Ahad, 25 September 2016

29:56-63 Tafsir Surah Al Ankabut, ayat 56-63.

يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ أَرْضِي وَاسِعَةٌ فَإِيَّايَ فَاعْبُدُونِ (٥٦)كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ (٥٧) وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَنُبَوِّئَنَّهُمْ مِنَ الْجَنَّةِ غُرَفًا تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا نِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ (٥٨) الَّذِينَ صَبَرُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ (٥٩) وَكَأَيِّنْ مِنْ دَابَّةٍ لا تَحْمِلُ رِزْقَهَا اللَّهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٦٠) وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ (٦١) اللَّهُ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (٦٢) وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الأرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لا يَعْقِلُونَ (٦٣)

Kaum muslim lemah dan selalu ditindas oleh orang-orang musyrik di Mekah. Mereka kesulitan untuk beribadah, menampakkan dan menegakkan syiar-syiar Islam di sana. Maka Allah s.w.t. berfirman memerintahkan kepada hamba-hambaNya agar berhijrah ke negeri lain.

"56. Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Sesungguhnya bumiKu luas, maka hanya kepadaKu, maka sembahlah Aku." 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Negeri (bumi) ini adalah negeri Allah dan semua hamba adalah hamba Allah, maka di mana pun kamu mendapat kebaikan, maka bermukimlah padanya."

Maka mereka berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan agamanya. Mereka mendapati negeri Habsyah adalah negeri yang baik bagi mereka. Rajanya yang bernama As Hamah An Najjasyi rahimahullah menerima mereka dengan baik dan penuh hormat. As Hamah memberi tempat tinggal kepada mereka dan menyokong mereka melalui pertolongannya dan menjadikan mereka orang-orang yang dilindungi di negerinya.

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersama semua sahabatnya yang ada berhijrah ke kota Yasrib (Madinah).

"57. Setiap yang bernyawa merasakan mati. Kemudian kepada Kami kalian dikembalikan." 

Di mana pun kalian berada, maut pasti akan mendapatkan dan menjemput kalian tanpa dapat dielakkan. Maka taatlah kepada perintah Allah sentiasa dan di mana saja kalian berada. Kemudian hanya kepada Allah kalian dikembalikan untuk mendapat pembalasan.

"58. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, sungguh, Kami akan tempatkan mereka di dalam syurga tempat yang tinggi, mengalir dari bawahnya sungai-sungai," 

Orang-orang yang sentiasa taat kepadaNya akan mendapat balasan yang sebaik-baiknya dan diberikan pahalanya dengan penuh. Mereka ditempatkan di tempat-tempat yang tinggi di dalam syurga. Di sana mengalir sungai-sungai yang berbagai rasa, ada sungai air, ada sungai khamr, sungai madu dan sungai susu. Mereka dapat membelokkan alirannya menurut kesukaannya.

"mereka kekal di dalamnya." 

Mereka tinggal di dalamnya selama-lamanya dan tak ingin berpindah darinya.

"Sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal." 

Itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang berbuat kebajikan. Di dalam syurga terdapat binaan-binaan yang lutsinar. Bahagian luarnya dapat dilihat dari bahagian dalamnya, dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari bahagian luarnya. 

Binaan-binaan itu disediakan oleh Allah s.w.t. bagi orang yang suka memberi makan kaum fakir miskin, mengerjakan solat dan puasa serta berdiri di malam hari mengerjakan solat sunat, sedangkan manusia saat itu sedang nyenyak tidur. Alangkah menyenangkan binaan-binaan syurga itu sebagai pembalasan bagi amal-amal orang-orang yang beriman.

"59. Orang-orang yang bersabar" 

Mereka bersabar dalam mempertahankan agamanya, berhijrah kepada Allah serta memisahkan diri dari musuh-musuh Allah, rela berpisah dengan keluarga dan saudara mara demi kerana Allah dan mengharapkan pahala yang ada di sisiNya serta percaya kepada apa yang dijanjikan olehNya.

"dan atas Tuhan mereka, mereka bertawakkal." 

Mereka bersandar kepada Allah dalam semua urusan agama dan urusan duniawinya. Mereka bersangka baik kepada Allah bahawa Dia akan mewujudkan amal yang mereka azamkan dan menyempurnakannya. Kerana itu, Allah memberi rezeki kepada mereka dari arah yang tidak mereka sangka.

"60. Dan berapa banyak dari binatang tidak membawa rezekinya." 

Banyak makhluk bergerak yang bernyawa yang tidak membawa rezekinya sendiri. Mereka tidak mampu mengumpulkan, menghasilkan, menyimpan dan mengurus sesuatu pun dari rezeki itu untuk esok harinya. Rezeki itu tidak khusus hanya diberikan kepada suatu negeri, bahkan rezeki Allah s.w.t. menyeluruh buat semua makhlukNya di mana pun mereka berada.

