Isnin, 26 September 2016

33:37-40 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 37-40.

وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ تَخْشَاهُ فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ مِنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ مَفْعُولا (٣٧)مَا كَانَ عَلَى النَّبِيِّ مِنْ حَرَجٍ فِيمَا فَرَضَ اللَّهُ لَهُ سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلُ وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ قَدَرًا مَقْدُورًا (٣٨)الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالاتِ اللَّهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلا اللَّهَ وَكَفَى بِاللَّهِ حَسِيبًا (٣٩)مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا (٤٠)

Allah s.w.t. berfirman, 

"37. Dan ketika kamu berkata kepada yang Allah beri nikmat atasnya," 

Allah menjadikannya muslim dan mengikuti RasulNya.

"dan engkau telah beri nikmat atasnya," 

Orang yang dimaksudkan adalah Zaid ibnu Harisah r.a. Semasa zaman jahiliyah, Zaid adalah seorang tawanan. Rasulullah s.a.w. membelinya sebelum Beliau diangkat menjadi Nabi. Kemudian Zaid dimerdekakannya sehingga jadilah ia seorang yang terhormat, terkemuka dan disegani.

Nabi s.a.w. menjadikannya sebagai anak angkat yang dicintai sehingga Zaid dikenali sebagai putera Muhammad. Zaid digelar Al Hibbu ibnul Hibbi, ertinya orang yang disayangi Rasulullah s.a.w. putera orang yang disayangi Rasulullah s.a.w.

Setiap kali Rasulullah s.a.w. mengirimkan suatu pasukan khusus, pasti Zaid diangkat sebagai komandannya. Seandainya Zaid hidup sesudah Nabi s.a.w., pasti Beliau s.a.w. akan mengangkatnya menjadi khalifah.

Rasulullah s.a.w. telah mengahwinkan Zaid dengan anak perempuan makciknya, iaitu Zainab binti Jahsy Al Asadiyah r.a. Ibunya bernama Umaimah binti Abdul Muttalib. Nabi s.a.w. memberinya maskahwin sepuluh dinar dan enam puluh dirham, kain tudung, milhafah (tilam), baju besi, dan lima puluh mud makanan dan sepuluh mud kurma.

Zainab tinggal bersama Zaid selama satu tahun atau lebih dari setahun, lalu terjadilah pertengkaran di antara keduanya (Zaid ibnu Harisah dan Zainab binti Jahsy).

Allah s.w.t. mewahyukan kepada Nabi s.a.w., bahawa kelak Zainab akan menjadi salah seorang isterinya. Zaid nanti akan menalak Zainab, dan Allah akan menikahkan ia dengan Nabi s.a.w. Ketika itu Zainab masih lagi isteri Zaid.

Zaid datang menghadap kepada Rasulullah s.a.w. mengadukan sikap Zainab yang membangkang dan meminta pendapat Beliau s.a.w. tentang sikapnya ingin menceraikan Zainab. Tetapi Rasulullah s.a.w. menasihati Zaid dengan bersabda,

"pertahankanlah atasmu isterimu dan bertakwalah kepada Allah," 

Iaitu jangan menceraikannya dan bersabarlah terhadap perbuatan yang muncul darinya. Bertakwalah dalam semua masalahmu dan dalam masalah isterimu, kerana takwa mendorong untuk bersabar dan memerintahkannya.

"dan kamu menyembunyikan dalam dirimu apa yang Allah menyatakannya," 

Nabi s.a.w. sembunyikan dalam hatinya bahawa Allah akan menikahkan Beliau dengan Zainab r.a.

"dan kamu takut manusia,"

Beliau s.a.w. takut orang ramai akan berkata, “Beliau menikahi isteri anaknya.” Padahal Allah s.w.t. hendak menetapkan syariat yang umum bagi kaum mukmin, bahawa anak angkat bukanlah anak hakiki dari segala sisi, dan bahawa isterinya boleh dinikahi oleh ayah angkatnya setelah ditalak dan habis masa iddahnya.

"dan Allah lebih berhak untuk kamu takut kepadaNya." 

Sepatutnya engkau lebih takut kepada Allah dalam segala sesuatu, jangan dipedulikan kata-kata orang ramai itu.

Kemudian Zaid menceraikan Zainab. Ia menalak Zainab dengan pilihannya sendiri, dan yang tahu adalah Allah s.w.t.

Ketika masa iddah Zainab habis, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Zaid, “Aku tidak mendapatkan orang yang paling amanah dan terpercaya bagi diriku daripada engkau. Datangilah Zainab dan lamarkanlah dia untukku.”

Maka Zaid berangkat ke rumah Zainab yang saat itu sedang membuat adunan roti. Ketika Zaid melihat Zainab, keadaannya berbeda, ia tampak besar (terhormat) dalam hati Zaid, sehingga ia tidak sanggup memandangnya, kerana Rasulullah s.a.w. telah menyebut-nyebut tentangnya.

