إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ مَفَازًا (٣١) حَدَائِقَ وَأَعْنَابًا (٣٢) وَكَوَاعِبَ أَتْرَابًا (٣٣) وَكَأْسًا دِهَاقًا (٣٤) لا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلا كِذَّابًا (٣٥) جَزَاءً مِنْ رَبِّكَ عَطَاءً حِسَابًا (٣٦) رَبِّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا الرَّحْمَنِ لا يَمْلِكُونَ مِنْهُ خِطَابًا (٣٧) يَوْمَ يَقُومُ الرُّوحُ وَالْمَلائِكَةُ صَفًّا لا يَتَكَلَّمُونَ إِلا مَنْ أَذِنَ لَهُ الرَّحْمَنُ وَقَالَ صَوَابًا (٣٨) ذَلِكَ الْيَوْمُ الْحَقُّ فَمَنْ شَاءَ اتَّخَذَ إِلَى رَبِّهِ مَآبًا (٣٩) إِنَّا أَنْذَرْنَاكُمْ عَذَابًا قَرِيبًا يَوْمَ يَنْظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا (٤٠)
Allah s.w.t. berfirman menyebutkan keadaan orang-orang yang berbahagia.
"31. Sungguh, bagi orang-orang yang bertakwa keuntungan."
Orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan. Iaitu mereka yang menjaga diri mereka dari kemurkaan Tuhannya dengan menaatiNya dan menahan diri dari apa yang dimurkaiNya. Mereka selamat dari neraka. Untuk mereka mafazan (tempat kemenangan) iaitu syurga. Disediakan bagi mereka pahala berupa kehormatan dan kenikmatan yang abadi.
"32. Kebun-kebun dan buah-buah anggur."
Maksudnya, taman-taman yang dipenuhi dengan pohon buah-buahan.
"33. Dan gadis-gadis sebaya."
Iaitu bidadari-bidadari yang sebaya usianya. Usianya ketika itu adalah usia yang paling pertengahan, iaitu 33 tahun.
Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya baju-baju gamis ahli syurga benar-benar menampilkan keridhaan Allah (kepada mereka), dan sesungguhnya awan benar-benar melintasi mereka, lalu berseru kepada mereka, "Hai Ahli Syurga, apakah yang ingin aku turunkan kepada kalian?” Sehingga sesungguhnya awan syurga itu benar-benar menghujani mereka dengan gadis-gadis remaja yang sebaya usianya."
"34. Dan gelas-gelas yang penuh."
Gelas-gelas itu sentiasa penuh, berturut-turut berisi minuman yang jernih lagi menyenangkan.
"35. Mereka tidak mendengar di dalamnya sia-sia dan tidak dusta."
Di dalam syurga tidak terdapat perkataan yang sia-sia tiada faedahnya, tiada juga perkataan yang berdosa atau dusta, bahkan syurga adalah negeri kesejahteraan, dan semua yang ada di dalamnya bebas dari segala bentuk kekurangan.
"36. Balasan dari Tuhanmu pemberian yang mencukupi."
Sebagai pembalasan dan pemberian yang cukup banyak dari Tuhanmu disebabkan amal yang mereka kerjakan atas taufiq Allah kepada mereka untuk beramal soleh.
Semua yang telah disebutkan di atas merupakan balasan yang diberikan kepada mereka sebagai kurnia, kebaikan, dan rahmatNya kepada mereka sebagai pemberian yang cukup, sesuai, utuh, lagi banyak. Yang memberikan pemberian yang besar itu adalah Tuhan mereka.
"37. Tuhan langit dan bumi dan apa yang dan di antara keduanya;"
Dengan kebesaran dan keagunganNya, Allah s.w.t. menciptaka, menguasai dan memelihara langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya.
"Ar Rahman,"
Yang Maha Pengasih atau Yang Maha Pemurah. RahmatNya meliputi segala sesuatu. Dia yang mendidik dan merahmati mereka serta memberikan kelembutannya kepada mereka sehingga mereka memperoleh apa yang mereka peroleh.
