Jumaat, 5 Ogos 2016

7:103-108 Tafsir Surah Al A'raf, ayat 103-108.

ثُمَّ بَعَثْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ مُوسَى بِآيَاتِنَا إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ فَظَلَمُوا بِهَا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ (١٠٣) وَقَالَ مُوسَى يَا فِرْعَوْنُ إِنِّي رَسُولٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ (١٠٤) حَقِيقٌ عَلَى أَنْ لا أَقُولَ عَلَى اللَّهِ إِلا الْحَقَّ قَدْ جِئْتُكُمْ بِبَيِّنَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ فَأَرْسِلْ مَعِيَ بَنِي إِسْرَائِيلَ (١٠٥) قَالَ إِنْ كُنْتَ جِئْتَ بِآيَةٍ فَأْتِ بِهَا إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ (١٠٦) فَأَلْقَى عَصَاهُ فَإِذَا هِيَ ثُعْبَانٌ مُبِينٌ (١٠٧) وَنَزَعَ يَدَهُ فَإِذَا هِيَ بَيْضَاءُ لِلنَّاظِرِينَ (١٠٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"103. Kemudian Kami utus setelah mereka Musa dengan ayat-ayat Kami kepada Fir'aun dan pemuka-pemukanya, maka mereka zalim dengannya." 

Sesudah rasul-rasul seperti Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Saleh, Nabi Lut, dan Nabi Syu'aib, Allah s.w.t. utus Nabi Musa a.s. dengan membawa bukti-bukti dan dalil-dalilNya kepada Fir’aun. Fir'aun adalah gelaran bagi raja-raja Mesir purbakala. Fir'aun di masa Nabi Musa a.s. adalah Merneptah anak dari Ramses II.

Al mala' bermaksud kaumnya, iaitu pembesar-pembesar negerinya. Tetapi mereka mengingkari ayat-ayat itu dan mengafirinya kerana kezaliman, kesombongan dan aniaya yang timbul dari diri mereka. Padahal hati mereka meyakini kebenarannya.

"Maka perhatikanlah bagaimana keadaan akibat orang-orang yang membuat kerosakan." 

Berbuat kerosakan bermaksud menghalang-halangi jalan Allah dan mendustakan rasul-rasulNya. Dia tenggelamkan dan membinasakan mereka ke akar-akarnya di hadapan pandangan mata Musa dan para pengikutnya, mengiringi mereka dengan celaan dan laknat di dunia dan pada hari kiamat

Hal ini merupakan suatu pembalasan yang menyakitkan dan seburuk-buruk pemberian terhadap Firaun dan kaumnya, serta melegakan kalbu kekasih-kekasih Allah, iaitu Musa a.s. dan orang-orang mukmin yang bersamanya.

Ketika Musa a.s. pergi ke Mesir untuk mengajak Fir’aun beriman di hadapan kaumnya dari bangsa Qibti.

"104. Dan berkata Musa, "Wahai Fir'aun! Sesungguhnya aku seorang rasul dari Tuhan seluruh alam.""

Maksudnya, Tuhan yang telah menciptakan segala sesuatu telah mengutusku menjadi seorang rasul, Dia adalah Pemilik dan Penguasa segala sesuatu.

"105. Seharusnya supaya tidak mengatakan tentang Allah kecuali kebenaran." 

Wajib atasnya tidak berkata dusta terhadap Allah dan tidak mengatakan selain kata-kata yang benar. Kerana jika tidak begitu, Beliau akan ditimpa dengan hukuman yang segera.

"Sungguh, aku datang pada kalian dengan bukti dari Tuhan kalian," 

Hal ini tentu mengharuskan mereka tunduk dan mengikutinya, lebih-lebih lagi telah datang kepada mereka bukti dan hujjah yang pasti dari Allah yang menunjukkan kebenaran apa yang Beliau sampaikan. Oleh itu mereka harus melaksanakan tujuan daripada risalahNya, iaitu mengikuti dan mengimaninya.

"maka lepaskanlah bersama aku Bani Israil." 

Maksudnya, lepaskanlah mereka dari tahanan dan penindasanmu, dan biarkanlah mereka menyembah Tuhanmu dan Tuhan mereka (Allah).

Bani Israil diberikan kelebihan oleh Allah di atas bangsa yang lain pada zaman itu dan berasal dari keturunan seorang nabi yang mulia iaitu Israil atau Nabi Ya'qub ibnu Ishaq ibnu Ibrahim, kekasih Allah Yang Maha Pemurah.

"106. Dia berkata, "Jika kamu datang dengan suatu ayat, maka datangkanlah dengannya jika kamu termasuk orang-orang yang benar.""

Fir'aun enggan percaya kepada semua yang Musa a.s. katakan, dan tidak akan mengabulkan permintaannya dan dia meminta bukti yang menunjukkan kebenaran Musa a.s.

"107. Maka dia melempar tongkatnya, maka tiba-tiba ia ular yang sebenarnya." 

Maka Musa a.s. menjatuhkan tongkatnya, lalu seketika itu juga tongkat itu bertukar menjadi ular jantan yang sangat besar, hingga boleh memenuhi suatu kota. Ular itu membuka mulutnya, bahagian bawah mulutnya berada di tanah, sedangkan bahagian atasnya sampai ke tembok yang paling tinggi dari binaan yang terdekat.

Kemudian ular itu merayap dengan cepat ke arah Fir'aun untuk menelannya. Fir'aun merasa takut tak terhingga, lalu dia segera melompat dari singgasananya sambil terkencing-kencing. Keadaan seperti itu belum pernah dia alami sebelumnya.

Fir'aun menjerit meminta tolong kepada Musa a.s., "Hai Musa, hentikanlah ular itu, aku mahu beriman kepadamu dan aku akan melepaskan kaum Bani Israil pergi bersamamu." Maka Musa a.s. memegang ular itu, dan kembalilah ular itu menjadi tongkat. Musa a.s. memasukkan tangannya ke leher bajunya.

"108. Dan dia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba ia putih bagi orang-orang yang melihat." 

Semua orang yang ada menyaksikan tangan Musa a.s. menjadi putih bercahaya, bukan kerana penyakit kulit atau penyakit lainnya. Kemudian Musa a.s. memasukkannya kembali ke leher bajunya, maka tangannya kembali kepada keadaan asal.

Inilah kedua bukti yang menunjukkan kebenaran apa yang dibawa Nabi Musa a.s., dan bahawa Beliau adalah utusan Allah Rabbul ‘alamin, akan tetapi orang yang tidak beriman kalau pun telah telah didatangkan setiap bukti, mereka tidak akan beriman juga sampai melihat azab yang pedih.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...