Sabtu, 15 Oktober 2016

25:45-52 Tafsir Surah Al Furqan, ayat 45-50.

أَلَمْ تَرَ إِلَى رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَوْ شَاءَ لَجَعَلَهُ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا الشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلا (٤٥) ثُمَّ قَبَضْنَاهُ إِلَيْنَا قَبْضًا يَسِيرًا (٤٦) وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ لِبَاسًا وَالنَّوْمَ سُبَاتًا وَجَعَلَ النَّهَارَ نُشُورًا (٤٧)وَهُوَ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا (٤٨) لِنُحْيِيَ بِهِ بَلْدَةً مَيْتًا وَنُسْقِيَهُ مِمَّا خَلَقْنَا أَنْعَامًا وَأَنَاسِيَّ كَثِيرًا (٤٩) وَلَقَدْ صَرَّفْنَاهُ بَيْنَهُمْ لِيَذَّكَّرُوا فَأَبَى أَكْثَرُ النَّاسِ إِلا كُفُورًا (٥٠) وَلَوْ شِئْنَا لَبَعَثْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ نَذِيرًا (٥١) فَلا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا (٥٢)

Allah s.w.t. berfirman menerangkan ciptaan dan nikmat-nikmatNya,

"45. Tidakkah kamu perhatikan kepada Tuhanmu, bagaimana Dia panjangkan bayang-bayang;"

Perhatikanlah dengan penglihatanmu dan mata hatimu sempurnanya kekuasaan Allah dan luasnya rahmatNya dengan penciptaanNya. Dia memanjangkan bayang-bayang semasa terbitnya fajar sehingga terbitnya matahari.

"dan jika Dia menghendaki, nescaya Dia menjadikannya tetap diam,"

Sekiranya Allah menghendaki nescaya Dia jadikan bayang-bayang itu tetap dan tidak hilang.

"kemudian Kami jadikan matahari atasnya petunjuk." 

Sesungguhnya sesuatu itu dikenal melalui lawannya. Bayang-bayang terjadi kerana matahari terbit di atasnya, menjadi petunjuk yang mengiringi dan mengikutinya hingga sinar matahari berada di atasnya.

"46. Kemudian Kami menarik kepada Kami tarikan yang mudah." 

Yasiran bermaksud perlahan-lahan, sedikit demi sedikit dan tersembunyi. Matahari menyinari semua yang ada di atas bumi. Allah hapuskan bayang-bayang itu beransur-ansur sesuai dengan naiknya matahari sehingga hilang. Tiada bayangan lagi di muka bumi kecuali di bawah atap atau di bawah pohon.

"47. Dan Dia yang menjadikan bagi kalian malam sebagai pakaian," 

Allah menjadikan malam sebagai pakaian untuk manusia. Pakaian bermaksud kegelapa malam menyembunyikan wujud dan menutupi seluruh makhlukNya dan cahaya siang.

"dan tidur untuk istirahat," 

Sesungguhnya semua anggota tubuh dan panca indra mengalami keletihan akibat banyak bergerak dalam melakukan aktiviti di siang hari mencari penghidupan.

Apabila tiba malam hari, suasana menjadi tenang. Maka semua gerakan juga menjadi tenang dan beristirehat, lalu datanglah rasa mengantuk, kemudian tertidur. Terhentilah semua gerakan. Tidur merupakan istirehat bagi tubuh dan roh sekaligus, agar menjadi segar kembali.

Jika tidak ada malam tentu manusia tidak dapat merasakan ketenangan dan tentu mereka akan terus berjaga sehingga fizikal mereka sakit. Jika malam terus menerus, tentu mereka akan kesulitan mencari penghidupan.

"dan Dia menjadikan siang untuk bangun." 

Dengan rahmat Allah, Dia adakan siang untuk bangkit mencari sebahagian dari kurniaNya, berusaha, bekerja, mencari rezeki dan sebagainya, sehingga banyak maslahat yang dapat tegak.

"48. Dan Dia yang mengirimkan angin khabar gembira di hadapan rahmatNya"

Allah meniupkan angin sebagai tanda akan datangnya awan yang membawa hujan dan agar mereka mempersiapkan diri mencari tempat berteduh.

"dan Kami turunkan dari langit air yang suci." 

Allah menurunkan air hujan dalam keadaan suci lagi menyucikan, tiada sesuatu pun yang membuatnya najis. Ia boleh digunakan untuk membersihkan diri dari hadas dan kotoran (najis).

"49. Untuk Kami hidupkan dengannya negeri yang mati," 

Negeri yang mati bermaksud tanah tandus yang telah lama menunggu kedatangan hujan, sedangkan ia dalam keadaan kering, tiada tumbuhan padanya dan tiada suatu pohon pun.

Kemudian Allah menurunkannya kepadanya kehidupan iaitu air hujan yang mengandungi suatu berkahNya. Maka ia menjadi hidup dan dan subur, lalu tumbuhlah berbagai macam tumbuhan dan pepohonan yang kemudian dimakan manusia dan haiwan ternak.

