Isnin, 7 November 2016

11:36-40 Tafsir Surah Hud, ayat 36-40.

وَأُوحِيَ إِلَى نُوحٍ أَنَّهُ لَنْ يُؤْمِنَ مِنْ قَوْمِكَ إِلا مَنْ قَدْ آمَنَ فَلا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ (٣٦) وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا وَلا تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا إِنَّهُمْ مُغْرَقُونَ (٣٧) وَيَصْنَعُ الْفُلْكَ وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلأ مِنْ قَوْمِهِ سَخِرُوا مِنْهُ قَالَ إِنْ تَسْخَرُوا مِنَّا فَإِنَّا نَسْخَرُ مِنْكُمْ كَمَا تَسْخَرُونَ (٣٨) فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ مَنْ يَأْتِيهِ عَذَابٌ يُخْزِيهِ وَيَحِلُّ عَلَيْهِ عَذَابٌ مُقِيمٌ (٣٩) حَتَّى إِذَا جَاءَ أَمْرُنَا وَفَارَ التَّنُّورُ قُلْنَا احْمِلْ فِيهَا مِنْ كُلٍّ زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلا مَنْ سَبَقَ عَلَيْهِ الْقَوْلُ وَمَنْ آمَنَ وَمَا آمَنَ مَعَهُ إِلا قَلِيلٌ (٤٠)

Kaum Nabi Nuh a.s. mencabarnya dengan meminta kepadanya agar pembalasan dan azab Allah disegerakan terhadap mereka.

Maka Nuh a.s. berdoa, “Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir.”

Nuh a.s. mengadu kepada Allah bahawa Beliau telah dikalahkan. Oleh sebab itu, Beliau meminta agar dimenangkan. Allah s.w.t. pun mengabulkan doanya.

"36. Dan diwahyukan kepada Nuh bahawasanya, "Tidak akan beriman di antara kaum kamu, kecuali orang yang sungguh telah beriman, maka janganlah kami bersedih hati dengan apa yang mereka kerjakan.""

Janganlah kamu bersedih hati kerana perbuatan mereka dan jangan sekali-kali kamu menjadi sibuk dengan urusan mereka.

"37. Dan buatlah kapal dengan pengawasan Kami dan wahyu Kami," 

Nuh a.s. diperintahkan membina sebuah kapal itu di hadapan Allah dengan petunjuk dan pengajaranNya tentang cara membinanya.

"dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim. Sesungguhnya mereka orang-orang yang akan ditenggelamkan." 

Janganlah kamu bersikap maju mundur, sorong tarik atau berbelah bagi, apakah orang-orang kafir harus dibinasakan atau tidak kerana kasihan.

Allah memerintahkan Nuh a.s. menanam pohon-pohonan; setelah besar ditebang, lalu dikeringkan; hal ini memakan masa seratus tahun. Kemudian Nuh a.s. menggergaji, menyerutnya, dan menghaluskannya selama empat puluh atau seratus tahun lagi.

"38. Dan dia membuat bahtera, dan setiap kali berjalan melintasi atasnya pemuka-pemuka dari kaumnya, mereka mengejek padanya." 

Kapal itu dibuat dari kayu saj (jati), dicat dengan gar (tar atau aspal) bahagian luar dan dalamnya, dan dibuatkan anjungan untuk membelah air.

Banyak pendapat yang menggambarkan keluasan kapal Nabi Nuh a.s., iaitu lapan puluh kali lima puluh hasta, tiga ratus kali lima puluh hasta, enam ratus kali tiga ratus hasta, seribu dua ratus kali enam ratus hasta atau dua ribu kali seratus hasta.

Semuanya mengatakan bahawa ketinggian kapal Nabi Nuh a.s. adalah tiga puluh hasta. Kapal itu dibina tiga tingkat, setiap tingkat mempunyai ketinggian sepuluh hasta. Tingkat yang paling bawah untuk haiwan dan binatang liar, yang tengah untuk manusia, sedangkan yang atas untuk burung-burung. Pintunya berada di bahagian tengahnya. Bahagian atas kapal itu beratap.

Mereka mengejek Nuh a.s., mendustakan dan tidak percayakan banjir besar yang diancamkannya kepada mereka.

