Selasa, 25 Oktober 2016

59:1-5 Tafsir Surah Al Hasyr, ayat 1-5.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (١) هُوَ الَّذِي أَخْرَجَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِنْ دِيَارِهِمْ لأوَّلِ الْحَشْرِ مَا ظَنَنْتُمْ أَنْ يَخْرُجُوا وَظَنُّوا أَنَّهُمْ مَانِعَتُهُمْ حُصُونُهُمْ مِنَ اللَّهِ فَأَتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوا وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَ يُخْرِبُونَ بُيُوتَهُمْ بِأَيْدِيهِمْ وَأَيْدِي الْمُؤْمِنِينَ فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الأبْصَارِ (٢) وَلَوْلا أَنْ كَتَبَ اللَّهُ عَلَيْهِمُ الْجَلاءَ لَعَذَّبَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابُ النَّارِ (٣) ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ شَاقُّوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَمَنْ يُشَاقِّ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (٤) مَا قَطَعْتُمْ مِنْ لِينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَى أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّهِ وَلِيُخْزِيَ الْفَاسِقِينَ (٥)

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Bertasbih kepada Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi;"

Allah s.w.t. memulai surah ini dengan memberitahukan bahawa semua yang ada di langit dan di bumi bertasbih menyucikanNya, memujiNya, mengagungkanNya, membesarkanNya, menyembahNya dan mengesakanNya. Tetapi manusia tidak mengerti tasbih mereka.

"dan Dia Maha Perkasa Maha Bijaksana." 

Allah Mahaperkasa ZatNya. Dia menundukkan segala sesuatu sehingga tidak ada sesuatu pun yang menolaknya. Dia Mahabijaksana dalam ciptaanNya, takdirNya, perintahNya dan syariatNya.

Dia tidaklah menciptakan sesuatu main-main dan tidaklah mensyariatkan hal yang tidak ada maslahatnya dan tidaklah melakukan kecuali yang di sana sejalan dengan hikmahNya.

"2. Dialah Yang mengeluarkan orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dari rumah-rumah mereka" 

Perang Bani Nadhir terjadi enam bulan sesudah Perang Badar. Allah s.w.t. menolong RasulNya terhadap orang-orang kafir dari kalangan Ahli Kitab, iaitu sekelompok besar orang-orang Yahudi Bani Nadhir yang tinggal di pinggir Madinah.

Setelah Nabi s.a.w. diutus dan berhijrah ke Madinah, mereka kafir kepada Beliau s.a.w. bersama orang-orang Yahudi lainnya. Maka Beliau s.a.w. mengadakan perjanjian perdamaian dengan seluruh orang-orang Yahudi yang menjadi jirannya. Beliau s.a.w. memberikan janji dan jaminan kepada mereka bahawa Beliau tidak akan memerangi mereka dan mereka tidak boleh memerangi Beliau.

Mereka melanggar perjanjian dengan Rasulullah s.a.w. dengan merancang untuk membunuh Beliau s.a.w. Maka datanglah wahyu kepada Beliau s.a.w. dari Allah mengenai niat jahat mereka itu.

"pada awal pengusiran." 

Al jala bermaksud pembunuhan, pelenyapan, mengusir keluar manusia dari tanah mereka ke negeri lain. Nabi s.a.w. mengepung mereka (Bani Nadir) hingga keadaan mereka benar-benar sangat kritikal.

Nabi s.a.w. mengadakan perjanjian dengan mereka bahawa Beliau s.a.w. bersedia melindungi darah mereka, tetapi mereka mesti keluar dari Madinah.

Pengusiran tersebut adalah pengusiran pertama yang ditetapkan Allah s.w.t. untuk Bani Nadhir melalui tangan RasulNya Muhammad s.a.w. Sebahagian dari mereka menuju Khaibar dan sebahagian lagi ke Azri'at di negeri Syam.

"Kalian tidak menyangka, bahawa mereka keluar" 

Kaum mukmin tidak menyangka bahawa Bani Nadhir akan diusir kerana kuat lagi kukuhnya benteng-benteng pertahanan mereka dan terhormatnya mereka di sana. Mereka dikepung dan disekat selama enam hari.

"dan mereka mengira, bahawa mereka mencegah mereka benteng-benteng mereka dari Allah;" 

Bani Nadhir merasa ujub dengan benteng-benteng mereka, bahawa benteng tersebut tidak akan dapat ditembusi oleh seorang pun, padahal taqdir Allah di atas semua itu. Benteng, pertahanan dan kekuatan mereka tidak berguna sedikit pun bagi mereka di hadapan kekuasaanNya.

"maka Allah datangkan pada mereka dari arah yang tidak mereka sangka-sangka." 

Hukuman Allah datang menimpa mereka yang sebelumnya mereka tiada menyangka. Barang siapa yang percaya kepada selain Allah, maka dia akan ditelantarkan. Barang siapa yang cenderung kepada selain Allah, maka dia akan mendapatkan akibat yang buruk. Mereka ditimpa perkara dari langit yang menimpa hati mereka, di mana hati merupakan tempat teguh dan sabar atau lemah dan kendur.

