Selasa, 20 September 2016

15:45-50 Tafsir Surah Al Hijr, ayat 45-50.

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ (٤٥) ادْخُلُوهَا بِسَلامٍ آمِنِينَ (٤٦)وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَى سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ (٤٧) لا يَمَسُّهُمْ فِيهَا نَصَبٌ وَمَا هُمْ مِنْهَا بِمُخْرَجِينَ (٤٨) نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (٤٩) وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ الْعَذَابُ الألِيمُ (٥٠)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan apa yang disiapkanNya untuk para waliNya kurnia yang besar dan nikmat yang kekal.

"45. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa di dalam syurga dan mata air." 

Taman-taman itu penuh dengan pohon-pohon yang berbuah lagi enak rasa buahnya dan mempunyai banyak mata air. Semasa mereka memasukinya, dikatakan kepada mereka,

"46. Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera serta aman." 

Sejahtera dari bencana dan malapetaka, aman dari ketakutan dan keterkejutan, tidak lelah dan letih, kenikmatannya tidak pernah putus, tidak pernah sakit, tidak pernah sedih dan tidak pernah tua. Mereka tidak akan dikeluarkan dan tidak akan terputus serta fana (mati).

"47. Dan Kami cabut apa yang dalam dada mereka dari rasa dengki; merasa bersaudara di atas dipan-dipan mereka berhadapan." 

Tidaklah masuk syurga seorang mukmin sebelum Allah melenyapkan rasa dendam yang ada dalam hatinya. Allah mencabut rasa dendam darinya sebagaimana haiwan pemangsa mencabut mangsanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang-orang mukmin diselamatkan dari neraka, lalu mereka ditahan di atas sebuah jambatan yang terletak di antara syurga dan neraka. Maka sebahagian dari mereka menqisas sebahagian yang lainnya tentang perkara penganiayaan yang pernah terjadi di antara mereka ketika di dunia. Setelah mereka dibersihkan dan disucikan (dari semua kesalahan), barulah mereka diizinkan untuk masuk syurga."

Mutaqabilin bermaksud sebahagian dari mereka tidak membelakangi sebahagian yang lainnya. Mereka merasa bersaudara kerana Allah. Mereka saling menziarahi dan berkumpul bersama. Adab dan akhlak mereka sangat mulia. Mereka saling memandang sambil duduk di atas pelamin-pelamin yang dihiasi permadani, mutiara dan berbagai perhiasan.

"48. Tidak menimpa mereka di dalamnya kelelahan dan tidak mereka daripadanya orang-orang yang dikerluarkan." 

Allah menjadikan mereka dalam keadaan yang sempurna. Mereka tetap sihat, tidak pernah merasa letih dan tidak akan sakit selama-lamanya. Mereka tetap hidup dan tidak akan mati selama-lamanya. Mereka tetap muda dan tidak akan tua selama-lamanya. Mereka tetap tinggal di dalam syurga, tidak ingin berpindah dan tidak akan dipindahkan darinya selama-lamanya.”

Rasulullah s.a.w. melintasi sejumlah orang dari kalangan sahabatnya yang sedang tertawa-tawa, maka Beliau s.a.w. bersabda, "Ingatlah syurga dan ingatlah juga neraka!" Maka turunlah firmanNya, (Al-Hijr: 49-50)

Pada riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. muncul menemui para sahabat dari pintu yang biasa dipakai masuk oleh Bani Syaibah, lalu beliau s.a.w. bersabda, "Jangan sekali lagi aku melihat kalian dalam keadaan tertawa-tawa." Kemudian beliau berpaling, dan manakala beliau telah sampai di Hijir Ismail, tiba-tiba beliau kembali kepada kami dengan langkah mundur, lalu bersabda, "Sesungguhnya ketika aku keluar, Jibril datang dan berkata, "Hai Muhammad, sesungguhnya Allah telah berfirman, "Kami tidak akan membuat hamba-hamba Kami berputus asa. Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu, bahawa sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, dan bahawa sesungguhnya azabKu adalah azab yang sangat pedih'."

"49. Beritakanlah kepada hamba-hambaKu, bahawasanya Aku, Aku Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Dialah Tuhan yang mempunyai rahmat. Apabila hamba-hambaNya mengetahui sempurnanya rahmat dan ampunanNya, maka mereka akan berusaha mengerjakan sebab yang dapat mengantarkan mereka kepada rahmatNya, berhenti dari dosa dan bertaubat darinya agar memperoleh ampunanNya.

Namun, mereka tidak boleh terus-menerus bersandar kepada rahmat dan ampunan Allah sampai merasa aman dan tertidur nyenyak olehnya sehingga membuat mereka berani berbuat maksiat.

"50. Sesungguhnya azabKu ia azab yang sangat pedih." 

AzabNya kepada para pelaku maksiat sangat pedih. Tidak ada yang menyamai azabNya. Oleh kerana itu, seorang hamba haruslah selamanya berada di antara raja' (rasa harap) dan khauf (rasa takut atau cemas).

Ketika ia melihat rahmat Allah dan ampunanNya, ia berharap memperolehnya. Dan apabila melihat dosa-dosanya dan kekuranganNya dalam memenuhi hak Tuhannya, ia menghadirkan rasa takut dan cemas serta berhenti darinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seandainya seorang hamba mengetahui kadar pemaafan Allah, tentulah tidak segan-segan ia melakukan hal yang haram; dan seandainya seorang hamba mengetahui kadar azab Allah, tentulah ia menekan hawa nafsunya."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...