Isnin, 7 November 2016

12:87-93 Tafsir Surah Yusuf, ayat 87-93.

يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لا يَيْئَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ (٨٧) فَلَمَّا دَخَلُوا عَلَيْهِ قَالُوا يَا أَيُّهَا الْعَزِيزُ مَسَّنَا وَأَهْلَنَا الضُّرُّ وَجِئْنَا بِبِضَاعَةٍ مُزْجَاةٍ فَأَوْفِ لَنَا الْكَيْلَ وَتَصَدَّقْ عَلَيْنَا إِنَّ اللَّهَ يَجْزِي الْمُتَصَدِّقِينَ (٨٨) قَالَ هَلْ عَلِمْتُمْ مَا فَعَلْتُمْ بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذْ أَنْتُمْ جَاهِلُونَ (٨٩) قَالُوا أَئِنَّكَ لأنْتَ يُوسُفُ قَالَ أَنَا يُوسُفُ وَهَذَا أَخِي قَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا إِنَّهُ مَنْ يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (٩٠) قَالُوا تَاللَّهِ لَقَدْ آثَرَكَ اللَّهُ عَلَيْنَا وَإِنْ كُنَّا لَخَاطِئِينَ (٩١) قَالَ لا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (٩٢) اذْهَبُوا بِقَمِيصِي هَذَا فَأَلْقُوهُ عَلَى وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيرًا وَأْتُونِي بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ (٩٣)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal Nabi Ya'qub a.s. Beliau berkata,

"87. Wahai anak-anakku! Pergilah kalian, maka carilah dari Yusuf dan saudaranya, dan janganlah kalian putus asa dari rahmat Allah." 

Ya'qub a.s. memerintahkan kepada anak-anaknya untuk pergi ke negeri itu untuk terus berusaha mencari berita tentang Yusuf a.s. dan saudaranya Bunyamin dengan bersunguh-sungguh serta penuh harap kepada kurnia, ihsan dan rahmat Allah.

"Sesungguhnya tidak putus asa dari rahmat Allah, kecuali kaum yang kafir." 

Sikap putus asa menghendaki seseorang berat untuk maju, berlambat-lambatan, berhenti mengharapkan kurnia, ihsan dan rahmat Allah. Oleh itu, janganlah menyerupai orang kafir.

Maka mereka berangkat ke Mesir untuk mencari berita tentangnya.

"88. Maka ketika mereka masuk kepadanya," 

Apabila mereka masuk ke negeri Mesir dan masuk ke tempat Yusuf a.s..

"mereka berkata, "Wahai Al Aziz! Telah menimpa kami dan keluarga kami kesengsaraan""

Sambil berendah diri mereka menceritakan bahawa mereka telah ditimpa musim kering, kelaparan, dan kekurangan bahan makanan asas.

"dan kami datang dengan barang-barang tidak berharga," 

Barang yang tidak berharga, tidak bernilai dan tidak laku lagi sebagai penukaran dari sukatan yang mereka kehendaki, seperti baju bekas, tali, wang dirham yang buruk, cacat, nilai tukarnya kurang dari asalnya atau biji al batm yang berwarna hijau dan buah sanubar. Orang yang memiliki barang yang tak berharga ini biasanya ditolak.

"maka sempurnakanlah bagi kami jatah kami," 

Penuhilah muatan kami dengan tidak memperhatikan barang-barang kami yang tidak berharga seperti yang pernah engkau berikan kepada kami sebelumnya.

"dan bersedekahlah atas kami." 

Terimalah barang yang tak berharga ini dan maafkanlah. Tambahlah melebihi yang wajib dan kembalikanlah saudara kami.

"Sesungguhnya Allah memberi balasan orang-orang yang bersedekah." 

Yusuf a.s. teringatkan kesedihan yang menimpa ayahnya kerana kehilangan kedua putera yang dikasihinya, sedangkan Beliau sendiri berada dalam kerajaan dan memiliki kekuasaan serta keluasan.

Timbullah rasa kasihan kepada ayahnya dan saudara-saudaranya. Yusuf a.s. menangis. Beliau mulai membuka tabir menerangkan keadaan yang sebenarnya. Beliau memperkenalkan dirinya kepada mereka. Beliau mengangkat (membuka) mahkotanya sehingga kelihatan tahi lalat yang ada di keningnya. Maka mereka mengenalnya.