Kemudian Zaid memusingkan badannya dan berkata, "Hai Zainab, bergembiralah, Rasulullah s.a.w. telah mengutusku untuk menyampaikan kepadamu bahawa beliau menyebut-nyebut dirimu."

Zainab menjawab, "Aku tidak akan melakukan suatu tindakan apa pun sebelum beristikharah (meminta pilihan) kepada Tuhanku." Zainab bangkit menuju ke masjid, lalu turunlah ayat,

"Maka ketika telah memutuskan Zaid darinya keperluan, Kami nikahkan kamu dengannya" 

Al watar ertinya keperluan dan hajat. Zaid tidak perlu lagi kepada Zainab. Allah s.w.t. mewahyukan kepada Rasululullah s.a.w. dan memerintahkan kepadanya agar mengahwini Zainab secara langsung, iaitu tanpa wali, tanpa akad, tanpa mahar, dan tanpa saksi manusia. Semuanya ditangani oleh Allah s.w.t. Beliau s.a.w. menjamu roti dan daging sebagai walimah perkawinannya dengan Zainab.

"supaya tidak ada atas orang-orang yang beriman keberatan berkenaan dengan isteri-isteri anak angkat mereka apabila mereka memutuskan di antara mereka keperluan." 

Ini merupakan sebab yang jelas menikahnya Beliau s.a.w. dengan Zainab, bukan kerana cinta kepadanya, yang menjadi sebab Zaid menalaknya sebagaimana yang orang ramai sangka. Jika itu maksudnya, tentu Allah akan menampakkannya.

Hikmah ilahi dalam pernikahan itu adalah untuk menghilangkan keharaman menikahi bekas isteri anak angkat. Juga untuk menghindarkan kesalahfahaman terhadap anak angkat, kerana isteri anak angkat bukan mahram. Sebab tradisi mengambil anak angkat di kalangan mereka saat itu banyak terjadi.

"Dan adalah ketetapan Allah pasti terjadi. "

Perkara yang telah terjadi ini bersumber dari apa yang telah ditakdirkan dan telah dipastikan oleh Allah, maka tidak dapat dielakkan lagi dan tidak ada yang dapat menghalanginya.

Sebahagian dari orang-orang munafik menyangka bahawa martabat Nabi s.a.w. menjadi berkurang kerana mengahwini bekas isteri anak angkatnya.

"38. Tidak ada atas nabi dari keberatan tentang apa yang Allah tetapkan baginya." 

Iaitu tentang apa yang dihalalkan baginya dan apa yang diperintahkanNya, iaitu mengahwini Zainab r.a. yang telah diceraikan oleh anak angkat beliau sendiri (Zaid ibnu Harisah r.a.) Ayat ini merupakan bantahan terhadap kritikan yang ditujukan kepada Rasulullah s.a.w. kerana banyak isterinya, dan bahawa kritikan itu adalah kritikan yang tidak pada tempatnya. Allah s.w.t. telah menetapkan beberapa isteri untuk Beliau s.a.w.

"Peraturan Allah pada orang-orang yang berlalu sebelumnya." 

Allah telah menetapkan yang demikian itu sebagai sunnahNya atau hukumNya pada nabi-nabi terdahulu, di mana Allah s.w.t. telah menghalalkannya untuk mereka. Sunnatullah di sini bermaksud mengerjakan sesuatu yang dibolehkan Allah tanpa ragu-ragu. Allah tidak sekali-kali memerintahkan kepada mereka untuk melakukan sesuatu yang menyebabkan mereka berdosa kerananya.

"Dan adalah ketetapan Allah keputusan yang berlaku." 

Urusan yang telah ditetapkan dan dikehendaki oleh Allah s.w.t. itu pasti terjadi dan tidak akan dapat dielakkan lagi. Dan apa yang tidak dikehendakiNya pasti tidak akan terjadi.

"39. Orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah," 

Para rasul yang menyampaikan syariat-syariat Allah kepada manusia dan menunaikan semua yang dipercayakan kepada mereka. Mereka membacakan ayat-ayat dan hujjah-hujjahNya kepada manusia, dan mengajak mereka kepada Allah, mengerjakan semua perintahNya dan menjauhi laranganNya.

"dan mereka takut kepadaNya dan mereka tidak takut seorang pun kecuali Allah." 

Mereka tidak takut celotehan manusia dalam hal yang dihalalkan Allah s.w.t. kepada mereka. Maka tiada kekuasaan seorang pun yang dapat mencegah mereka dari menyampaikan risalah-risalah Allah s.w.t. Maka tidak ada celaan bagi Beliau s.a.w. kerana menikah termasuk sunnah para nabi dan rasul.

"Dan cukuplah dengan Allah perhitungan." 

Cukuplah Allah sebagai Penolong, Pembantu, Penjaga, Pengawas dan Penghisab amal makhlukNya. Penghulu manusia dalam menjalankan misi kedudukan ini, bahkan dalam semua kedudukan, adalah Muhammad s.a.w. 
Para nabi sebelumnya hanya diutus kepada kaumnya sahaja, sedangkan Beliau s.a.w. diutus untuk semua makhluk. Dia telah menunaikan risalah ini dan menyampaikannya. Allah telah memenangkan kalimahNya, agamaNya, dan syariatNya atas semua agama dan semua syariat.

