Khamis, 1 September 2016

18:89-98 Tafsir Surah Al Kahfi, ayat 89-98.

ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا (٨٩) حَتَّى إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَى قَوْمٍ لَمْ نَجْعَلْ لَهُمْ مِنْ دُونِهَا سِتْرًا (٩٠) كَذَلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا (٩١) ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا (٩٢) حَتَّى إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِنْ دُونِهِمَا قَوْمًا لا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلا (٩٣) قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الأرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (٩٤) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (٩٥) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (٩٦) فَمَا اسْطَاعُوا أَنْ يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا (٩٧) قَالَ هَذَا رَحْمَةٌ مِنْ رَبِّي فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا (٩٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"89. Kemudian dia mengikuti sebab." 

Zulkarnain menempuh jalan lain, dia berjalan dari sebelah bumi bahagian barat menuju ke belahan bumi bahagian timur tempat terbitnya matahari.

Setiap kali menjumpai suatu umat pasti dikalahkan dan dikuasai olehnya, lalu dia menyeru mereka untuk menyembah Allah s.w.t. Jika mereka taat kepadanya, mereka dibebaskan; dan jika mereka tidak taat, maka mereka diperangi dan semua harta serta barang milik mereka dirampas.

Dia mengambil dari setiap umat yang dikalahkannya sebahagian golongan yang digunakannya untuk membantu pasukannya dalam memerangi negeri jiran yang berdekatan dengan mereka.

"90. Hingga apabila sampai tempat terbit matahari, dia mendapatinya terbit atas kaum" 

Ketika dia sampai di sebelah timur didapatinya matahari bersinar di atas suatu kaum yang hidup secara liar. Mereka berkulit merah lagi bertubuh pendek. Mereka ini adalah orang-orang Negro atau Indian.

"Kami tidak menjadikan bagi mereka dari selainnya tutup." 

Mereka tidak mempunyai pakaian dan tidak ada pepohonan yang menjadi naungan mereka dari sengatan panas matahari yang sangat panas. Sesiapa yang berada di tempat mereka ketika matahari meninggi akan mati kepanasan.

Tanah tempat tinggal mereka tidak berbukit, tidak dapat didirikan bangunan di atasnya dan mereka sama sekali tidak pernah membuat bangunan. Kerananya mereka tidak mempunyai rumah untuk tempat istirehatnya. Maka mereka tinggal di gua-gua atau liang-liang.

Apabila matahari terbit, mereka masuk ke dalam gua-guanya atau mereka masuk ke dalam laut. Apabila matahari tenggelam, mereka keluar dan mencari penghidupannya. Mereka hidup dengan memburu ikan.

"91. Demikianlah, dan sungguh Kami meliputi dengan apa yang pada sisinya pengetahuan." 

Khubran bermaksud ilmu. Ilmu Allah s.w.t. meliputi segala apa yang ada pada Zulkarnain, melihat dan mengetahui semua keadaannya, menyaksikan segala perbuatan tenteranya, keadaan perlengkapannya, dan lain-lain. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi keadaan mereka dari pengetahuanNya, sekalipun mereka berada di mana-mana dan sampai di penghujung dunia.

"92. Kemudian dia mengikuti sebab." 

Dari timur Zulkarnain menempuh jalan lain menuju ke utara.

"93. Sehingga apabila telah sampai di antara dua gunung," 

As saddain bermaksud dua buah bendungan. Iaitu dua gunung yang berhadapan atau bersebelahan. Antara keduanya ada celah yang memisahkannya.

"dia mendapatkan dari belakang keduanya kaum mereka hampir tidak memahami perkataan." 

Mereka tidak memahami bahasa orang lain, kerana bahasa bahasa mereka asing dan mereka jauh dari keramaian manusia, dan mereka juga tidak dapat menerangkan maksud mereka dengan jelas kerana kurangnya kecerdasan mereka.

Allah s.w.t. memberikan sebab-sebab ilmu kepada Zulkarnain sehingga dapat memahami bahasa dan maksud kaum tersebut.

"94. Mereka berkata, "Wahai Zulkarnain! Sesungguhnya Ya'juj dan Ma'juj pembuat kerosakan di bumi,""

Ya’juj dan Ma’juj keluar dari celah dua gunung tersebut memasuki dunia manusia, mendatangi dan menyerang negeri Turki, lalu membuat banyak kerosakan dan membinasakan ternakan dan tanaman.

Ya'juj dan Ma'juj adalah dua bangsa keturunan Bani Adam yang membuat kerosakan di muka bumi seperti melakukan pembunuhan dan perampasan ketika keluar ke tengah-tengah manusia yang lain, sebagaimana yang telah dilakukan oleh bangsa Tartar dan Mongol. Mereka keturunan Yafis anak Nabi Nuh a.s., nenek moyang bangsa Turki.

Dinamakan Turki bagi mereka kerana mereka terpencil dari dunia ramai di belakang bendungan atau gunung-gunung tersebut. Pada kenyataannya Ya'juj dan Ma'juj masih serumpun dengan bangsa Turki, cuma mereka berwatak angkara murka, suka merosak dan mempunyai keberanian yang luar biasa.