"Allah memberi rezeki kepadanya dan kepada kalian." 

Allah yang menetapkan dan memberi rezeki kepada semua makhlukNya, walaupun ia lemah. Allah memudahkan baginya jalan rezekinya. Untuk itu Allah mengirimkan bagi setiap makhluk sejumlah rezeki yang diperlukannya, hingga benih-benih yang ditanam di dalam tanah, juga burung-burung yang ada di udara serta ikan-ikan yang ada di laut. Dia mengetahui tempat berdiam dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis di dalam Lauh Mahfuz.

Walaupun orang-orang yang berhijrah (Muhajirin) tidak membawa bekal setelah berusaha membawanya, mereka semua adalah tanggungan Allah, rezeki mereka diurusNya sebagaimana Dia yang menciptakan dan mengatur mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bepergianlah, nescaya kalian mendapat keuntungan; berpuasalah, nescaya kalian sihat; dan berperanglah, nescaya kalian mendapat ganimah."

Rezeki kaum Muhajirin di tempat hijrah mereka jauh lebih banyak, lebih luas, dan lebih baik berbanding di Mekah tempat asal mereka. Kerana sesungguhnya tidak lama kemudian mereka menjadi para penguasa negeri di berbagai kawasan dan kota-kota besar.

"Dan Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui." 

Allah Maha Mendengar semua ucapan hamba-hambaNya, lagi Maha Mengetahui semua gerakan dan diamnya mereka. Tidak ada satu pun yang samar bagiNya, dan tidak ada satu pun makhluk yang binasa kerana tidak mendapatkan rezeki disebabkan samar olehNya.

"61. Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka, "Siapa yang menciptakan langit dan bumi, dan menundukkan matahari dan bulan?" Tentu mereka akan berkata, "Allah.""

Orang-orang musyrik yang menyembah selain Allah di sampingNya. Mereka mengakui bahawa Allah sendiri yang menciptakan semua itu.

"Maka bagaimana mereka dipalingkan?"

Mereka dipalingkan dari tauhid (beribadah hanya kepada Allah) padahal mereka mengetahui kebenarannya.

"62. Allah melapangkan rezeki bagi orang-orang Dia kehendaki dari hamba-hambaNya dan Dia menyempitkan baginya." 

Dia membeda-bedakan dalam pemberian rezeki kepada hamba-hambaNya sebagai ujian. Ada yang kaya, miskin dan sederhana.

"Sesungguhnya Allah dengan segala sesuatu Maha Mengetahui." 

Dia Maha Mengetahui apa yang lebih maslahat bagi masing-masing dari mereka; dan siapakah yang berhak menjadi orang kaya dan siapa pulakah yang berhak menjadi orang miskin; siapa yang bersyukur atau kufur; siapa yang pemurah atau bakhil; dan siapa yang akan bahagia atau celaka di akhirat disebabkan oleh kemiskinan atau kekayaannya.

Allah menyebutkan pula bahawa hanya Dia sendirilah yang menciptakan segala sesuatu dan hanya Dia sematalah yang mengatur semuanya.

"63. Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka, "Siapa yang menurunkan dari langit air, lalu menghidupkan dengannya bumi setelah matinya?" Tentu mereka akan berkata, "Allah."" 

Mereka mengakui bahawa Allah yang melakukan semua itu. Mereka juga mengakui kelemahan berhala dan patung yang mereka sembah selainNya. Namun, mereka menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.

"Katakanlah, "Segala puji bagi Allah,""

Segala puji bagi Allah kerana telah tegak hujjahNya. Segala puji bagi Allah kerana Dia telah menerangkan petunjuk daripada kesesatan serta menerangkan kebatilan yang dipegang oleh kaum musyrik. Segala puji bagi Allah kerana Dia telah menciptakan alam semesta, mengatur dan memberikan rezeki, melapangkan dan menyempitkan siapa yang Dia kehendaki kerana kebijaksanaanNya. Dan Segala puji bagi Allah kerana Dia mengetahui hal yang sesuai bagi hamba-hambaNya.

"bahkan kebanyakan mereka tidak berakal."

Kebanyakan mereka tidak mengerti. Mereka tidak memahami dalam hal pengakuan dan perbuatannya. Apabila demikian keadaannya, maka tiada yang berhak disembah selain Dia, dan bertawakal itu hanyalah kepadaNya. Sebagaimana Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa dalam kerajaanNya, maka hendaklah Dia diesakan juga dalam penyembahan.

Sering kali Allah s.w.t. menetapkan kedudukan UluhiyahNya dengan pengakuan keesaan dalam RububiyahNya.

Dahulu orang-orang musyrik mengakui hal tersebut sebagaimana yang tersitirkan dari perkataan mereka dalam talbiyahnya, "Kupenuhi seruanMu, tiada sekutu bagiMu kecuali sekutu yang Engkau miliki, sedangkan dia tidak memiliki."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...