Khamis, 13 Oktober 2016

18:109-110 Tafsir Surah Al Kahfi, ayat 109-110.

قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا (١٠٩) قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا (١١٠)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w., hendaknyalah Beliau menerangkan kepada manusia tentang keagungan Allah, keluasan sifatNya dan bahawa manusia tidak mampu mencapainya.

"109. Katakanlah, "Kalaulah menjadi laut tinta untuk kalimat-kalimat Tuhanku, tentu habis laut sebelum bahawa habis kalimat-kalimat Tuhanku, walaupun Kami datangkan dengan semisalnya tinta.""

Seandainya semua lautan yang ada menjadi tinta dan semua pepohonan yang ada menjadi penanya, kemudian ditambahkan lagi hal yang sama untuk menulis kalimat-kalimat Allah, sifat-sifatNya, ilmuNya, hikmah-hikmahNya, qudrat(kekuasaan)Nya dan rahmatNya, tentulah semua pena patah dan lautan itu menjadi kering sebelum penulisannya selesai; sedangkan kalimat-kalimat Allah masih tetap utuh, tiada yang dapat menghabiskannya.

Semua yang disebutkan itu makhluk, sedangkan makhluk ada habisnya. Firman Allah adalah termasuk sifatNya, sedangkan sifatNya bukan makhluk dan tidak ada batasnya. Keluasan dan kebesaran apa saja yang dibayangkan hati. Maka Allah s.w.t. lebih dari itu.

Jika dikumpulkan pengetahuan makhluk terdahulu sehingga yang datang kemudian, baik yang terdiri dari penghuni langit maupun penghuni bumi, lalu dihubungkan kepada ilmu Allah, tentu lebih sedikit daripada air yang diteguk oleh seekor burung dengan paruhnya ke tengah-tengah lautan.

Seseorang tidaklah mampu memberikan penghormatan kepadaNya dengan penghormatan yang semestinya, dan tiada seorang pun yang dapat memujiNya dengan pujian Allah terhadap diriNya sendiri.

Allah adalah seperti apa yang dikatakanNya, tetapi di atas segala sesuatu yang kita katakan.

Sesungguhnya perumpamaan kenikmatan dunia dari awal hingga akhir di dalam nikmat ukhrawi sama dengan perumpamaan sebiji sawi di dalam besarnya dunia ini secara keseluruhan.

Yang demikian adalah kerana Allah s.w.t. memiliki sifat-sifat yang agung lagi luas, dan kepadaNya kembali semua kesudahan.

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya menerangkan kepada orang-orang musyrik yang mendustakan kerasulannya.

"110. Katakanlah, "Sungguh hanyalah aku manusia seperti kalian,""

Aku bukanlah tuhan, dan tidak bersekutu dalam kerajaanNya.Tidak ada pada sisiku perbendaharaan-perbendaharaan Allah. Aku hanya hamba Allah.

"diwahyukan kepadaku," 

Aku dilebihkan di atas kalian dengan mendapat wahyu. Sesungguhnya aku tidak mengetahui hal yang ghaib tentang berita masa silam yang kusampaikan kepada kalian berdasarkan permintaan kalian, seperti kisah tentang para pemuda penghuni gua, Musa a.s. dan Khidir a.s., pemilik dua kebun dan kisah Zulqarnain itu.

Kisah tersebut sama dengan kejadian yang sebenarnya. Seandainya bukan kerana Allah yang telah memberitahukannya kepadaku, tentulah aku tidak mengetahuinya. Maka barang siapa menyangka bahawa aku ini dusta, datangkanlah hal yang serupa dengan apa yang aku sampaikan ini.

"sungguh hanyalah Tuhan kalian Tuhan Yang Satu." 

Sesungguhnya Tuhan kalian itu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Tuhan yang aku seru kalian untuk menyembahNya itu tidak ada sekutu bagiNya. Tidak ada yang berhak disembah dan ditujukan berbagai ibadah kecuali Dia.