"mereka tidak kuasa terhadapNya berbicara."
Mereka tidak dapat berbicara dengan Dia. Keagungan dan kerajaanNya besar pada hari Kiamat. Semua makhluk diam kerana takut kepadaNya. Tiada seorang pun yang mampu memulai berbicara kepadaNya kecuali dengan seizinNya.
"38. Pada hari berdiri ruh dan malaikat bersaf-saf, mereka tidak berkata-kata,"
Ada beberapa pendapat mengenai ruh di dalam ayat ini, iaitu ruh manusia, Jibril, malaikat yang besarnya sama dengan seluruh makhluk bila digabungkan menjadi satu, tentera Allah, Al Qur'an atau suatu makhluk Allah yang seperti manusia, tetapi mereka bukan malaikat dan bukan pula manusia, mereka juga makan dan minum. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
"kecuali siapa yang di izinkan padanya Ar Rahman"
Kecuali siapa yang telah diberi izin kepadanya oleh Tuhan Yang Maha Pengasih. Pada hari itu, hanya para rasul yang diizinkanNya berbicara.
"dan dia berkata yang benar."
Dia hanya mengatakan yang benar iaitu perkataan yang hak dan sesuai dengan keridhaan Allah s.w.t. Termasuk perkataan yang hak ialah kalimah "Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah."
"39. Demikianlah hari yang pasti."
Hari itu pasti tiba, pasti terjadi dan tidak terelakkan lagi. Hari yang hak, kebatilan tidak akan laku dan kedustaan tidak akan bermanfaat.
"Maka barang siapa yang menghendaki, dia menjadikan kepada Tuhannya tempat kembali."
Nescaya dia menempuh jalan kembali kepada Tuhannya. Jalan yang menghantarkan kepadaNya dan yang akan ditempuh untuk sampai kepadaNya, iaitu dengan menaatiNya agar selamat dari azab dan mendapatkan kedudukan yang tinggi di sisiNya.
"40. Sesungguhnya kami peringatkan kalian azab yang dekat,"
Iaitu hari Kiamat. Setiap yang akan datang adalah dekat. Kepastian kejadiannya telah dekat, dan sesuatu yang pasti terjadi itu tidak dapat dielakkan lagi.
"pada hari melihat seseorang terhadap apa yang telah diperbuat kedua tangannya;"
Ditampilkan di hadapannya semua amal perbuatannya, yang telah dikerjakannya dan yang dilalaikannya, yang baiknya dan yang buruknya, yang terdahulu dan yang terkemudian.
Orang-orang kafir bersedih kerana melihat semua amal perbuatannya telah dicatat oleh para malaikat juru tulis amal perbuatan, yang semuanya mulia lagi bertakwa. Semua amal perbuatannya penuh dengan kerosakan dan dosa-dosa. Mereka menyaksikan azab Allah s.w.t. terpampang di hadapannya.
Allah s.w.t. menghukumi antara haiwan-haiwan terhadap kejadian-kejadian yang telah dilakukannya ketika di dunia sesama mereka. Maka Allah memutuskan perkara di antara mereka dengan hukumNya yang Maha Adil yang tidak aniaya, sehingga kambing yang tidak bertanduk disuruh membalas terhadap kambing yang bertanduk yang dahulu sewaktu di dunia pernah menanduknya.
Apabila peradilan telah dilakukan terhadap mereka, Allah s.w.t. berfirman kepada mereka, "Jadilah kamu tanah!" Maka semuanya kembali menjadi tanah. Orang-orang kafir menyaksikannya.
"dan berkata orang kafir, "Alangkah baiknya aku menjadi tanah.""
Orang kafir di hari itu berkhayal seandainya dirinya sewaktu di dunia diciptakan sebagai haiwan, lalu dikembalikan menjadi tanah supaya mereka tidak diazab.
Selesai tafsir surah An Naba' dengan pertolongan Allah dan taufiqNya wal hamdulillahi Rabbil 'aalamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan