Ahad, 6 November 2016

9:113-116 Tafsir Surah At Taubah.

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ (١١٣) وَمَا كَانَ اسْتِغْفَارُ إِبْرَاهِيمَ لأبِيهِ إِلا عَنْ مَوْعِدَةٍ وَعَدَهَا إِيَّاهُ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنْهُ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ لأوَّاهٌ حَلِيمٌ (١١٤) وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِلَّ قَوْمًا بَعْدَ إِذْ هَدَاهُمْ حَتَّى يُبَيِّنَ لَهُمْ مَا يَتَّقُونَ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (١١٥) إِنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا نَصِيرٍ (١١٦)

Ketika Abu Thalib sedang menjelang ajalnya, Rasulullah s.a.w. datang menemuinya. Saat itu di sisi Abu Thalib terdapat Abu Jahal bin Hisyam dan Abdullah ibnu Abu Umayyah. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hai Pakcik, ucapkanlah, "Tidak ada Tuhan selain Allah!" sebagai suatu kalimat yang kelak aku akan membelamu dengannya di hadapan Allah."

Maka Abu Jahal dan Abdullah ibnu Abu Umayyah berkata, "Hai Abu Thalib apakah engkau tidak suka dengan agama Abdul Muttalib?" Abu Thalib menjawab, "Aku berada pada agama Abdul Muttalib."

Rasulullah s.a.w. tidak henti-hentinya menawarkan kepadanya, sedangkan keduanya juga mengulangi kata-kata tadi, sehingga kata-kata Abu Thalib yang terakhir kepada mereka adalah bahawa dia di atas agama Abdul Muththalib, ia tidak mahu mengucapkan, “Laa ilaaha illallah." Maka Nabi s.a.w. bersabda, "Sungguh aku benar-benar akan memohonkan ampun buatmu selagi aku tidak dilarang untuk mendoakanmu."

Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"113. Tidak patut bagi Nabi dan orang-orang yang beriman jika mereka memintakan ampunan bagi orang-orang musyrik," 

Syafaat maupun permohonan ampun dalam keadaan seperti ini tidaklah bermanfaat kerana telah diketahui mereka mati dalam keadaan syirik.

"walaupun mereka mempunyai kekerabatan, setelah apa yang telah jelas bagi mereka, bahawasanya mereka adalah para penghuni neraka Jahim." 

Mereka mati di atas kekafiran. Ketetapan azab sudah pasti bagi mereka dan mereka mesti kekal di neraka. Nabi dan orang-orang yang beriman seharusnya mengikuti Tuhan mereka dalam hal ridha dan bencinya, iaitu berwala’ (mencintai) kepada mereka yang dicintai Allah dan berbara’ (membenci) mereka yang dimusuhi Allah. Memintakan ampunan kepada orang yang telah jelas sebagai penghuni neraka adalah bertentangan dengan hal itu.

Sebelumnya, sebahagian sahabat Nabi s.a.w. memohon ampunan untuk kedua ibu bapa mereka yang musyrik. Nabi s.a.w. memohonkan ampun kepada Allah buat ibunya, tetapi Allah melarangnya melakukan hal tersebut. Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Ibrahim kekasih Allah telah memohonkan ampun kepada Engkau buat ayahnya."

Allah s.w.t. berfirman,

"114. Dan tidaklah ada permintaan ampunan Ibrahim bagi bapanya kecuali kerana suatu janji dia menjanjikannya kepadanya." 

Ibrahim a.s. berjanji kepada bapanya bahawa Beliau akan memohonkan ampunan baginya kepada Allah dengan harapan bapanya mahu beriman. Beliau terus memohon ampunan dan mendoakan kebaikan bagi bapanya selagi bapanya yang kafir itu masih hidup. Hal itu ketika Beliau belum mengetahui kesudahan hidup bapanya.

"Maka ketika telah jelas baginya bahawa dia musuh bagi Allah, dia berlepas diri darinya." 

Apabila bapanya mati dalam keadaan kafir, jelaslah bagi Ibrahim a.s. bahawa ayahnya itu adalah musuh Allah. Beliau berlepas diri darinya kerana mengikuti Tuhannya dan beradab terhadapNya. Beliau tidak lagi memohonkan ampunan untuk bapanya dan menyerahkan nasib bapanya itu kepada bapanya sendiri. Kelak di hari kiamat, Beliau berlepas diri dengan tidak mahu bertemu dan tidak mahu dimalukan kerana bapanya yang kafir.

"Sesungguhnya Ibrahim sangat lembut hatinya penyantun."

Beliau sangat lembut hatinya, iaitu banyak berdoa, berzikir, beristighfar, merendahkan diri, kembali kepada Allah dalam segala urusan. Beliau sangat penyantun, iaitu sabar dan memaafkan orang yang berbuat aniaya dan menimpakan hal-hal yang tidak disukai terhadap dirinya. Oleh kerana itu, ikutilah semua jejak langkah Nabi Ibrahim a.s.

"115. Dan tidaklah ada bagi Allah untuk menyesatkan suatu kaum, setelah Dia memberi mereka petunjuk, sehingga Dia jelaskan bagi mereka apa yang mereka jauhi." 

Sesungguhnya maksiat dan taat itu hanyalah berdasarkan perintah dan larangan. Allah telah memberikan hidayah dan taufikNya kepada kalian untuk beriman kepadaNya dan kepada RasulNya. Tidak sekali-kali Allah akan memutuskan kesesatan terhadap kalian kerana kalian telah memintakan ampun kepadaNya buat orang-orang musyrik yang telah mati. Tetapi apabila Allah telah melarang hal itu, maka kalian harus meninggalkannya.

Barang siapa yang telah diterangkan kepadanya jalan-jalan hidayah, namun tidak ditempuhnya, maka hukumannya adalah disesatkan sebagai balasan terhadap penolakannya terhadap kebenaran.

"Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu Maha Mengetahui." 

Dia mengetahui siapa yang berhak diberi hidayah dan siapa yang berhak disesatkanNya. IlmuNya sempurna. Dia mengajarkan kalian perkara yang belum diketahui dan menerangkan hal yang bermanfaat.

"116. Sesungguhnya Allah bagiNya kerajaan langit dan bumi. Yang Menghidupkan dan Mematikan." 

Perangilah orang-orang musyrik dan pemimpin kekufuran. Percayalah akan pertolongan Allah. Dialah Raja yang memiliki langit dan bumi. Dia mengatur hambaNya dengan menghidupkan, mematikan dan bentuk pengaturan ilahiyyah lainnya. Dia tidak lalai terhadap pengaturan yang bersifat qadari di alam semesta dan yang bersifat agama yang berkaitan dengan ketuhananNya. Dia tidak membiarkan hamba-hambaNya begitu saja, tersesat atau tidak tahu jalan. Yang demikian merupakan bentuk pengaturan yang paling agung.

"Dan tidaklah bagi kalian dari selain Allah pelindung dan tidak ada penolong." 

Janganlah merasa gentar dalam menghadapi musuh-musuh. Hanya Dia yang akan melindung dan menolong kalian.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...