Ahad, 4 September 2016

25:35-40 Tafsir Surah Al Furqan, ayat 35-40.

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَجَعَلْنَا مَعَهُ أَخَاهُ هَارُونَ وَزِيرًا (٣٥) فَقُلْنَا اذْهَبَا إِلَى الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا فَدَمَّرْنَاهُمْ تَدْمِيرًا (٣٦) وَقَوْمَ نُوحٍ لَمَّا كَذَّبُوا الرُّسُلَ أَغْرَقْنَاهُمْ وَجَعَلْنَاهُمْ لِلنَّاسِ آيَةً وَأَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ عَذَابًا أَلِيمًا (٣٧) وَعَادًا وَثَمُودَ وَأَصْحَابَ الرَّسِّ وَقُرُونًا بَيْنَ ذَلِكَ كَثِيرًا (٣٨) وَكُلا ضَرَبْنَا لَهُ الأمْثَالَ وَكُلا تَبَّرْنَا تَتْبِيرًا (٣٩) وَلَقَدْ أَتَوْا عَلَى الْقَرْيَةِ الَّتِي أُمْطِرَتْ مَطَرَ السَّوْءِ أَفَلَمْ يَكُونُوا يَرَوْنَهَا بَلْ كَانُوا لا يَرْجُونَ نُشُورًا (٤٠)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan sekilas kisah-kisah umat-umat terdahulu yang binasa untuk mengancam kaum kafir Quraisy dan memperingatkan manusia agar tidak mendustakan RasulNya Muhammad s.a.w., supaya tidak tertimpa azab yang pedih seperti yang telah menimpa kaum-kaum yang binasa tersebut.

"35. Dan sungguh, Kami telah datangkan Musa Al Kitab dan Kami jadikan bersamanya saudaranya Harun wazir." 

Allah s.w.t. telah mengutus Musa a.s., memberikannya kitab Taurat dan mengangkat saudara lelakinya Harun a.s. sebagai nabi yang membantu, menyokong dan menolongnya.

"36. Maka Kami berfirman, "Pergilah kamu berdua kepada kaum orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami." Maka Kami binasakan mereka sebenar-benar binasa." 

Iaitu kaum Qibth (bangsa Mesir), mereka ini adalah Fir’aun, bala tenteranya dan kaumnya. Kaum Bani Israil sering ditindas oleh Fir'aun. Allah mengutus Nabi Musa a.s. dan Harun a.s. untuk memperingatkan Fir'aun akan azab Allah. Namun, Firaun mengaku dirinya sebagai tuhan. Akhirnya mereka ditenggelamkan di dalam Laut Merah.

"37. Dan kaum Nuh, tatkala mereka mendustakan rasul-rasul." 

Nabi Nuh a.s. tinggal di kalangan kaumnya selama sembilan ratus lima puluh tahun, seraya menyeru mereka untuk menyembah Allah s.w.t. Apabila kaumnya mendustakan, memperolok-olokkannya dan tidak menaati seruannya, Beliau memperingatkan mereka akan azab Allah. Allah s.w.t. mendatangkan banjir yang besar, kemudian menenggelamkan mereka yang ingkar, termasuk anak dan isteri Nabi Nuh a.s.

Kaum Nuh a.s. dikatakan mendustakan para rasul, padahal yang diutus kepada mereka hanya Nabi Nuh a.s., kerana barang siapa yang mendustakan seorang rasul, sama saja mendustakan semua rasul, kerana yang dibawa para rasul adalah sama dalam hal ushulnya (pokok-pokok agamanya) meskipun syariatnya berbeda-beda sesuai keadaan masing-masing.

Seandainya Allah menakdirkan untuk mengutus kepada mereka semua rasul, maka pastilah mereka akan mendustakan para rasul Allah itu. Hanya sekitar lapan puluh orang yang beriman bersama dengan Nuh a.s.

"Kami tenggelamkan mereka bagi manusia pelajaran." 

Tiada seorang pun dari Bani Adam pun yang ada di muka bumi tersisa kecuali orang-orang yang menaiki kapal Nuh a.s. Allah s.w.t. biarkan mereka menaiki kapal menempuh ombak lautan agar mereka ingat akan nikmat Allah kepada mereka, bahawa mereka telah diselamatkan dari tenggelam.

Semua manusia yang hidup setelahnya hingga kini adalah berasal dari keturunan orang-orang yang beriman kepadaNya dan membenarkan perintahNya. Mereka adalah pelajaran yang dijadikan sebagai peringatan bagi manusia.

"Dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang zalim azab yang pedih." 

Iaitu azab di akhirat di samping azab yang telah menimpa mereka di dunia.

"38. Dan kaum 'Ad," 

Allah s.w.t. mengutuskan Nabi Hud a.s. kepada kaum 'Ad. Mereka mendustakan kenabiannya. Lalu Allah s.w.t. mendatangkan angin yang dahsyat disertai dengan bunyi guruh yang menggelegar hingga mereka tertimbun pasir dan akhirnya binasa.

"dan Samud," 

Allah s.w.t. mengutuskan Nabi Soleh a.s. kepada kaum Tsamud. Beliau diberi sebuah mukjizat seekor unta betina yang keluar dari celah batu. Namun, mereka membunuh unta betina tersebut, lalu Allah s.w.t. menimpakan azab kepada mereka.