Ada seorang lelaki bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mengerjakan banyak amal perbuatan kerana menginginkan pahala Allah, tetapi aku juga suka bila amal perbuatanku dilihat oleh orang ramai." Rasulullah s.a.w. tidak menjawab sepatah kata pun kepadanya, hingga turunlah ayat ini, iaitu firman Allah s.w.t.,

"Maka barang siapa dia mereka mengharapkan pertemuan Tuhannya," 

Barang siapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya, iaitu mereka yang ingin mendapat pahala dan balasan kebaikanNya.

"maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh" 

Aku mengajak kamu untuk mengerjakan amal yang dapat mendekatkan dirimu kepadaNya, mendapatkan pahalaNya dan dijauhkan dari siksaNya, iaitu dengan mengerjakan segala amal yang soleh, sesuai syari’at Allah, baik yang wajib maupun yang sunat dan tidak berbuat syirik di dalamnya.

"dan dia tidak menyekutukan dalam beribadah Tuhannya seseorang pun."

Janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya. Syarat diterimanya amal adalah ikhlas semata-mata hanya kerana Allah dan mutaba’ah (sesuai dengan syariat yang diterangkan Rasulullah s.a.w. dan sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w.). Keduanya ibarat sayap burung, jika salah satunya tidak ada, maka burung tidak dapat terbang.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hal yang paling aku khuatirkan akan menimpa kalian ialah syahwat dan syirik yang tersembunyi."

Syahwat tersembunyi adalah syahwat duniawi, termasuk birahi kepada wanita dan ketamakan untuk memiliki dunia. Juga bila seseorang berpuasa pada pagi harinya, lalu timbullah sesuatu dalam dirinya, maka ia meninggalkan puasanya dan mengerjakan apa yang diinginkan oleh syahwatnya.

Sesungguhnya syirik tersembunyi ini lebih bahaya daripada Al Masih Dajjal. Syirik tersembunyi adalah seseorang yang mengerjakan ibadahnya seperti solat, puasa, haji, bersedekah dan sebagainya kerana mengharapkan pahala Allah, tetapi ia suka dan ingin dipuji orang lain. Sebenarnya ibadahnya adalah kerana manusia, pamer (menunjuk-nunjuk), ingin dilihat dan dipuji orang lain. Maka sesungguhnya dia telah musyrik.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang mengerjakan solatnya dengan baik kerana dilihat orang lain, dan mengerjakannya dengan buruk bila sendirian, maka hal ini merupakan suatu penghinaan yang dia lakukan terhadap Tuhannya melalui solatnya itu."

Barang siapa yang pamer, maka Allah akan memamerkan amalnya; dan barang siapa yang ingin amalnya didengar oleh orang lain, maka Allah menjadikan terkenal di kalangan semua makhlukNya, lalu Allah mengecilkan dan menghinakannya.

Pada hari kiamat, Allah menghimpunkan orang-orang yang terdahulu dan yang terkemudian. Amal-amal perbuatan Bani Adam yang terhimpun di dalam buku-buku catatan amal dihadapkan kepada Allah s.w.t. Dia memerintahkan malaikat supaya menerima amal perbuatan yang dilakukan kerana mengharapkan ridhaNya, dan Dia memerintahkan malaikat supaya melemparkan amal perbuatan yang diniatkan untuk mendapat ridha selainNya.

Maka amalnya itu, baik sedikit maupun banyak diberikan kepada yang dia persekutukan dengan Allah, iaitu orang yang dipamerkan ibadahnya. Allah berlepas diri darinya. Allah tidak memerlukan amalnya yang dihasilkan dari kemusyrikan. Maka ia tidak mendapat apa-apa.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya hal yang sangat aku khuatirkan akan menimpa kalian ialah syirik kecil.” Mereka bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah syirik kecil itu?” Rasul s.a.w. menjawab, "Riya (pamer), kelak di hari kiamat Allah akan berfirman saat memberikan pahala amal perbuatan manusia, "Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian pamer kepadanya saat di dunia, dan lihatlah oleh kalian apakah kalian menjumpai adanya pahala balasan (amal kalian) pada mereka.”

Maka dia akan rugi di dunia dan akhirat, tidak memperoleh kedekatan dengan Tuhannya dan tidak mendapat ridhaNya.

Selesai tafsir surah Al Kahfi dengan pertolongan Allah dan taufikNya, walhamdulillahi Rabbil 'aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...