Sabtu, 6 Ogos 2016

9:101-103 Tafsir Surah At Taubah, ayat 101-103.

وَمِمَّنْ حَوْلَكُمْ مِنَ الأعْرَابِ مُنَافِقُونَ وَمِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ مَرَدُوا عَلَى النِّفَاقِ لا تَعْلَمُهُمْ نَحْنُ نَعْلَمُهُمْ سَنُعَذِّبُهُمْ مَرَّتَيْنِ ثُمَّ يُرَدُّونَ إِلَى عَذَابٍ عَظِيمٍ (١٠١) وَآخَرُونَ اعْتَرَفُوا بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُوا عَمَلا صَالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَنْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١٠٢) خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (١٠٣)

Allah s.w.t. berfirman kepada Rasulullah s.a.w. tentang orang-orang munafik.

"101. Dan di antara orang yang di sekeliling kalian dari orang-orang Arab Badui, terdapat orang-orang munafik." 

Iaitu kabilah-kabilah Arab Badui yang tingal di sekitar Madinah.

"Dan di antara penduduk Madinah, berlebih-lebihan dalam kemunafikan." 

Di kalangan penduduk Madinah juga terdapat orang-orang munafik. Mereka terbiasa dengan kemunafikannya, terus-menerus melakukannya, membangkang dan angkuh terhadap Allah.

"Kamu tidak mengetahui mereka, Kami mengetahui mereka." 

Rasulullah s.a.w. mengetahui bahawa sebahagian penduduk Madinah yang bergaul dengannya terdapat orang-orang munafik, sekalipun orang-orang itu melihat Nabi s.a.w. pada setiap pagi dan petangnya. Bukan bererti Beliau s.a.w. mengetahui secara keseluruhan atau tepat orang munafik yang ada padanya. Allah memiliki hikmah yang besar dalam hal tersebut.

Namun, mereka dapat dikenali dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan sifat-sifat yang biasa mereka lakukan seperti mengingini perkara yang mereka tidak dapat mencapainya, suka mengisukan kata-kata yang tidak benar, suka memaksa diri untuk mengetahui hal ikhwal orang lain, mengatakan bahawa si Fulan di syurga dan si Anu di neraka dan sebagainya.

"Akan Kami siksa mereka dua kali," 

Iaitu azab dunia seperti dibunuh, ditawan, kelaparan, kesedihan, azab sakratul maut dan sebagainya. Ada yang ditimpakan perasaan sakit hati, dengki dan dendam apabila melihat orang mukmin mendapat kebaikan atau kemajuan. Ada yang lebih cintakan harta benda dan anak-anak (keluarga) melebihi agama, maka mereka diazab dan dibebankan dengan harta benda dan anak-anak itu sendiri. Rasulullah s.a.w. pernah menghalau keluar beberapa orang munafik keluar dari masjid semasa khutbah Jumaat. Hal-hal tersebut termasuk azab pertama.

Azab kedua adalah mereka di azab di dalam kubur. "Dua kali” juga bermaksud Allah akan memperkeras siksaNya, melipat gandakannya dan mengulang-ulanginya.

"kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar."

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka di akhirat yang menjadi tempat tinggal mereka yang kekal.

Abu Lubabah dan lima, tujuh atau sembilan teman-temannya tidak ikut berperang bersama Rasulullah s.a.w. dalam Perang Tabuk. Abu Lubabah menunjukkan isyarat tangannya yang ditujukan ke arah lehernya kepada Bani Quraizah, dengan maksud bahawa perdamaian yang diketengahkan oleh Nabi s.a.w. terhadap mereka akan membuat mereka tersembelih.

Ketika Rasulullah s.a.w. kembali dari perangnya, mereka mengikatkan diri ke tiang-tiang masjid dan bersumpah bahawa tidak boleh ada orang yang melepaskan mereka kecuali Rasulullah s.a.w. sendiri. Allah s.w.t. menurunkan ayat,

"102. Dan yang lain mereka mengakui dengan dosa-dosa mereka," 

Maka Rasulullah s.a.w. melepaskan ikatan mereka dan memaafkan mereka.
Orang-orang yang berdosa, antaranya mereka yang tidak suka dan tidak ikut berjihad kerana malas, suka bersantai, mendustakan serta meragukan jihad. Kemudian mereka mengakui dan menyesali dosa-dosa yang mereka lakukan terhadap Tuhannya. Mereka berusaha untuk bertaubat dan membersihkan diri dari noda-noda dosa dan maksiat.