"dan penduduk Rass," 

Rass adalah nama sebuah telaga yang sudah kering airnya. Kemudian dijadikan nama suatu kaum, iaitu kaum Rass. Mereka menyembah patung, lalu Allah mengutus seorang nabi kepada mereka. Menurut suatu pendapat, nabi itu adalah Nabi Saleh a.s. Ada yang mengatakan Nabi Syuaib a.s. Yang lainnya menyebutkan, utusan itu bernama Handzalah bin Shinwan (ada yang menyebut bin Shofwan). Mereka mencampakkan nabi mereka di dalam sumur itu. Lalu mereka dibinasakan Allah.

"dan generasi-generasi di antara demikian banyak." 

Iaitu umat-umat yang jumlahnya berkali ganda daripada mereka yang telah disebutkan, semuanya telah Allah binasakan.

Nabi Syuaib a.s. diutuskan kepada kaum Madyan. Mereka suka melakukan penipuan dan kecurangan dalam perdagangan. Bila membeli, mereka minta dilebihkan dan bila menjual selalu mengurangi. Allah pun mengazab mereka dengan hawa panas yang teramat sangat.

Nabi Syuaib a.s. juga diutus kepada penduduk Aikah. Mereka menyembah sebidang padang tanah yang pepohonannya sangat rimbun. Mereka juga dikenali sebagai penyembah hutan lebat (Aikah).

Ashab Al Sabt adalah segolongan fasik yang tinggal di Kota Eliah, Elat (Palestin). Mereka melanggar perintah Allah untuk beribadah pada hari Sabtu. Allah menguji mereka dengan memberikan ikan yang banyak pada hari Sabtu dan tidak ada ikan pada hari lainnya. Mereka melanggar larangan itu dan meminta rasul Allah untuk mengalihkan ibadah pada hari lain, selain Sabtu. Mereka akhirnya dibinasakan dengan dilaknat Allah menjadi kera yang hina.

Ashab Al Ukhdud adalah suatu kaum yang menggali parit dan menolak beriman kepada Allah, termasuk rajanya. Sementara itu, sekelompok orang yang beriman dilemparkan ke dalam parit yang telah dibakar, termasuk seorang wanita yang sedang menggendong seorang bayi. Kemudian mereka dikutuk oleh Allah s.w.t.

Ashab Al Qaryah (suatu negeri) adalah penduduk Anthakiyah. Mereka mendustakan rasul-rasul yang diutus kepada mereka. Allah s.w.t. membinasakan mereka dengan suatu suara yang sangat keras.

Tubaa' adalah nama seorang raja yang beriman. Peradaban mereka sangat maju. Salah satunya adalah bendungan air. Namun, kaumnya iaitu bangsa Himyar sangat ingkar kepada Allah hingga melampaui batas. Maka, Allah s.w.t. menimpakan azab kepada mereka hingga binasa.

Kaum Saba' diberi berbagai kenikmatan berupa kebun-kebun yang ditumbuhi pepohonan untuk kemakmuran mereka. Mereka enggan beribadah kepada Allah walau sudah diperingatkan oleh Nabi Sulaiman a.s. Akhirnya Allah s.w.t. menghancurkan bendungan Ma'rib dengan banjir besar (Al Arim).

"39. Dan masing-masing Kami telah menjadikan baginya perumpamaan-perumpamaan"

Allah s.w.t. jelaskan kepada mereka hujah-hujah (alasan-alasan) dan Dia terangkan bukti-bukti kepada mereka. Dia lenyapkan semua alasan dari mereka. Dan mereka tidak dibinasakan kecuali setelah diberi peringatan.

"dan masing-masing Kami telah binasakan sebenar-benar binasa." 

Setiap kali suatu umat dibinasakan, Allah s.w.t. menjadikan sesudah mereka umat-umat yang lain.

"40. Dan sungguh, mereka melalui atas suatu negeri yang dihujani hujan sangat buruk." 

Kaum musyrik Mekah dalam safar mereka ke Syam sering melalui kota kaum Nabi Lut a.s. iaitu kota Sadum yang dulu dihujani dengan batu . Kota itu benar-benar terletak di jalan umum yang terang yang masih tetap dilalui manusia.

Umat Nabi Lut a.s. terkenal dengan perbuatan menyimpang, iaitu hanya mahu menikah dengan pasangan sesama jenis. Walaupun sudah diberi peringatan, mereka tak mahu bertaubat.

Allah s.w.t. akhirnya memberikan azab kepada mereka berupa gempa bumi yang dahsyat disertai angin kencang dan hujan batu dari Sijjil sehingga hancurlah rumah-rumah mereka. Akhirnya mereka tertimbun di bawah reruntuhan rumah mereka sendiri.

"Maka apakah tidak mereka melihatnya?" 

Mereka telah mengetahui kisahnya kerana sudah masyhur, bahkan di antara mereka ada yang menyaksikan jejak peninggalan mereka dengan mata mereka sendiri seperti bekas kaum Soleh a.s. di Hijr. Tetapi mereka tidak mengambil pelajaran darinya.

Umat-umat terdahulu tidaklah lebih buruk dari mereka (orang-orang kafir Quraisy), sedang rasul-rasul itu tidaklah lebih baik dari Rasul mereka (Nabi Muhammad s.a.w.).

"Bahkan mereka tidak mengharapkan kebangkitan." 

Mereka kafir, tidak takut, tidak mempercayai adanya hari berbangkit kelak di hari kiamat dan tidak mengharapkan balasan syurga di akhirat. Oleh kerana itu, mereka tetap membangkang, padahal telah datang kepada mereka ayat-ayat yang tidak menyisakan keraguan, syubhat, kemusykilan dan kebimbangan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...