اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (٦)
Allah s.w.t. berfirman,
"6. Tunjukilah kami jalan yang lurus,"
"6. Tunjukilah kami jalan yang lurus,"
Ihdinaa berasal dari kata hidayah. Hidayah bermaksud petunjuk, pimpinan dan bimbingan dari Allah kepada hambaNya yang dikehendaki sahaja untuk menerima kebenaran.
Hidayah ada dua jenis iaitu hidayah berupa keterangan (hidayatul irsyad wal bayan). Iaitu ilmu dan petunjuk yang sampai kepada seseorang. Hidayah berupa pertolongan (hidayatut taufiq wal ilham) adalah taufiq dari Allah untuk mengamalkan ilmu dan petunjuk yang sampai kepada dirinya.
Taufiq adalah iradat atau sesuatu yang diciptakan oleh Allah s.w.t. yang mendorong hamba-hambaNya untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya. Mereka diberinya keizinan untuk melakukan perbuatan yang diredhaiNya, didorong oleh kecintaan kepadaNya.
Taufiq akan diberikan oleh Allah hanya kepada mereka yang bersungguh-sungguh mengabdikan diri dengan rasa kehambaan demi mendekatkan diri kepadaNya. Dengan adanya taufiq, manusia akan cenderung untuk melakukan kebaikan terus menerus sehingga ke akhirnya.
Hidayatul bayan dengan disertai taufiq untuk beramal adalah petunjuk yang hakiki dan sempurna. Hanya orang yang bertakwa akan merasakan kedua hidayah ini.
Orang yang berbahagia adalah orang yang mendapat taufik Allah yang mendorongnya memohon kepadaNya, kerana sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjamin akan memperkenankan doa orang yang meminta kepadaNya.
Siratal mustaqim bermaksud jalan yang lurus. Jalan yang dapat mengarah kepada keridhaan Allah dan syurgaNya, jalan yang telah diterangkan oleh RasulNya Muhammad s.a.w., sehingga seseorang tidak dapat bahagia kecuali dengan istiqamah di atasnya.
Menurut dialek bahasa Arab, kata sirat digunakan untuk menunjukkan setiap ucapan, perbuatan, dan sifat baik yang lurus atau yang tidak menyimpang. Maka jalan yang lurus atau jalan kebaikan disebut mustaqim, sedangkan jalan yang menyimpang, berbelok-belok atau jalan keburukan disebut mu'awwij.
Jalan yang lurus adalah Islam, Al Qur'an, perkara yang hak (benar), Nabi s.a.w. sendiri dan kedua sahabat yang menjadi khalifah sesudahnya (iaitu Abu Bakar dan Umar r.a.) dan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. buat kita semua.
Islam adalah satu-satunya agama yang diridhai oleh Allah s.w.t. buat hambaNya. Pengertiannya lebih luas daripada semua yang ada di antara langit dan bumi.
Malaikat Jibril pernah berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w., "Hai Muhammad, katakanlah. "Tunjukkanlah kami jalan yang lurus."" Maksudnya, "Berilah kami ilham jalan petunjuk, iaitu agama Allah yang tiada kebengkokan di dalamnya".
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Siratal Mustaqim adalah Kitabullah (Al Qur'an)." Al Qur'an merupakan tali Allah yang kuat, bacaan yang penuh hikmah dan jalan yang lurus.
Orang yang diberi taufik untuk mengerjakan semua perbuatan yang pernah dilakukan oleh orang-orang yang telah mendapat nikmat taufik dari Allah di antara hamba-hambaNya, iaitu dari kalangan para nabi, para siddiqin, para syuhada, dan orang-orang yang soleh, bererti dia telah mendapat taufik dalam Islam, berpegang teguh kepada Kitabullah, mengerjakan semua yang diperintahkan oleh Allah, dan menjauhi larangan-laranganNya serta mengikuti jejak Nabi s.a.w. dan empat khalifah sesudahnya serta jejak setiap hamba yang soleh.
Kita juga meminta kepada Allah s.w.t. agar dapat istiqamah di atas jalan yang lurus itu sampai akhir hayat kerana hati yang lemah mudah berbalik dan kerana hidup di dunia penuh dengan liku-liku, penuh dengan gelombang cobaan dan fitnah yang begitu dahsyat yang dapat menghanyutkan seorang mukmin.
Seorang mukmin dituntut untuk memohon hidayah dalam setiap solat dan juga dalam keadaan lainnya, padahal dia sendiri sudah mendapat hidayah. Seandainya seorang hamba tidak memerlukan minta petunjuk di siang dan malam harinya, nescaya Allah tidak akan membimbingnya ke arah itu.
Sesungguhnya seorang hamba itu sentiasa memerlukan Allah s.w.t. dalam setiap keadaanya. agar dimantapkan hatinya pada hidayah dan dipertajam pandangannya untuk menemukan hidayah, serta hidayahnya bertambah meningkat dan terus-menerus berada dalam jalan hidayah.
Sesungguhnya seorang hamba tidak dapat membawa manfaat buat dirinya sendiri dan tidak dapat menolak mudarat terhadap dirinya kecuali sebatas apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Maka Allah memberinya petunjuk agar dia minta kepadaNya setiap waktu.
Allah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman untuk beriman. Ia adalah perintah untuk lebih meneguhkan iman dan terus-menerus melakukan semua amal perbuatan yang melestarikan keimanan.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah membuat suatu perumpamaan, iaitu sebuah jambatan yang lurus; pada kedua sisinya terdapat dua tembok yang mempunyai pintu-pintu terbuka, tetapi pada pintu-pintu tersebut terdapat tirai yang menutupinya. sedangkan pada pintu masuk ke jembatan itu terdapat seorang penyeru yang menyerukan, "Hai manusia, masuklah kalian semua ke jambatan ini dan janganlah kalian menyimpang darinya." Dan di atas jambatan terdapat pula seorang penyeru; apabila ada seseorang hendak membuka salah satu dari pintu-pintu (yang berada pada kedua sisi jembatan) itu, maka penyeru berkata, "Celakalah kamu, janganlah kamu buka pintu itu, kerana sesungguhnya jika kamu buka nescaya kamu masuk ke dalamnya." Jambatan itu adalah agama Islam, kedua tembok adalah batasan-batasan (hukuman-hukuman had) Allah, pintu-pintu yang terbuka itu adalah hal-hal yang diharamkan oleh Allah, sedangkan juru penyeru yang berada di depan pintu jambatan adalah Kitabullah, dan juru penyeru yang berada di atas jambatan itu adalah nasihat Allah yang berada dalam kalbu setiap orang muslim."
Maka ihdinas siratal mustaqim bermaksud tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan bantulah kami menempuh jalan itu serta teguhkanlah kami dalam mengerjakan semua yang Engkau ridhai, semua ucapan serta perbuatan yang telah dilakukan oleh orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat taufik di antara hamba-hambaMu sampai kami berjumpa denganMu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan