Selasa, 20 September 2016

12:77-80 Tafsir Surah Yusuf, ayat 77-80.

قَالُوا إِنْ يَسْرِقْ فَقَدْ سَرَقَ أَخٌ لَهُ مِنْ قَبْلُ فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِي نَفْسِهِ وَلَمْ يُبْدِهَا لَهُمْ قَالَ أَنْتُمْ شَرٌّ مَكَانًا وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَصِفُونَ (٧٧) قَالُوا يَا أَيُّهَا الْعَزِيزُ إِنَّ لَهُ أَبًا شَيْخًا كَبِيرًا فَخُذْ أَحَدَنَا مَكَانَهُ إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ (٧٨) قَالَ مَعَاذَ اللَّهِ أَنْ نَأْخُذَ إِلا مَنْ وَجَدْنَا مَتَاعَنَا عِنْدَهُ إِنَّا إِذًا لَظَالِمُونَ (٧٩) فَلَمَّا اسْتَيْأَسُوا مِنْهُ خَلَصُوا نَجِيًّا قَالَ كَبِيرُهُمْ أَلَمْ تَعْلَمُوا أَنَّ أَبَاكُمْ قَدْ أَخَذَ عَلَيْكُمْ مَوْثِقًا مِنَ اللَّهِ وَمِنْ قَبْلُ مَا فَرَّطْتُمْ فِي يُوسُفَ فَلَنْ أَبْرَحَ الأرْضَ حَتَّى يَأْذَنَ لِي أَبِي أَوْ يَحْكُمَ اللَّهُ لِي وَهُوَ خَيْرُ الْحَاكِمِينَ (٨٠)

Saudara-saudara Nabi Yusuf a.s. melihat piala raja dikeluarkan dari karung milik Bunyamin.

"77. Mereka berkata, "Jika dia mencuri, maka sungguh, telah mencuri saudara baginya sebelumnya.""

Mereka membela dirinya di hadapan Aziz dan membersihkan diri mereka dari jangkitan sifat mencuri. Saudara Bunyamin yang mereka maksudkan adalah Yusuf a.s.

Menurut suatu kisah, Yusuf a.s. pernah mencuri sebuah patung emas milik datuk dari pihak ibunya, lalu berhala itu ia pecahkan agar datuknya itu tidak lagi menyembahnya.

Menurut kisah yang lain, mula-mula musibah (cobaan) yang menimpa diri Yusuf a.s. ialah disebabkan makciknya, iaitu anak tertua Nabi Ishaq a.s., dialah yang memiliki ikat pinggang Ishaq a.s. Mereka mewarisinya secara turun-menurun bagi orang yang paling tua di antara mereka.

Ketika Ya'qub a.s. mempunyai anak (iaitu Yusuf), Yusuf a.s. dipelihara oleh makciknya yang mencintainya dengan kecintaan yang sangat mendalam.

Selang beberapa tahun kemudian, ketika Yusuf a.s. semakin membesar, maka Ya'qub a.s. merasa rindu kepadanya. Lalu ia datang untuk mengambil Yusuf a.s. dan berkata, "Wahai saudara perempuanku, kembalikanlah Yusuf kepadaku. Demi Allah, aku tidak mampu lagi berpisah dengannya barang sesaat pun."

Makcik Yusuf a.s. menjawab, "Demi Allah, aku tidak akan membiarkannya terlepas dariku. Biarkanlah Yusuf berada di rumahku beberapa hari lagi, aku akan mempertimbangkannya, barangkali aku akan berubah fikiran." atau alasan lainnya.

Setelah Ya'qub a.s. keluar dari rumah makcik Yusuf a.s., maka dengan sengaja makciknya mengambil ikat pinggang Nabi Ishaq a.s., lalu ia ikatkan di pinggang Yusuf a.s., di bawah bajunya. Setelah itu ia berpura-pura kehilangan ikat pinggang Ishaq a.s., lalu ia memerintahkan kepada semua orang untuk mencari siapa orang yang mengambilnya.

Makcik Yusuf a.s. berpura-pura sibuk mencari-cari ikat pinggang itu, lalu ia berkata, "Periksalah semua ahli bait." Lalu mereka memeriksa semua ahli bait, dan mereka mendapati ikat pinggang itu ada pada Yusuf a.s. Maka makcik Yusuf a.s. berkata, "Demi Allah, sesungguhnya Yusuf mulai sekarang menjadi milikku, aku menguasainya sepenuhnya menurut apa yang aku kehendaki."

