Selasa, 25 Oktober 2016

68:8-16 Tafsir Surah Al Qalam, ayat 8-16.

فَلا تُطِعِ الْمُكَذِّبِينَ (٨) وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ (٩) وَلا تُطِعْ كُلَّ حَلافٍ مَهِينٍ (١٠) هَمَّازٍ مَشَّاءٍ بِنَمِيمٍ (١١) مَنَّاعٍ لِلْخَيْرِ مُعْتَدٍ أَثِيمٍ (١٢) عُتُلٍّ بَعْدَ ذَلِكَ زَنِيمٍ (١٣) أَنْ كَانَ ذَا مَالٍ وَبَنِينَ (١٤)إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا قَالَ أَسَاطِيرُ الأوَّلِينَ (١٥) سَنَسِمُهُ عَلَى الْخُرْطُومِ (١٦)

Allah s.w.t. berfirman, bahawa sebagaimana Kami telah berikan nikmat kepadamu dan Kami berikan kepadamu syari'at yang lurus dan akhlak yang agung,

"8. Maka janganlah kamu menaati orang-orang yang mendustakan." 

"9. Mereka menginginkan agar kamu bersikap lunak, maka mereka akan bersikap lunak." 

Mereka menginginkan agar kamu berlembut dengan mereka dan mereka akan membalasnya dengan berlembut juga kepadamu.

Yakni agar kamu tunduk patuh kepada sembahan-sembahan mereka dan kamu tinggalkan perkara hak yang menjadi peganganmu.

"10. Dan janganlah kamu menaati setiap orang yang bersumpah yang hina." 

Seorang pendusta, mengingat kelemahan dan kehinaannya, dia hanya melindungi dirinya dengan sumpah-sumpah yang dusta yang justeru mengotori asma-asma Allah yang mereka gunakan.

Mereka dengan beraninya menggunakannya di setiap waktu dalam sumpah mereka yang bukan pada tempatnya. Makna al muhin ialah al kazib atau pendusta. Juga ertinya lemah hatinya. Makna ayat ialah setiap orang yang banyak mengucapkan sumpah sombong lagi lemah keyakinannya.

"11. Pencela," 

Yang banyak mencela, iaitu yang suka mengumpat.

"berjalan dengan fitnah." 

Iaitu orang yang berjalan di antara manusia kian kemari menghambur fitnah, mengadu domba dan menebarkan hasutan di tengah atau supaya orang-orang bermusuhan, membuat kerosakan di antara orang-orang yang menjalin kasih sayang lagi selalu mengharapkan terjadinya masalah di kalangan orang-orang yang tidak berdosa.

Perbuatan ini dinamakan dengan sebutan al haliqah, yakni yang mencukur habis amal kebaikan. Merekalah orang yang paling buruk di antara manusia. Mereka diazab di dalam kubur.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Tidak dapat masuk syurga orang yang banyak mengadu domba."

"12. Menghalangi kepada kebaikan, melampaui batas, dosa." 

Iaitu yang mampu berbuat baik, tetapi enggan melakukannya, lagi melampaui batas yang telah dihalalkan oleh Allah baginya dan menyimpang jauh dari batasan hukum syariat, lagi suka berbuat dosa, iaitu gemar mengerjakan hal-hal yang diharamkan.

"13. Kaku kasar, sesudah itu terkenal jahat." 

Al 'utullu bermaksud seseorang yang tubuhnya dianugerahi kesihatan oleh Allah, kaku kasar (buruk perangai), tamak, kikir, angkuh, sombong, lagi terkenal kejahatannya, sangat kuat dalam hal makan dan minum, perutnya dibesarkan, dan bersetubuh serta hal-hal lainnya, diberikan Allah s.w.t. harta benda sesuai dengan ketamakannya, tetapi dia suka berbuat aniaya terhadap orang lain.

Al 'utuluz zanim adalah orang yang kaku kasar (buruk perangai), banyak makan dan minumnya, lagi rakus dalam makan dan minum, dan banyak berbuat aniaya terhadap orang lain, serta berperut besar.

Zanim bermaksud orang yang mempunyai ciri (tanda) khusus yang dikenal melaluinya, seperti tanda yang ada pada kambing.

Mereka terkenal dengan kejahatannya yang membedakan mereka dengan orang mukmin.

Mereka adalah orang yang tercela yang mengaku berasal dari atau berketurunan suatu kaum, padahal bukan berasal darinya.

Ada yang mengatakan bahawa zanim adalah anak zina. Pada umumnya anak zina mudah dikuasai oleh syaitan dengan penguasaan yang jauh lebih kuat daripada terhadap selainnya. Tidak dapat masuk syurga anak zina kerana anak zina adalah orang ketiga yang terburuk bila ia melakukan perbuatan seperti kedua orang tuanya.

"14. Bahawa dia mempunyai harta dan anak-anak." 

"15. Apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata dongeng-dongeng terdahulu." 

Allah s.w.t. berfirman bahawa inilah balasan dari harta benda dan anak-anak yang telah diberikan oleh Allah kepadanya.

Nikmat Allah dia balas dengan kekafirannya terhadap ayat-ayat Allah; dia berpaling dari ayat-ayat Allah dan menuduhnya sebagai kedustaan yang diambil dari dongengan-dongengan orang-orang dahulu.

"16. Kelak Kami beri dia tanda belalai." 

Kami akan menerangkan perkaranya dengan keterangan yang jelas hingga mereka (semua makhluk) mengenalnya dan tiada yang tersembunyi dari mereka mengenai perkaranya, sebagaimana tidak dapat disembunyikan dari mereka tanda yang ada pada belalainya. Iaitu tanda keburukan yang dicapkan dihidungnya yang tidak dapat terhapuskan darinya selamanya.

Tanda ahli neraka iaitu wajahnya dihitamkan kelak di hari kiamat, dan pengertian wajah di sini diungkapkan dengan kata hidung (belalai). Tiada halangan bila semuanya itu terhimpunkan padanya, baik di dunia maupun di akhirat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...