Kemudian tugas penyampaiannya itu diwarisi oleh para sahabatnya radiyallahu 'anhum. Mereka telah menyampaikan darinya sebagaimana apa yang telah dia sampaikan kepada mereka dalam semua perkataan, perbuatan, dan tindakannya di malam dan siang harinya, dalam perjalanan dan di tempat kediamannya, dan secara sembunyi dan terang-terangan.

Kemudian sesudah mereka tugas ini diwarisi pula oleh pengganti mereka secara turun temurun hingga sekarang. Maka hanya orang-orang yang mendapat petunjuk dan taufik yang mengikuti jejak dan menempuh jalan mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jangan sekali-kali seseorang di antara kalian menghina dirinya sendiri bila ia melihat perintah Allah yang memerlukan pembelaannya, kemudian ia tidak membelanya. Maka Allah akan bertanya, "Apakah yang mencegahmu untuk tidak membelanya?” Lalu ia mengatakan, "Ya Tuhanku, aku takut kepada manusia.” Maka Allah akan berfirman, "Akulah seharusnya yang lebih ditakuti.”"

"40. Tidaklah Muhammad bapa seorang dari lelaki di antara kalian," 

Nabi Muhammad s.a.w. itu bukan bapa kandung Zaid bin Harisah r.a. sekalipun Nabi Saw. telah menjadikannya sebagai anak angkatnya. Kerana itu bekas isteri Zaid boleh dikahwini Rasulullah s.a.w. Sesudah itu dilarang menyebutkan Zaid anak Muhammad.

Nabi s.a.w. mempunyai tiga orang putera dari Siti Khadijah r.a., iaitu Qasim, Tayyib, dan Tahir. Semuanya wafat ketika masih kecil. Beliau s.a.w. mempunyai putera dari Mariyah Al Qibtiyyah, iaitu Ibrahim yang wafat ketika dalam usia penyusuan.

Nabi s.a.w. mempunyai empat orang anak perempuan dari Siti Khadijah r.a., iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalsum, dan Fatimah r.a. Tiga orang puterinya telah wafat di masa Beliau s.a.w. masih hidup. Sedangkan Fatimah r.a. adalah yang terakhir hingga ia merasa kehilangan Nabi s.a.w. saat beliau wafat. Enam bulan kemudian Fatimah r.a. juga wafat.

"akan tetapi utusan Allah" 

Kedudukan Beliau s.a.w. adalah Rasul Allah. Oleh itu kita wajib menaati perintahnya, menjauhi larangannya, membenarkan setiap sabdanya dan beribadah kepada Allah sesuai sunnahnya, serta mencintainya.

"dan penutup para nabi." 

Nabi Muhammad s.a.w. telah dicatat di sisi Allah sebagai penutup para nabi, sedangkan Adam a.s. benar-benar masih berbentuk tanah liat.

Allah mengutus Muhammad s.a.w. sebagai rahmatNya kepada hamba-hambaNya. Kemudian Dia menutup para nabi dan para rasul dengan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penghormatan dariNya kepada mereka. Dan Allah telah menyempurnakan agamaNya yang hanif melalui Nabi Muhammad s.a.w.

Perumpamaan Rasulullah s.a.w. dan para nabi lainnya seperti seseorang yang membangun sebuah binaan, dia menyempurnakan bangunannya kecuali suatu bahagian. Maka Beliau s.a.w. datang, lalu menyempurnakan bahagian itu.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada kenabian sesudahku, kecuali hanya mubasysyirat.” Ketika ditanyakan "Apakah mubasysyirat itu (berita-berita yang menggembirakan).” Rasulullah s.a.w. menjawab, "Mimpi yang baik, " atau, "Mimpi yang soleh.”

Barang siapa yang mengaku-ngaku dirinya nabi ini sesudah Nabi s.a.w. tiada, maka dia adalah seorang pendusta, pembual, pemalsu, sesat dan menyesatkan menurut orang-orang yang berakal. Sekalipun ia dapat mengeluarkan berbagai macam perkara yang bertentangan dengan hukum alam, sihir atau silap mata.

Namun ada juga yang mengaku nabi sampai hari kiamat, hingga orang terakhir mereka, iaitu Al Masihud Dajjal. Mereka itu datang dengan berbagai macam perkara yang diciptakan oleh Allah untuknya, semuanya telah diketahui oleh para ulama dan orang-orang mukmin, bahawa orang yang mendatangkan hal seperti itu adalah pendusta.

"Dan Allah dengan segala sesuatu Maha Mengetahui." 

Ilmu Allah meliputi segala sesuatu, Dia lebih mengetahui kepada siapa Dia menempatkan kurniaNya, risalahNya dan tugas kerasulan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...