang yang ikut menaiki kapal Nabi Nuh a.s. adalah 10, 72 atau 80 orang dengan wanitanya. Wallahu a’lam.

"Dan janganlah kamu bicara denganKu tentang orang-orang yang zalim,"

Maksudnya adalah, semasa kamu menyaksikan turunnya hujan lebat, janganlah sekali-kali merasa kasihan atau sayang terhadap mereka, jangan berdoa kepadaKu untuk menyelamatkan mereka atau ditangguhkan azab itu dari mereka dengan harapan mereka beriman.

"sungguh mereka, mereka ditenggelamkan."

Allah s.w.t. telah menetapkan dan menakdirkan bahawa mereka adalah orang-orang yang binasa dengan ditenggelamkan disebabkan kezaliman dan kekafiran mereka. Air naik setinggi 15 atau 80 hasta di atas puncak gunung tertinggi di muka bumi, dan air itu memenuhi seluruh bumi dan tidak ada lagi orang yang hidup.

"28. Maka apabila kamu telah berada, kamu dan orang yang bersamamu di atas perahu, maka katakan, "Segala puji bagi Allah yang menyelamatkan kami dari kaum yang zalim.""

Iaitu orang-orang kafir dan pembinasaan yang menimpa mereka.

"29. Dan katakanlah, "Tuhanku, tempatkanlah aku di tempat yang diberkahi, dan Engkau sebaik-baik Pemberi tempat.""

Doa ini dibaca semasa Beliau turun dari kapal.

"30. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat ayat-ayat;" 

Kejadian itu telah menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t., hanya Dia saja yang berhak disembah, RasulNya Nuh a.s. adalah benar, sedangkan kaumnya dusta, rahmat Allah kepada hamba-hambaNya dengan menyelamatkan dan mengangkut kaum mukmin dalam kapal Nabi Nuh a.s. ketika penduduk bumi yang kafir dibinasakan dan tenggelam.

"dan sungguh Kami sungguh menguji." 

Sesungguhnya Allah s.w.t. benar-benar menimpakan siksaan. Dia benar-benar mencoba hamba-hambaNya dengan mengutuskan para rasul kepada mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...