Selasa, 8 November 2016

15:61-77 Tafsir Surah Al Hijr, ayat 61-77.

فَلَمَّا جَاءَ آلَ لُوطٍ الْمُرْسَلُونَ (٦١) قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ مُنْكَرُونَ (٦٢) قَالُوا بَلْ جِئْنَاكَ بِمَا كَانُوا فِيهِ يَمْتَرُونَ (٦٣) وَأَتَيْنَاكَ بِالْحَقِّ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ (٦٤) فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍ مِنَ اللَّيْلِ وَاتَّبِعْ أَدْبَارَهُمْ وَلا يَلْتَفِتْ مِنْكُمْ أَحَدٌ وَامْضُوا حَيْثُ تُؤْمَرُونَ (٦٥) وَقَضَيْنَا إِلَيْهِ ذَلِكَ الأمْرَ أَنَّ دَابِرَ هَؤُلاءِ مَقْطُوعٌ مُصْبِحِينَ (٦٦) وَجَاءَ أَهْلُ الْمَدِينَةِ يَسْتَبْشِرُونَ (٦٧) قَالَ إِنَّ هَؤُلاءِ ضَيْفِي فَلا تَفْضَحُونِ (٦٨) وَاتَّقُوا اللَّهَ وَلا تُخْزُونِ (٦٩) قَالُوا أَوَلَمْ نَنْهَكَ عَنِ الْعَالَمِينَ (٧٠) قَالَ هَؤُلاءِ بَنَاتِي إِنْ كُنْتُمْ فَاعِلِينَ (٧١) لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ (٧٢) فَأَخَذَتْهُمُ الصَّيْحَةُ مُشْرِقِينَ (٧٣) فَجَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ حِجَارَةً مِنْ سِجِّيلٍ (٧٤) إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِلْمُتَوَسِّمِينَ (٧٥) وَإِنَّهَا لَبِسَبِيلٍ مُقِيمٍ (٧٦) إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً لِلْمُؤْمِنِينَ (٧٧) 

Allah s.w.t. menceritakan perihal Nabi Lut a.s.

"61. Maka tatkala datang pengikut Lut para utusan." 

Para malaikat datang sebagai pemuda-pemuda berwajah tampan, lalu mereka masuk ke tempat Lut a.s.

"62. Lut berkata, "Sungguh kalian kaum yang tidak dikenal.""

Lut a.s. tidak pernah bertemu dengan mereka.

"63. Mereka berkata, "Bahkan kami datang kepadamu dengan apa yang mereka di dalamnya dustakan.""

Mereka akan menimpakan azab, membinasakan dan menghancurkan kaumnya bersama kampung halaman mereka. Sebelumnya mereka selalu mendustakan, tidak percaya dan meragukan akan terjadinya azab atas mereka.

"64. Dan kami datangi kamu dengan kebenaran" 

Para malaikat itu benar-benar membawa azab. Mereka tidak bermain-main atau bergurau.

"dan sungguh, kami orang-orang yang benar." 

Berita bahawa mereka akan menyelamatkan Lut a.s. dan membinasakan kaumnya adalah berita benar dari mereka.

"65. Maka berjalanlah dengan keluargamu pada bahagian akhir dari malam," 

Keluarlah kamu bersama keluargamu dari tempat tinggalmu ketika orang lain sedang tidur, sesudah sebahagian besar malam hari telah berlalu agar tidak ada seorang pun yang mengetahui pemergianmu.

"dan ikutilah belakang mereka." 

Berjalanlah di belakang keluargamu agar lebih memelihara keselamatan mereka dan membantu apa yang perlu. Kalian akan mendengar suara jeritan kaum kalian.

"Dan jangan berpaling di antara kalian seorang pun" 

Jangan kalian lihat peristiwa dahsyat yang menimpa mereka. Biarkanlah mereka dengan azab yang menimpa mereka sebagai pembalasan amal perbuatannya.

"dan teruskanlah sekiranya kalian diperintahkan." 

Mereka memberi petunjuk jalan yang harus ditempuhi Lut a.s. dan keluarganya iaitu ke arah Syam.

"66. Dan telah Kami tetapkan kepadanya itu perkara bahawasanya akar-akar mereka itu ditumpas pada waktu subuh." 

Lut a.s. telah diberitakan tentang kemusnahan kaumnya itu terlebih awal.
Berita tentang kedatangan pemuda-pemuda tampan ke rumah Lut a.s. telah sampai kepada kaumnya.

"67. Dan datang penduduk kota itu mereka bergembira." 

Mereka datang ke rumah Lut a.s. dengan gembira sambil menyebarkan berita gembira itu kerana hendak berbuat keji dengan para tetamu Lut a.s. itu.

"68. Berkata, "Sesungguhnya mereka itu tetamuku, maka janganlah kalian permalukan aku.""

