Isnin, 19 September 2016

9:107-110 Tafsir Surah At Taubah, ayat 107-110.

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلا الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ (١٠٧) لا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ (١٠٨) أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى تَقْوَى مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (١٠٩) لا يَزَالُ بُنْيَانُهُمُ الَّذِي بَنَوْا رِيبَةً فِي قُلُوبِهِمْ إِلا أَنْ تَقَطَّعَ قُلُوبُهُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (١١٠)

Allah s.w.t. berfirman,

"107. Dan orang-orang yang menjadikan masjid menimbulkan bencana," 

Mereka adalah orang-orang munafik yang mendirikan masjid untuk memerangi orang-orang yang beriman. Jumlah mereka ada dua belas orang.

"dan kekafiran" 

Mereka membangunnya atas perintah seorang kafir agar menjadi bentengnya, di mana orang-orang yang datang dari sisinya singgah di situ.

"dan untuk memecah belah antara orang-orang yang beriman," 

Sebahagiannya ada yang solat di Quba’, dan sebahagian lagi ada yang solat di masjid mereka, kerana masjidnya berdekatan.

"dan untuk menunggu kepada orang yang memerangi Allah dan RasulNya sebelumnya." 

Sebelum kedatangan Nabi s.a.w. di Madinah terdapat seorang pendeta Nasrani dari kalangan kabilah Khazraj yang dikenal dengan nama Abu Amir Ar Rahib. Ia seorang fasik yang digelar "si Rahib la'natullah".

Sejak masa Jahiliah dia telah masuk agama Nasrani dan telah membaca ilmu ahli kitab. Ia melakukan ibadahnya di masa Jahiliah, dan ia mempunyai kedudukan yang sangat terhormat di kalangan kabilah Khazraj.

Ketika Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah untuk berhijrah, lalu orang-orang muslim berkumpul bersamanya, dan kalimah Islam menjadi tinggi serta Allah memenangkannya dalam Perang Badar, maka Abu Amir ini mulai terbakar dan bersikap menentang serta memusuhi Beliau secara terang-terangan.

Rasulullah s.a.w. telah menyerunya untuk menyembah Allah dan membacakan Al Qur'an kepadanya, tetapi ia tetap tidak mahu masuk Islam, dan membangkang. Maka Rasulullah s.a.w. mendoakan kecelakaannya, semoga dia mati dalam keadaan jauh dari tempat tinggalnya dan terusir.

Ia melarikan diri bergabung dengan kaum musyrik Quraisy di Mekah dan menghasut mereka untuk memerangi Rasulullah s.a.w. Maka bergabunglah juga bersamanya orang-orang dari kalangan Arab Badui yang setuju dengan pendapatnya.

Lalu mereka datang pada tahun terjadinya Perang Uhud. Maka terjadilah suatu cobaan yang menimpa kaum muslim dalam perang itu. Tetapi akibat yang terpuji hanyalah bagi orang-orang yang bertakwa.

Abu Amir telah membuat lubang-lubang di antara kedua barisan pasukan, dan Rasulullah s.a.w. terjatuh ke dalam salah satunya. Dalam perang itu Rasulullah s.a.w. mengalami luka pada wajahnya, gigi geraham bahagian bawah kanannya ada yang luruh, dan kepalanya luka.

Pada permulaan perang, Abu Amir maju menghadapi kaumnya yang tergabung ke dalam barisan orang-orang Ansar, lalu ia berkhutbah kepada mereka, membujuk mereka untuk membantunya dan bergabung ke dalam barisannya.

Setelah menyelesaikan pidatonya itu, orang ramai mengatakan, "Semoga Allah tidak memberikan ketenangan pada matamu, hai orang fasik, hai musuh Allah."

Mereka melempari dan mencacinya. Akhirnya Abu Amir kembali seraya berkata, "Demi Allah, sesungguhnya kaumku telah tertimpa keburukan sepeninggalanku."

Kejadian itu terjadi ketika kaum muslim selesai dari Perang Uhudnya dan Abu Amir melihat perkara Rasulullah s.a.w. makin bertambah tinggi dan makin muncul.

Maka Abu Amir pergi menemui Heraklius (Raja Romawi) untuk meminta bantuan bala tentera kepadanya. Kaisar Romawi memberikan janji dan harapan kepadanya, lalu ia bermukim di kerajaan Romawi.

Sesudah itu Abu Amir menulis surat kepada segolongan kaumnya dari kalangan Ansar yang tergabung dalam golongan orang-orang munafik lagi masih ragu kepada Islam. Dia menjanjikan dan memberikan harapan kepada mereka, bahawa kelak dia akan datang kepada mereka dengan membawa pasukan Romawi untuk memerangi, mengalahkan, menghentikan dan mengusir Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya dari Madinah.