Ya'qub a.s. datang berkunjung kepada makcik Yusuf a.s. dan ia menceritakan peristiwa itu (yang direkanya). Maka Ya'qub a.s. berkata, "Jika dia memang mengambilnya, maka dia diserahkan kepadamu sepenuhnya, aku tidak dapat berbuat apa-apa lagi selain itu."

Maka makcik Yusuf a.s. memegangnya, dan Ya'qub a.s. tidak mempunyai kekuasaan apa pun untuk merampas Yusuf a.s. dari tangan makciknya, hingga makciknya meninggal dunia. Setelah itu barulah Yusuf a.s. kembali kepada ayahnya.

"Maka menyembunyikan Yusuf dalam dirinya dan tidak dia menampakkannya kepada mereka." 

Beliau menyembunyikan kejengkelannya itu pada dirinya. Di dalam hatinya,

"Dia berkata, "Kalian lebih buruk kedudukan.""

Iaitu mereka mencuri saudara mereka (Yusuf a.s.) dari bapanya dan menzaliminya.

"Dan Allah lebih mengetahui dengan apa yang kalian terangkan." 

Dia Maha Mengetahui hakikat dari apa yang kalian sebutkan itu.
Setelah terbukti kesalahan Bunyamin dan telah ditetapkan ia harus ditinggalkan pada Yusuf a.s. sesuai dengan pengakuan mereka, maka mereka meminta belas kasihan kepada Yusuf a.s. agar Bunyamin dilepaskan.

"78. Mereka berkata, " Wahai Al Aziz! Sesungguhnya baginya ayah yang tua renta,"" 

Mereka bermaksud bahawa ayah mereka sudah lanjut usia, sangat mencintai Bunyamin, dan menjadikannya sebagai hiburannya, dan pelampiasan kerinduannya terhadap anaknya Yusuf a.s. yang hilang.

"maka ambillah salah seorang di antara kami tempatnya," 

Iaitu sebagai ganti Bunyamin untuk ditahan.

"sungguh kami melihat kamu termasuk orang-orang yang berbuat baik."

Iaitu orang yang adil, penyantun lagi menerima perkara yang baik.

"79. Dia berkata, "Mohon perlindungan Allah kami menahan, kecuali orang yang kami dapati harta benda kami di sisinya,""

Seperti yang mereka katakan dan akui sebelumnya. Yusuf a.s. tidak mengatakan “yang mencuri harta kami” agar tidak terjatuh ke dalam dusta.

"sungguh kami jika demikian tentu orang-orang yang zalim." 

Iaitu menimpakan hukuman bukan pada tempatnya, dengan mengambil orang yang tidak bersalah sebagai ganti kepada orang yang bersalah.

"80. Maka tatkala mereka berputus asa darinya," 

Saudara-saudara Yusuf a.s. putus asa dengan keputusan Yusuf a.s. dalam usaha mereka menyelamatkan Bunyamin.

"mereka menyendiri sambil berbisik." 

Mereka memisahkan diri dari orang ramai untuk berunding sesama mereka.

"Berkata yang tertua di antara mereka,"

Iaitu yang tertua umurnya iaitu Rubel atau yang paling matang fikirannya iaitu Yahuza. Dialah yang mengisyaratkan mereka agar melemparkan Yusuf a.s. ke dalam sumur ketika mereka berniat hendak membunuhnya.

"Tidakkah kalian mengetahui bahawasanya ayah kalian sungguh telah mengambil atas kalian janji dari Allah" 

Mereka telah berjanji dan bersumpah dengan nama Allah kepada ayah mereka bahawa mereka akan menjaga Bunyamin dan membawanya pulang bersama-sama mereka kecuali jika mereka dikepung.

"dan sebelumnya apa yang kalian menyia-nyiakan pada Yusuf?" 

Iaitu memisahkan Yusuf a.s. dari ayahnya.

"Maka tidak akan aku meninggalkan negeri," 

Kerana tidak sanggup menghadapi ayahnya.

"hingga mengizinkan bagiku bapaku," 

Untuk kembali kepadanya dalam keadaan rela kepadanya.

"atau Allah memberi keputusan bagiku. Dan Dia sebaik-baik para hakim."

Iaitu dijatuhi hukuman mati dengan pedang atau diberikan kemampuan untuk mengambil Bunyamin pulang.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...