"Dan Dia menanamkan dalam hati mereka ketakutan;" 

Allah s.w.t. menyingkirkan kekuatan mereka dan menggantikan dengan kelemahan dan ketakutan. Perasaan takut gentar, dan panik yang Allah tanamkan ke dalam hati mereka adalah tenteraNya yang paling besar. Tidak bermanfaat jumlah yang ramai dan perlengkapan bersamanya. Demikian itu merupakan pertolongan Allah kepada kaum muslimin.

"mereka meruntuhkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka dan tangan orang-orang yang beriman," 

Orang-orang Yahudi Bani Nadhir apabila naik ke suatu tempat atau terpukul mundur ke pintu atau rumah, maka mereka melubanginya dari belakang mereka, kemudian menjadikannya sebagai benteng tempat mereka berlindung dengan menutupnya kembali.

Apabila Rasulullah s.a.w. dapat menguasai suatu benteng atau rumah, maka tembok-temboknya dirobohkan agar tempat menjadi luas untuk kancah peperangan.

Rasulullah s.a.w. mengusir dan membenarkan mereka membawa apa saja yang mampu diangkut unta kecuali halqah (senjata). Nabi s.a.w. memberikan kepada setiap tiga orang dari mereka seekor unta dan bekal air minumnya.

Untuk itu mereka membongkar bahagian yang terbaik dari rumah mereka seperti atap dan pintu-pintu, untuk dibawa di atas unta kenderaan mereka. Mereka membakar semua barang di dalam rumah-rumah mereka yang tidak dapat mereka bawa. Mereka memberikan kekuasaan kepada orang-orang mukmin dengan merobohkan rumah dan benteng mereka.

"Maka ambillah pelajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan."

Orang-orang yang mempunyai pandangan yang dalam dan akal yang sempurna akan mengambil pelajaran dengannya dan nampak bagaimana tindakan Allah terhadap orang-orang yang menentang kebenaran dan mengikuti hawa nafsu. 

Keperkasaan mereka dan kekuatan benteng yang mereka buat tidak memberi manfaat apa-apa bagi mereka saat datang perkara Allah dan hukumanNya disebabkan dosa-dosa mereka.

Orang-orang Yahudi belum selesai mendapat semua hukuman. Allah s.w.t. hanya meringankan hal itu untuk mereka.

"3. Dan jika tidak bahawa Allah menetapkan atas mereka pengusiran, pasti Dia azab mereka di dunia." 

Kalau mereka tidak diusir, tentu mereka mendapat hukuman yang lain di dunia seperti dibunuh, ditawan dan sebagainya.

"Dan bagi mereka di akhirat azab neraka." 

Mereka pasti akan mendapatkan azab neraka Jahanam yang lebih besar, merata dan pedih di akhirat. Hanya Allah Yang Mengetahui dahsyatnya.

"4. Demikian itu kerana mereka menentang Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang menentang Allah, maka sungguh Allah sangat keras siksaNya." 

Mereka menentang, memusuhi, memerangi dan mendustakan apa yang diturunkan oleh Allah kepada rasul-rasulNya yang terdahulu yang memberitakan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w., sedangkan mereka mengenalnya sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri.

Rasulullah s.a.w. memerintahkan kaum muslimin membakar dan menebang pohon kurma milik mereka di Buwairah untuk memaksa mereka turun dari benteng-benteng mereka.

Bani Nadhir mencela Rasulullah s.a.w. dan kaum muslimin kerana menebang pohon kurma dan pepohonan lainnya. Mereka menganggap bahawa hal itu termasuk fasad (melakukan kerosakan).

Kaum muslimin mereka merasa serba salah dalam hatinya. Mereka telah menebang sebahagian dan membiarkan sebahagian. Mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentangnya.

"5. Apa yang kalian tenang dari pohon kurma atau kalian membiarkannya berdiri di atas pokoknya," 

Liinah adalah pohon kurma. Al lin adalah sejenis kurma yang bermutu tinggi. Termasuk ke dalam kurma lin ialah kurma Buwairah. Kaum muslimin diperbolehkan menebang pohon kurma milik musuh atau membiarkannya tumbuh untuk kepentingan dan muslihat perang. Pemusnahan pohon-pohon kurma itu memaksa mereka turun dari benteng mereka.

"maka dengan izin Allah;" 

Penebangan pohon itu atau tidak adalah dengan izin dan perintahNya. Dia telah memberikan kekuasaan kepada kaum muslimin untuk menebang dan membakar pohon kurma mereka.

"dan Dia hendak menghinakan orang-orang yang fasik." 

Hal itu menjadi peringatan, penghinaan dan kerendahan bagi mereka di dunia serta menunjukkan kelemahan mereka yang sempurna kerana tidak dapat menyelamatkan pohon kurma yang menjadi sumber makanan mereka.

Sisa-sisa orang-orang Yahudi diusir lagi dari Khaibar oleh Umar r.a. di zaman pemerintahannya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...