"Dia berkata, "Jika kalian mengejek pada kami, maka sungguh kami akan mengejek kalian sebagaimana kalian mengejek.""

Iaitu apabila kami selamat dan kamu tenggelam.

"39. Maka akan kalian mengetahui siapa yang mendatanginya siksaan menghinakannya dan menimpa atasnya azab yang terus menerus." 

Iaitu azab yang menghinakannya di dunia ini dan azab yang kekal di akhirat.

"40. Sehingga apabila telah datang perintah Kami" 

Iaitu qadarNya yang menetapkan waktu turunnya azab. TaqdirNya akan dilaksanakan.

Allah s.w.t. berjanji kepada Nuh a.s. bahawa apabila telah datang perintah Allah iaitu pintu-pintu langit terbuka menurunkan air yang tercurah, hujan yang berturut-turut disertai dengan luapan air yang tiada henti-hentinya.

"dan memancar air mata air,"

Tannur adalah dapur. Apabila air keluar menyembur dari tempat pemanggangan roti yang merupakan tempat yang berapi, itulah tanda bagi Nuh a.s. akan tiba banjir besar. Permukaan bumi akan memancarkan airnya dari segala tempat.

"Kami berfirman, "Muatkanlah di dalamnya dari masing-masing sepasang dua,""

Allah memerintahkan kepada Nuh a.s. untuk membawa bersamanya ke dalam kapal itu setiap jenis makhluk yang bernyawa jantan dan betinanya.

Burung yang mula-mula dimasukkan ke dalam kapal Nuh a.s. ialah burung beo (tiong emas), dan haiwan terakhir yang dimasukkan ke dalam kapal adalah keldai. Lalu bergantung iblis pada ekornya; ketika keldai hendak bangkit naik ke bahtera, iblis memberatkannya kerana ia bergantung pada ekor keldai itu. Maka Nuh a.s. berkata, "Mengapa kamu!, masuklah, celakalah kamu!" Keldai hendak bangkit, tetapi tidak mampu. Maka Nuh berkata, "Masuklah kamu, walaupun iblis ikut bersamamu," hingga masuklah keduanya ke dalam kapal itu.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Setelah Nuh membawa serta ke dalam kapalnya dari setiap makhluk satu jodoh, teman-temannya berkata, "Bagaimana haiwan-haiwan itu dapat tenang bila mereka tinggal bersama singa?” Maka Allah menimpakan penyakit demam pada singa, dan penyakit demam itu adalah penyakit demam yang mula-mula ada di bumi. Kemudian mereka mengadu tentang tikus, mereka berkata, "Binatang perosak ini telah merosakkan makanan dan barang-barang kami.” Maka Allah memerintahkan kepada singa untuk bersin. Lalu bersinlah singa itu, dan keluarlah darinya kucing; maka tikus-tikus itu bersembunyi dari kucing (kerana takut kepadanya)."

"dan keluargamu" 

Muatkan juga ke dalam kapal itu seluruh keluargamu, iaitu ahli bait dan kaum kerabat.

"kecuali orang yang terdahulu atasnya perkataan" 

Iaitu orang-orang yang telah ditetapkan oleh takdir Allah tidak beriman kepada Allah dan dibinasakan dari kalangan mereka. Isteri Nuh a.s. dan anaknya Kan'an termasuk mereka yang dibinasakan.

"dan orang yang telah beriman." 

Muatkan juga orang-orang selain keluarganya yang beriman dari kalangan kaumnya.

"Dan tidaklah beriman bersamanya kecuali sedikit."

Sangat sedikit yang percaya dengan amaran banjir itu. Sangat sedikit yang beriman bersama Nuh a.s., padahal Beliau tinggal bersama mereka selama lebih kurang sembilan ratus lima puluh tahun.

Mereka hanya enam, sepuluh, tujuh puluh dua atau lapan puluh orang termasuk kaum wanitanya. Ada juga yang mengatakan mereka hanyalah Nuh a.s. dan ketiga puteranya (Sam, Ham, dan Yafis) serta empat orang wanita, iaitu isteri dari ketiga putera Nuh dan isteri Kan'an.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...