"mereka mencampurkan amal yang soleh dan yang lain buruk." 

Mereka mengerjakan yang baik dan yang buruk. Pekerjaan yang baik adalah mereka beriman, membenarkan perkara yang hak dan mempunyai amal perbuatan lain yang soleh seperti pernah berjihad atau mengakui dosa-dosa mereka dan sebagainya.

Pekerjaan yang buruk adalah seperti tidak ikut berperang, berani berbuat maksiat dan lalai terhadap kewajiban. Namun mereka mengakui kesalahannya dan berharap agar Allah mengampuni mereka.

"Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka." 

Taubat dari Allah untuk hamba-hambaNya ada dua; diberiNya taufik untuk bertaubat, dan diterimanya taubat itu dari mereka.

Orang yang mencampur amal soleh dengan amal buruk, kemudian mengakui dosanya dan menyesalinya, dengan rasa cemas dan harap lebih dekat untuk selamat. Adapun orang yang mencampur amal baik dengan amal buruk, namun tidak mengakui kesalahan dan tidak menyesali perbuatannya, bahkan tetap di atas dosa, maka keadaannya sangat membimbangkan.

"Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Dia mengampuni dan menyayangi, walaupun sebahagian hambaNya telah berbuat dosa begitu banyak, mereka yang mengisi umur mereka dengan perbuatan buruk, jika mereka bertaubat meskipun taubatnya tidak jauh dari hari kematiannya, maka Allah akan memaafkannya dan menghapuskan kesalahannya. Semua makhluk tidak lepas dari ampunan dan kasih sayangNya, bahkan dunia ini tidak akan tetap tanpa keduanya.

Setelah Rasulullah s.a.w. melepas ikatan Abu Lubabah dan kawan-kawannya yang mengikat diri mereka di tiang-tiang masjid, mereka kemudian datang membawa hartanya dan berkata, “Wahai Rasulullah, inilah harta kami yang tertinggal darimu, maka sedekahkanlah, bersihkanlah kami dan mintakanlah ampunan untuk kami.” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku tidak diperintahkan mengambil hartamu sedikit pun.” Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat,

"103. Ambillah dari harta mereka zakat membersihkan mereka dan mensucikan mereka dengannya," 

Allah s.w.t. memerintahkan RasulNya dan penggantinya seperti imam untuk memungut zakat dari kaum mukmin. Zakat itu membersihkan dan menyucikan mereka dari dosa, akhlak tercela, kekikiran, cinta yang berlebihan kepada harta benda dan menyempurnakan imannya. Zakat itu juga menyuburkan sifat-sifat kebaikan dalam hati mereka dan mengembangkan harta mereka.

"dan doakanlah atas mereka." 

Maksudnya, berdoalah untuk mereka dan mohonkanlah ampunan buat kaum mukmin secara umum, dan khususnya kepada mereka yang membayar zakat. Nabi s.a.w. menyuruh para sahabat berzakat dan mengirimkan petugas zakat untuk mengumpulkan zakat dari tempat yang jauh. Apabila ada orang yang datang kepada Beliau s.a.w. membawa zakatnya, maka Beliau s.a.w. mendoakannya.

"Sesungguhnya doamu ketenteraman jiwa bagi mereka." 

Nabi s.a.w. apabila berdoa untuk seorang lelaki, maka doa Nabi s.a.w. itu mengenai diri lelaki berkenaan, juga anak serta cucunya. Doa Rasulullah s.a.w. menjadi rahmat dan ketenteraman jiwa bagi mereka.

Dianjurkan imam atau wakilnya memperdengarkan doa dan menyampaikan kegembiraan kepada mereka yang membayar zakat agar hati mereka merasa tenteram dan tenang. Demikian juga memberi semangat kepada mereka yang berinfak dan beramal soleh dengan doa, pujian, berterima kasih dan sebagainya.

"Dan Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui." 

Dia mendengar doamu, mendengar yang akan menjadikanNya mengabulkan permohonan. Dia mengetahui keadaan hamba dan niat mereka, membalas masing-masing yang beramal sesuai amalnya dan sesuai niatnya. Dia mengetahui siapa yang berhak mendapatkan hal itu darimu dan orang yang layak untuk memperolehnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...