"maka apakah kami jadikan kepada kamu pembayaran atas bahawa kamu jadikan antara kami dan antara mereka dinding pembatas?"

Mereka tidak mampu membangun sendiri dinding tersebut dan mereka mengetahui kemampuan Zulkarnain. Kharjan bermaksud imbalan yang besar. Mereka bermaksud akan menghimpun dana sesama mereka dalam jumlah yang cukup besar untuk diberikan kepada Zulqarnain sebagai imbalan jasanya.

Akan tetapi, Zulkarnain adalah raja yang mukmin, pendalaman agamanya yang sempurna, soleh lagi menghendaki kebaikan. Dia tidak tamak kepada dunia dan tidak tinggal diam membiarkan keadaan rakyatnya, bahkan tujuannya adalah memperbaikinya, oleh kerananya dia bersedia memenuhi permintaan mereka kerana ada maslahatnya.

"95. Dia berkata, "Apa yang dianugerahkan kepadaku padanya Tuhanku lebih baik,""

Kerajaan dan kekuasaan yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepadanya lebih baik daripada harta yang mereka himpunkan. Oleh kerana itu, Zulkarnain sedia membuat penghalang itu tanpa perlu diupah.

"maka tolonglah aku dengan kekuatan, aku akan menjadikan antara kalian dan antara mereka dinding." 

Tetapi Zulkarnain meminta kepada mereka agar membantunya dengan tenaga kerja mereka dan penyediaan bahan bangunan yang diperlukan.

"96. Datangkan kepadaku potongan besi!" 

Az zubur bentuk jamak dari zabrah, ertinya potongan besi. Potongan besi itu akan dijadikan sebagai batanya. Sepotongnya seukuran batu. Ketika itu di antara potongan-potongan besi itu disediakan kayu bakar dan arang, dan diletakkan di sekitarnya alat peniup api.

"Hingga apabila sama antara dua pinggir," 

Potongan-potongan besi itu disusun dari asasnya, hingga ketinggiannya sama rata dengan puncak kedua gunung dan menutup celah yang ada di antara keduanya.

"dia berkata, "Tiuplah!" Sehingga apabila dia menjadikannya api, dia berkata, "Datangkan kepadaku, aku akan tuangkan atasnya leburan tembaga."

Zulkarnain mengarahkan mereka menyalakan api untuk membakarnya, hingga dinding besi itu menjadi merah seperti api. Kemudian dituangkan tembaga yang dilebur dan mendidih ke atas besi panas itu sehingga menyatu.

Dinding atau bendugan itu dari kejauhan tampak bentuknya seperti kain burdah yang bergaris hitam dan merah. Ia sangat tinggi, bahkan lebih tinggi daripada gunung-gunung yang ada di sekitarnya.

"97. Tidaklah mereka dapat bahawa mereka mendakinya dan mereka tidak dapat padanya membuat lubang." 

Ya'juj dan Ma'juj tidak mampu naik ke atas bendungan (dinding) itu kerana tinggi dan licin, dan tidak mampu pula melubangi bawahnya kerana keras dan tebal. Mereka tidak dapat berbuat sesuatu pun terhadap dinding itu.

Zulkarnain bersyukur kepada Allah yang telah memberikan kemampuan kepadanya untuk membina dinding itu.

"98. Dia berkata, "Ini rahmat dari Tuhanku,""

Iaitu nikmat, kurnia dan ihsanNya kepada manusia, kerana dinding tersebut dapat menghalangi Ya’juj dan Ma’juj keluar mengacau dan membuat kerosakan lagi.

"maka apabila telah datang janji Tuhanku," 

Akan tiba masanya untuk keluarnya Ya’juj dan Ma’juj apabila telah dekat janji yang benar, iaitu hari kiamat.

"Dia menjadikannya hancur; dan adalah janji Tuhanku benar."

Mereka menebuknya setiap hari, sehingga ketika mereka hampir berjaya melubanginya, pemimpin mereka berkata, "Kembalilah! kalian boleh melubanginya esok!", lantas Allah mengembalikan tembok itu tertutup dan seperti asal.

Apabila masa mereka sudah tiba, dan Allah hendak membangkitkan mereka di tengah-tengah manusia, maka pemimpin mereka berkata, "Kembalilah kalian, kalian akan boleh melubanginya esok, insha'Allah!" Ia mengucapkan insha'Allah.

Esoknya mereka kembali, sedangkan tembok itu masih seperti keadaan ketika mereka tinggalkan, lantas mereka pun berjaya melubanginya. Dinding itu akan dihancurkan sehingga rata dengan tanah, menjadi jalan seperti asal sebelum dibangunkan. Dan ia pasti akan berlaku.

Pada hari hancurnya bendungan itu, iaitu sebelum hari kiamat dan sesudah peristiwa Dajjal, Ya'juj dan Ma'juj keluar dari dinding itu menuju ke dunia manusia. Mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi.

Mereka datang bergelombang menyerang manusia dengan menimbulkan kerosakan pada harta benda dan menghancurkan segala sesuatu yang dimiliki manusia. Mereka meminum banyak air dan orang ramai lari kerana takut kepada mereka. Hal ini merupakan permulaan hari kiamat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...