Lalu Abu Amir menganjurkan orang-orangnya untuk membuat suatu benteng yang kelak akan dipakai untuk berlindung bagi orang-orang yang datang kepada mereka dari sisinya untuk menunaikan ajaran kitabnya. Tempat itu sekaligus akan menjadi tempat pengintaian baginya kelak di masa depan bila ia datang kepada mereka.

Abu Amir memerintahkan mereka agar membangunkan sebuah masjid, dan membuat persiapan semampu mereka untuk menghimpun senjata dan kekuatan.

Maka orang-orang Abu Amir mula membangun dan mengukuhkan sebuah masjid yang dinamakan Masjid Dirar, yang letaknya berdekatan dengan Masjid Quba. Mereka baru selesai dari pembangunan masjidnya di saat Rasulullah s.a.w. hendak pergi ke medan Tabuk.

Rasulullah s.a.w. turun istirehat di Zu Awan, nama sebuah kampung yang jaraknya setengah hari dari Madinah. Para pembangun Masjid Dirar datang kepada Rasulullah s.a.w. yang saat itu sedang bersiap-siap menuju ke medan Tabuk.

Maka menghadaplah mereka memohon kepada Nabi s.a.w. agar sudi melakukan solat di masjid mereka dan mendoakan keberkatan buat mereka. Tujuan mereka untuk memperoleh bukti melalui solat Nabi s.a.w. di dalamnya, sehingga kedudukan masjid itu diakui dan dikuatkan.

"Dan sungguh mereka bersumpah, "Kami tidak menghendaki kecuali kebaikan.""

Mereka mengemukakan alasannya, bahawa sesungguhnya mereka membangun masjid Dirar itu kerana kasihan terhadap orang-orang yang lemah, uzur, miskin dan berhalangan agar mereka tidak kehujanan atau kepanasan, dan untuk melapangkan kaum muslimin.

"Dan Allah menjadi saksi bahawasanya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta."

Allah menyaksikan pendustaan mereka dan persaksian Allah lebih benar daripada sumpah mereka. Mereka dusta dalam tujuannya dan mengelabui niat yang sebenarnya.

Maka Rasulullah s.a.w. menjawab bahawa Beliau sedang dalam perjalanan dan dalam keadaan sibuk. Beliau s.a.w. akan datang kepada mereka dan melakukan solat padanya untuk memenuhi undangan mereka jika Beliau kembali, dengan izin Allah. Tetapi Allah s.w.t. memelihara Nabi s.a.w. dari melakukan solat di dalam masjid itu.

Kemudian Rasulullah s.a.w. kembali ke Madinah dari medan Tabuk. Ketika Beliau s.a.w. sampai di Zu Awan, Malaikat Jibril a.s. turun dengan membawa berita tentang Masjid Dirar dan niat para pembangunnya.

"108. Janganlah kamu melaksanakan solat di dalamnya selamanya." 

Larangan ini ditujukan kepada Nabi s.a.w., sedangkan umatnya mengikut kepada beliau dalam hal tersebut, iaitu dilarang melakukan solat di dalam Masjid Dirar yang dibangun untuk menimbulkan bencana itu untuk selama-lamanya. Sesungguhnya Allah tidak perlu kepadanya dan kamu tidak memerlukannya.

"Sungguh, masjid didirikan atas dasar takwa dari pertama hari lebih berhak kamu melaksanakan solat di dalamnya." 

Masjid yang dimaksudkan adalah Masjid Quba. Ia dibina pada hari pertama Rasulullah s.a.w. menempati Darul Hijrah (Madinah). Sejak permulaan pembangunannya dilandasi dengan takwa, iaitu taat kepada Allah dan taat kepada RasulNya; juga untuk mempersatukan kalimat umat mukmin serta menjadi benteng dan tempat berlindung bagi Islam dan para pemeluknya.

Rasulullah s.a.w. membangun dan meletakkan batu pertamanya. Malaikat Jibril a.s. membantunya untuk meluruskan arah kiblat masjid tersebut. Sementara siap masjid itu Beliau s.a.w. beristirehat di rumah Bani Amr ibnu Auf.

Ketaatan juga mempengaruhi tempat sebagaimana pada masjid Quba’. Oleh kerana itu, masjid Quba’ memiliki kelebihan di atas masjid yang lain sehingga Rasulullah s.a.w. sering mengunjungi masjid Quba’ setiap hari Sabtu baik dengan berjalan kaki ataupun berkenderaan untuk solat di situ, dan Beliau s.a.w. mendorong untuk melakukan solat di sana.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Melakukan solat di dalam masjid Quba sama pahalanya dengan melakukan umrah."

Masjid Quba dimuliakan kerana didirikan dengan landasan takwa sejak permulaannya. Begitu juga masjid Rasul yang dibangun langsung oleh Nabi s.a.w., iaitu masjid Nabawi, bahkan lebih utama.

Kerana itu disunatkan melakukan solat di masjid-masjid kuno yang sejak permulaannya dibangun untuk beribadah kepada Allah semata, tidak ada sekutu bagiNya.