"89. Dia berkata, "Apakah kalian mengetahui apa yang kalian lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya"" 

Yusuf a.s. mencela mereka, mengingatkan keburukan yang telah mereka lakukan iaitu memukul, cuba membunuh dan menjual Yusuf. Kalian memisahkan Yusuf dan Bunyamin. Kalian mengurangi hak Bunyamin dan menzaliminya setelah ketiadaan Yusuf.

"ketika kalian orang-orang yang tidak menyedari?" 

Kalian tidak mengetahui akibatnya. Sesungguhnya yang mendorong kalian berbuat demikian adalah kerana kebodohan kalian sendiri.

Maka pada saat itu juga mereka mengenalinya berdasarkan keperibadiannya yang nampak sambil berusaha memastikan.

"90. Mereka berkata, "Apakah sungguh kamu benar-benar kamu Yusuf?""

Mereka bertanya dengan rasa hairan dan kagum. Mereka telah berkali-kali datang kepada Yusuf a.s. selama dua tahun, bahkan lebih tanpa mengenalinya, sedangkan Yusuf a.s. mengenali mereka dengan baik dan menyembunyikan perihal dirinya.

"Dia berkata, "Aku Yusuf, dan ini saudaraku. Sungguh, Allah telah melimpahkan kurnia kepada kami.""

Dia telah melimpahkan iman dan takwa serta kekuasaan di bumi serta menemukan kami setelah berpisah sekian lama. Yang demikian merupakan buah dari ketakwaan dan kesabaran.

"Sesungguhnya orang yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik." 

Bertakwa dan bersabar terhadap hal yang menimpa adalah termasuk ihsan. Allah tidak akan menyia-nyiakan pahala orang yang berbuat ihsan.

"91. Mereka berkata, "Demi Allah, sungguh, Allah telah melebihkan kamu atas kami,""

Mereka mengakui keutamaan dan kelebihan yang dimiliki oleh Yusuf a.s. atas diri mereka dalam hal penampilan, akhlak, kekayaan, kerajaan, kekuasaan dan juga kenabian.

"dan sungguh kami orang-orang yang bersalah."

Mereka mengakui bahawa diri mereka telah berbuat kejahatan terhadap Yusuf a.s. dan melanggar haknya. Mereka meminta maaf kepadanya. Yusuf a.s. mempunyai sifat hilm(santun)nya dan ihsan yang sangat tinggi. Beliau memaafkan mereka.

"92. Dia berkata, "Tidak ada cercaan atas kalian hari ini,""

Tiada celaan atau kecaman atas kalian di hadapanku dan aku tidak akan menyebutkan atau mengungkit-ungkit lagi dosa kalian terhadap diriku di masa lalu sesudah hari ini. Yusuf a.s. berdoa,

"Allah mengampuni kalian. Dan Dia Paling Penyayang para penyayang." 

Mudah-mudahan Allah mengampuni kalian. Dan Dia Maha Penyayang di antara para penyayang. Yusuf a.s. mendoakan semoga Allah mengampuni apa yang telah mereka lakukan dan melimpahkan rahmatNya untuk mereka.

Kemudian Yusuf a.s. bertanya kepada mereka tentang keadaan bapanya, lalu mereka menerangkan bahawa kedua matanya telah buta akibat banyak menangis kerana berpisah dengan Yusuf a.s. Maka Beliau berkata,

"93. Pergilah kalian dengan baju gamisku ini, lalu letakkan ia atas wajah ayahku, maka dia akan dapat melihat;"

Pada baju Yusuf a.s. terdapat keharuman bekas diri Yusuf, diharapkan dengan dicium oleh bapanya yang sangat sedih dan rindu bertemu Yusuf, kesegarannya kembali, jiwanya bergembira, sehingga penglihatannya pun pulih kembali. Allah memiliki hikmah dan rahsia dalam hal itu yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Ada juga yang berpendapat, bahawa hal itu merupakan mukjizat yang diberikan Allah s.w.t. kepada Nabi Yusuf a.s.

"dan bawalah kepadaku dengan keluarga kalian semuanya." 

Iaitu semua Bani Ya'qub.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...