Selasa, 13 September 2016

2:259 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 259.

أَوْ كَالَّذِي مَرَّ عَلَى قَرْيَةٍ وَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَى عُرُوشِهَا قَالَ أَنَّى يُحْيِي هَذِهِ اللَّهُ بَعْدَ مَوْتِهَا فَأَمَاتَهُ اللَّهُ مِائَةَ عَامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ قَالَ كَمْ لَبِثْتَ قَالَ لَبِثْتُ يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ قَالَ بَلْ لَبِثْتَ مِائَةَ عَامٍ فَانْظُرْ إِلَى طَعَامِكَ وَشَرَابِكَ لَمْ يَتَسَنَّهْ وَانْظُرْ إِلَى حِمَارِكَ وَلِنَجْعَلَكَ آيَةً لِلنَّاسِ وَانْظُرْ إِلَى الْعِظَامِ كَيْفَ نُنْشِزُهَا ثُمَّ نَكْسُوهَا لَحْمًا فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ قَالَ أَعْلَمُ أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٢٥٩)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan sebuah kisah.

"259. Atau seperti orang yang dia melalui atas suatu desa" 

Atau orang yang melalui suatu negeri. Ada banyak pendapat mengenai orang yang disebut dalam ayat ini iaitu Uzair a.s., Khidir a.s., Hizqil ibnu Bawar, seorang lelaki dari kalangan Bani Israil atau orang yang sebelumnya mengingkari adanya kebangkitan. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Adapun negeri yang disebutkan itu adalah Baitul Maqdis.

"dan ia roboh atas atap-atapnya,"

Yang telah roboh hingga menutupi atap-atapnya. Negeri itu dihancurkan oleh Raja Bukhtanasar. Bangunan-bangunannya telah roboh menutupi reruntuhan atapnya dan semua penduduknya dibunuh.

Maka lelaki itu berdiri seraya berfikir tentang kejadian yang menimpa negeri itu dan penduduknya, padahal sebelumnya negeri tersebut sangat ramai dan dipenuhi oleh bangunan-bangunan. Dengan nada ta'ajjub (bingung),

"dia berkata, "Bagaimana menghidupkan ini Allah setelah kematiannya?""

Dia berkata, "Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?" Dia mengatakan demikian setelah melihat kehancuran dan kerosakan negeri tersebut yang sangat parah, dan sesudah itu bagaimana cara mengembalikannya seperti sebelumnya. Di pagi itu lelaki itu pun tidur.

"Maka Allah mematikannya seratus tahun,"

Lalu Allah mematikan orang itu selama seratus tahun. Negeri tersebut diramaikan kembali setelah tujuh puluh tahun kematian lelaki itu. Penduduknya lengkap seperti sebelumnya, dan kaum Bani Israil kembali lagi ke negeri itu.

"kemudian Dia membangkitkannya." 

Kemudian menghidupkannya kembali. Waktu itu menjelang matahari tenggelam. Maka anggota tubuhnya yang mula-mula dihidupkan oleh Allah adalah kedua matanya. Dengan demikian, maka dia dapat menyaksikan perbuatan Allah, bagaimana Allah menghidupkan kembali dirinya. Setelah seluruh tubuh lelaki itu hidup seperti sediakala, maka Allah berfirman kepadanya melalui malaikat,

"Dia berfirman, "Berapa lama kamu tinggal?" Dia berkata, "Aku tinggal sehari atau setengah hari.""

Allah bertanya, "Berapa lama kamu tinggal?" Lelaki itu menjawab, "Aku tinggal di sini sehari atau setengah hari." Dia menyangka bahawa dirinya tidur pada permulaan siang hari, kemudian bangun pada petang harinya. Oleh kerana dia nampak matahari masih tetap ada, dia menyangka bahawa dia bangun tidur pada hari yang sama.

"Dia berfirman, "Bahkan kamu tinggal seratus tahun, maka lihatlah kepada makananmu dan minumanmu tidak berubah;""

Allah berfirman, "Sebenarnya kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya. Lihatlah makanan dan minumanmu yang belum berubah."

Lelaki itu membawa buah anggur, buah tin, dan minuman jus. Maka ia kelihatan masih elok, tiada sesuatu pun yang berubah; minuman jusnya tidak berubah, buah tinnya tidak masam dan tidak busuk, serta buah anggurnya tidak berkurang barang sedikit pun walaupun sudah seratus tahun berlalu.

"dan lihatlah kepada keldaimu." 

Keldainya telah mati dan menjadi tulang-belulang, bercerai-berai di sebelah kanan dan kirinya. Lalu ia memandang ke tulang-belulang itu yang berkilauan kerana putihnya. Itu menunjukkan bahawa ia telah terlalu lama berada di situ.

"Dan Kami akan jadikan kamu sebuah ayat bagi manusia." 

Demikianlah tanda dan bukti kekuasaan Allah s.w.t. untuk membangkitkan manusia yang telah mati dengan disaksikan oleh kedua matanya. Demikian itu membuktikan adanya hari berbangkit.

"Dan lihatlah kepada tulang belulang, bagaimana Kami menyusunnya kembali," 

Kemudian Allah mengirimkan angin. Tulang-belulang keldainya dihimpun kembali ke tempat asalnya, diangkat dan disusun pada tempatnya masing-masing hingga menjadi rangka tulang seekor keldai yang berdiri tanpa daging.

"kemudian Kami membungkusnya daging." 

Kemudian Kami membalutnya dengan daging. Allah memakaikan kepadanya daging, otot, urat, dan kulit, lalu Allah mengirim malaikat yang ditugaskan untuk meniupkan roh ke dalam tubuh keldai itu melalui kedua lubang hidungnya.

Maka dengan serta merta keldai itu meringkik dan hidup kembali dengan izin Allah s.w.t. Setelah dia menyaksikan hal itu dengan jelas dia pun memahaminya.

"Maka tatkala telah nyata baginya, dia berkata, "Aku mengetahui bahawasanya Allah atas segala sesuatu Maha Kuasa.""

Maka ketika telah nyata kepadanya, dia pun berkata, "Aku yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." Lelaki itu telah menyaksikannya dengan matanya sendiri, dan dia adalah orang yang paling mengetahui hal ini di antara semua manusia yang hidup di zamannya.

Kisah ini membuktikan bahawa Allah mampu menghidupkan yang mati, sebagaimana Allah menghidupkan lelaki tersebut, menghidupkan keldainya serta menjaga makanan dan minumannya sehingga tidak berubah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...