"dan Kami beri minum dengannya dari apa yang Kami telah ciptakan, binatang ternak dan manusia yang banyak." 

Semua makhluk hidup baik manusia maupun haiwan sangat memerlukannya sebagai minuman mereka, juga mengairi tanaman dan pohon berbuah mereka.

"50. Dan sungguh, Kami telah mempergilirkannya di antara mereka" 

Allah lah yang mempergilirkannya menurut apa yang dikehendakiNya. Dia turunkan hujan di suatu kawasan, sedangkan di lain kawasan tidak diturunkan hujan. Dia tiupkan awan melintasi suatu kawasan dan melampauinya menuju ke kawasan yang lain, lalu kawasan itu diberi hujan yang cukup sehingga menjadi subur, sedangkan kawasan yang sesudahnya tidak mendapat hujan barang setitis pun.

Terdapat suatu tahun yang diturunkan hujan dengan banyak. Terdapat juga tahun yang kurang diturunkan hujan. Allah sengaja melakukan demikian kerana alasan dan hikmahNya. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

"agar mereka mengambil pelajaran;"

Bumi yang dihidupkan oleh Allah s.w.t. sesudah matinya melalui air hujan membuktikan bahawa Allah Mahakuasa untuk menghidupkan orang-orang mati dan tulang-belulang yang telah hancur.

Orang-orang yang tidak mendapat hujan akan beringat bahawa mereka mengalami musim kering atau kemarau adalah kerana suatu dosa yang dilakukan mereka. Kerana itu, mereka sedar dan menghentikan perbuatan dosanya.

Allah s.w.t. menyebutkan nikmat-nikmatNya kepada manusia agar manusia mengenalinya, bersyukur dan mengingatNya. Semua yang disebutkan terdapat dalil-dalil bahawa Allah Pemilik kebesaran dan kemuliaan. Sempurna kemampuanNya, kekuasaanNya, kebesaranNya, keagunganNya, rahmatNya dan perhatianNya kepada hamba-hambaNya.

Dialah yang menciptakan segala sesuatu yang berbagai macam lagi berkaitan itu. Maka Dialah yang berhak untuk diibadahi, mendapat seluruh pujian, dicintai, diagungkan dan tidak disekutukan.

"maka enggan kebanyakan manusia, kecuali ingkar." 

Kenyataannya, kebanyakan manusia enggan bersyukur. Sebaliknya mereka mengingkari nikmatNya kerana sudah rosaknya akhlak dan tabi’at mereka.

Rasulullah s.a.w. di suatu hari bersabda kepada para sahabatnya sehabis hujan di malam harinya, "Tahukah kalian apa yang dikatakan oleh Tuhan Kalian?” Mereka menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Nabi s.a.w. bersabda, "Sebahagian di antara hamba-hambaKu pagi hari ini ada yang beriman kepadaKu dan ada yang kafir. Adapun orang yang mengatakan, "Kami diberi hujan berkat kemurahan dan rahmat Allah," maka dia adalah orang yang beriman kepadaKu dan kafir kepada bintang-bintang. Adapun orang yang mengatakan, "Kami diberi hujan oleh bintang ini dan itu," maka orang itu kafir kepadaKu dan percaya kepada bintang-bintang.”

Allah s.w.t. berfirman memberitahukan tentang berlakunya masyi’ah (kehendak)Nya,

"51. Dan jika Kami menghendaki, nescaya Kami utus pada tiap-tiap negeri seorang pemberi peringatan." 

Kalau Allah s.w.t. menghendaki, Dia akan utus seorang rasul pada setiap negeri untuk menyeru supaya menyembahNya. Dahulu para nabi diutus khusus hanya kepada kaumnya masing-masing saja.

Hikmah dan rahmatNya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan kepada manusia menghendaki untuk mengangkat Beliau secara khusus sebagai rasul untuk seluruh penduduk bumi dan agar pahala Beliau semakin besar.

Allah s.w.t. perintahkan Beliau s.a.w. untuk memberi peringatan dan menyampaikan Al Qur'an kepada mereka. Barang siapa di antara manusia yang kafir kepada Al Qur’an, maka nerakalah tempat yang diancamkan baginya.

"52. Maka janganlah kamu patuhi orang-orang kafir," 

Janganlah engkau menurut keinginan orang-orang kafir. Mereka ingin agar engkau meninggalkan tugasmu.

"dan berjihadlah terhadap mereka dengannya jihad yang besar." 

Berjuanglah terhadap mereka dengan ilmu iaitu Al Qur’an dengan semangat perjuangan yang besar. Jika engkau melihat di antara mereka bersikap mendustakan dan berani terhadapmu, maka kerahkanlah kemampuanmu dan tidak berputus asa menunjuki mereka serta tidak meninggalkan dakwah kerana keinginan mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...