"Di dalamnya para lelaki mereka menyukai untuk membersihkan diri." 

Mereka adalah orang-orang Ansar. Mereka ingin membersihkan diri baik dari dosa yang menodai batin, maupun dari najis dan hadas yang menodai lahiriah mereka.

Disunatkan melakukan solat berjamaah dengan jamaah orang-orang soleh dan ahli ibadah yang mengamalkan ilmunya, selalu memelihara dalam menyempurnakan wudu, dan membersihkan dirinya dari segala macam kotoran.

"Dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri."

Baik bersih maknawi, iaitu bersih dari syirik dan akhlak tercela, maupun bersih hissiy, iaitu bersih dari najis dan hadas.

Allah s.w.t. memuji penduduk Quba dalam hal bersuci. Maka Nabi s.a.w. bertanya kepada mereka bagaimana cara mereka bersuci. Mereka menjawab bahawa mereka sebenarnya tidak mengetahui apa-apa. Hanya saja mereka berjiran dengan orang-orang Yahudi yang biasa membasuh kemaluan atau dubur mereka dengan mengiringi batu dengan siraman air setelah buang air. Mereka menjumpainya telah tercatat di dalam kitab Taurat sebagai suatu kewajiban, bahawa bersuci sehabis buang air adalah memakai air. Maka mereka pun melakukan hal yang sama.

Bersuci atau berwudu dengan sempurna dapat membantu dan memudahkan seseorang atau jamaah dalam menjalankan dan menyelesaikan kewajiban-kewajibannya dalam ibadahnya dengan sempurna.

Rasulullah s.a.w. melakukan solat Subuh bersama para sahabat dan membaca surat Ar Rum, tetapi beliau mengalami gangguan dalam bacaannya. Setelah selesai, beliau s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya kami baru saja mengalami gangguan dalam membaca Al Qur’an. Sesungguhnya banyak kaum dari kalangan kalian yang solat bersama kami tanpa melakukan wudu dengan baik. Maka barang siapa yang ikut solat bersama kami, hendaklah ia melakukan wudunya dengan baik."

Sesungguhnya bersuci dengan memakai air adalah baik, tetapi mereka adalah orang-orang yang membersihkan dirinya dari dosa-dosa. Taubat adalah dari dosa-dosa, dan bersuci adalah dari kemusyrikan.

"109. Maka apakah orang-orang yang mendirikan bangunannya atas dasar takwa dari Allah dan keridhaan lebih baik, ataukah orang yang mendirikan bangunannya di atas pinggir jurang yang runtuh, maka runtuh dengannya dalam neraka Jahannam?"

Setiap perbuatan, jika di dalamnya terdapat hal yang membahayakan seorang muslim, atau di dalamnya terdapat maksiat kepada Allah, atau memecah belah kaum mukmin, atau membantu musuh Allah dan RasulNya, maka perbuatan iu haram dilakukan.

Amalan yang dibangun atas dasar ikhlas dan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. itulah amal yang dibangun atas dasar takwa, sedangkan amalan yang dibangun dengan niat yang buruk dan tidak mengikuti sunnah (di atas bid’ah) merupakan amal yang dibangun di atas tepi jurang yang hampir roboh.

"Dan Allah tidak memberi petunjuk kaum orang-orang yang zalim."

Maka Rasulullah s.a.w. mengutus Malik ibnud Dukhsyum dan Ma'an ibnu Addi atau saudara lelakinya, Amir ibnu Addi ke Masjid Dirar itu untuk merobohkan dan membakarnya sebelum Beliau tiba di Madinah.

"110. Senantiasa bangunan mereka yang mereka bangun atas keraguan dalam hati mereka," 

Ia menjadi penyebab keraguan dan menambah kemunafikan dalam hati mereka disebabkan kebiadapan mereka yang berani melakukan perbuatan jahat itu.

"kecuali telah hancur hati mereka." 

Iaitu sampai mereka mati. Boleh juga maksudnya bahawa bangunan yang mereka bangun itu menjadi sebab keraguan dalam hati mereka, kecuali jika mereka menyesal dengan penyesalan yang dalam seakan-akan hati mereka tersayat-sayat, bertaubat kepada Tuhannya, dan takut kepadaNya dengan sesungguhnya, maka Allah akan memaafkan mereka. Jika mereka tidak bertaubat, maka yang mereka bangun akan terus menambah keraguan dan kemunafikan di hati mereka.

"Dan Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana." 

Dia Maha Mengetahui semua amal perbuatan makhlukNya. Dia Maha Bijaksana dalam memberikan balasan terhadap perbuatan mereka, yang baik ataupun yang buruk. Dia tidaklah berbuat, mencipta, memerintah, dan melarang kecuali sesuai hikmahNya.

Akhirnya Abu 'Amir tidak jadi datang ke Madinah kerana dia mati di Syria.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...