Hal ini dikatakan oleh Lut a.s. sebelum dia mengetahui bahawa para tetamunya itu adalah utusan Allah.

"69. Dan bertakwalah kepada Allah dan janganlah kalian hinakan aku." 

Kerana keinginan mereka untuk melakukan homoseks dengan para tetamunya.

"70. Mereka berkata, "Tidakkah kami larang kamu dari alam semesta?""

Iaitu, “Bukankah kami telah melarangmu dari manusia?” Kaumnya pernah melarangnya dari menerima tetamu dan pernah mengancam Lut a.s. agar tidak menghalangi mereka dari amalan homoseks mereka itu. Beban batin yang Lut a.s. alami begitu berat.

"71. Dia berkata, "Mereka itu puteri-puteriku, jika kalian orang-orang yang melakukan.""

Lut a.s. memberikan petunjuk kepada mereka agar mengahwini kaum wanita mereka, jika mereka hendak berbuat, kerana Allah telah menjadikan kaum wanita sebagai pasangan yang dihalalkan bagi mereka.

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"72. Demi umurmu," 

Iaitu demi hidupmu, demi usiamu dan demi keberadaanmu di dunia. Allah s.w.t. bersumpah dengan menyebut usia Nabi s.a.w., menunjukkan suatu penghormatan yang besar dan kedudukan yang tinggi bagi Beliau s.a.w. Namun kita dilarang bersumpah dengan nama selain Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa bersumpah dengan nama selain Allah, maka ia telah berbuat kufur atau syirik.”

"sungguh, mereka benar-benar dalam kemabukan mereka, mereka bingung." 

Mereka terombang-ambing dalam kemabukan. Mereka hanyut di dalam kesesatan, bermain-main dan berseronok. Kerana itu mereka tidak peduli lagi dengan kritikan dan celaan.

Semuanya itu terjadi, sedangkan mereka dalam keadaan lalai dan tidak sedar akan ujian yang sedang ditimpakan atas mereka.

"73. Maka membinasakan mereka suara keras pada waktu matahari terbit." 

Maka azab ditimpakan kepada mereka di waktu subuh.

"74. Maka Kami jadikan bahagian atasnya bahagian bawahnya" 

Malaikat Jibril mengangkat kota tempat mereka tinggal ke langit, lalu menjatuhkannya dengan dibalikkan, bahagian atasnya di bawah dan bahagian bawahnya di atas.

"dan Kami hujani atas mereka dengan batu-batu dari tanah yang keras." 

Setelah itu mereka dihujani oleh sijjil, batu dari tanah liat yang keras dan dibakar dengan api.

"75. Sesungguhnya pada yang demikian itu sungguh terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir." 

Bekas-bekas azab dan tanda-tanda tempat tinggal mereka masih jelas kelihatan dan belum hilang.

Mutawassimin bermaksud memperhatikan tanda-tanda, merenungkan dan mengambil pelajaran. Mereka memandang dengan pandangan mata dan hatinya. Mereka berfikir, menimbang masalah dan memiliki firasat.

Mereka dapat memahami maksud yang diinginkan daripadanya, iaitu barang siapa yang berani berbuat maksiat, maka sesungguhnya Allah Maha Kuasa menimpakan hukuman yang sangat keras sebagaimana mereka berani melakukannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang dapat mengenal (mengetahui hal ihwal) orang lain melalui firasat(nya)."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Waspadalah kepada firasat orang mukmin, kerana sesungguhnya dia (orang mukmin itu) memandang dengan nur (cahaya) Allah dan taufikNya."

"76. Dan sungguh, ia benar-benar di jalan yang tetap." 

Negeri itu benar-benar terletak di jalan yang masih tetap. Kota Sodom terletak dekat pantai laut Tengah. Ia telah menjadi danau yang berbau busuk lagi kotor. Jalan Mahya' itu dilalui orang-orang Quraisy ketika pergi menuju Syam dan masih dilalui manusia hingga sekarang.

"77. Sungguh, pada yang demikian itu sungguh terdapat ayat bagi orang-orang yang beriman." 

Peristiwa itu benar-benar memberi pelajaran bagi orang-orang yang beriman. Dia memberi perhatian kepada waliNya. Dia akan menolong rasul-rasulNya dan orang-orang yang beriman.

Seks atau perkahwinan sesama jenis adalah perbuatan yang terkutuk, dimurkai Allah dan di luar tabi'i manusia. Orang-orang beriman akan menjauhi dan tidak sekali-kali melakukannya. Sedangkan bagi orang-orang tidak beriman, peristiwa itu tidak memberi kesan. Mereka tetap meniru dan seronok melakukannya.

Apabila Allah s.w.t. hendak membinasakan suatu negeri, kemaksiatan penduduknya semakin bertambah, dan jika sudah semakin parah, maka Allah s.w.t. akan menurunkan hukumanNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...