Rabu, 16 November 2016

28:1-6 Tafsir Surah Al Qasas, ayat 1-6.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

طسم (١) تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْمُبِينِ (٢) نَتْلُوا عَلَيْكَ مِنْ نَبَإِ مُوسَى وَفِرْعَوْنَ بِالْحَقِّ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (٣) إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلا فِي الأرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَائِفَةً مِنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَاءَهُمْ وَيَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ إِنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ (٤) وَنُرِيدُ أَنْ نَمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الأرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ (٥)وَنُمَكِّنَ لَهُمْ فِي الأرْضِ وَنُرِيَ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا مِنْهُمْ مَا كَانُوا يَحْذَرُونَ (٦)

Allah s.w.t. berfirman, 

"1. Tha Sin Mim.

"2. Itu ayat-ayat kitab yang nyata."

Ayat-ayat Al Qur'an ini menjelaskan hak dan batil, menerangkan hakikat-hakikat semua perkara, menjelaskan segala yang diperlukan hamba, seperti keperluan mengenal Tuhannya, mengenal hak-hakNya, mengenal siapa waliNya dan siapa musuhNya, mengenal peristiwa-peristiwa besar, mengenal pembalasan terhadap amal dan pengetahuan segala sesuatu yang telah terjadi dan yang sedang terjadi.

Termasuk di antara sekian yang dijelaskan Al Qur’an adalah kisah Nabi Musa a.s. bersama Fir’aun. Al Qur’an menampilkan kisahnya dan mengulanginya di beberapa tempat, dan pada surah ini diterangkan secara lebih luasnya.

"3. Kami membacakan atas kepadamu dari kisah Musa dan Fir'aun dengan benar untuk kaum yang beriman." 

Allah s.w.t. menceritakan kisah tersebut sesuai dengan kejadiannya, apa yang sebenarnya terjadi, seakan-akan kamu menyaksikannya dan menghadiri peristiwanya.

Orang-orang beriman akan mengambil manfaat darinya. Keimanan yang ada dalam hati mereka menghendaki untuk memikirkan peristiwa itu dan menjadikannya pelajaran. Iman dan keyakinan mereka bertambah dengannya, demikian pula kebaikannya.

Adapun selain mereka, maka tidak dapat mengambil faedah selain menegakkan hujjah. Allah menjaga kitabnya dari mereka serta mengadakan dinding sehingga mereka tidak dapat memahaminya.

"4. Sesungguhnya Fir’aun telah sombong di bumi" 

Fir'aun bersikap sombong, sewenang-wenang dan melampaui batas di bumi Mesir.

"dan dia jadikan penduduknya berpecah belah," 

Fir'aun menjadikan penduduknya terbahagi menjadi beberapa golongan. Masing-masing golongan dikuasai menurut apa yang dikehendakinya untuk menguatkan pemerintahannya.

"dia melemahkan segolongan di antara mereka," 

Bani Israil adalah umat yang terpilih di masanya. Allah lebihkan mereka pada masa itu di atas umat-umat yang lain. Mereka dikuasai oleh Raja Fir'aun yang sewenang wenang lagi pengingkar kebenaran.

Sepatutnya mereka dimuliakan oleh Fir’aun. Tetapi kenyataannya, Fir’aun menindas mereka kerana melihat mereka tidak memiliki kekuatan untuk menolak keinginannya. Dia mempekerjakan mereka untuk pekerjaan yang kasar (rendah), memperhambakan mereka sepanjang siang dan malam untuk bekerja padanya, juga pekerjaan rakyatnya.

Semasa Nabi Ibrahim a.s. datang ke negeri Mesir, terjadilah permasalahan antara Beliau dan rajanya yang angkara murka. Raja Mesir itu menangkap Siti Sarah (isteri Ibrahim a.s.) untuk dijadikan sebagai gundiknya. Akan tetapi, Allah memelihara Sarah dari gangguan si raja yang zalim itu berkat kekuasaan dan pengaruhNya.

Kemudian Nabi Ibrahim a.s. menyampaikan berita gembira, bahawa kelak akan dilahirkan dari keturunannya seorang pemuda yang menjadi penyebab kehancuran dirinya, negeri Mesir dan lenyapnya kerajaannya di tangan pemuda tersebut.

Orang-orang Qibti (Mesir) menerima berita tersebut dari kaum Bani Israil melalui apa yang mereka baca dan pelajari dari perkataan Nabi Ibrahim a.s. Lalu orang-orang Qibti, para pembantu kerajaan dan sebahagian dukun meramalkan dan menceritakan hal yang sama kepada raja mereka, Fir'aun.

Fir’aun tidak peduli lagi perbuatannya terhadap Bani Israil. Maka Fir'aun menangkal hal tersebut dengan memerintahkan kepada semua bawahannya agar membunuh setiap bayi lelaki yang lahir di kalangan kaum Bani Israil.

"menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak perempuan mereka." 

Perbuatannya itu adalah sebagai penghinaan terhadap Bani Israil, sekaligus untuk menangkal rasa takutnya terhadap mereka. Fir'aun bimbang jumlah Bani Israil semakin ramai sehingga memenuhi negerinya dan akhirnya menguasai kerajaannya.

"Sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang membuat kerosakan."

Fir'aun tergolong orang-orang yang tidak memiliki keinginan untuk mengadakan perbaikan terhadap keadaan agamanya dan dunianya.

"5. Dan Kami hendak untuk memberi kurnia kepada orang-orang yang ditindas di bumi," 

Sikap hati-hati atau berjaga-jaga itu tiada manfaatnya untuk menghadapi atau menentang takdir yang telah ditentukan; kerana apabila takdir Allah telah datang, maka kedatangannya tidak dapat ditangguhkan lagi, dan bagi setiap sesuatu itu ada batasannya yang tertentu.

"dan Kami akan menjadikan mereka pemimpin" 

Allah s.w.t. menghendaki mereka memimpin dalam kebaikan. Hal ini tidak mungkin tercapai jika keadaannya lemah, bahkan mereka perlu diberi keteguhan di bumi serta diberikan kemampuan yang sempurna.

"dan Kami akan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi." 

Bani Israil mewarisi bumi di negeri Syam, Mesir dan negeri-negeri sekitarnya yang pernah dikuasai Fir'aun setelah kerajaannya runtuh. Mereka memperoleh akibat yang baik di dunia sebelum di akhirat nanti.

"6. Dan Kami teguhkan bagi mereka di bumi" 

Di negeri Mesir dan Syam. Ini semua tergantung iradah dan kehendak Allah.

"dan Kami perlihatkan Fir'aun, dan Haman, dan bala tentera keduanya dari mereka apa yang mereka khuatirkan." 

Fir'aun sentiasa khuatir bahawa kerajaannya akan dihancurkan oleh Bani Israil. Dengan segala upayanya dan kekuatan yang ada padanya, dia bermaksud menyelamatkan dirinya dari Musa a.s. Kerana itulah dia membunuh ribuan anak lelaki yang lahir dari kalangan Bani Israil.

Tetapi hal tersebut tidak ada manfaatnya dalam menghadapi kekuasaan Allah, Raja Yang Mahabesar. PerintahNya tidak dapat ditolak dan tidak dapat dikalahkan takdir yang ditetapkanNya. Apa yang dikhuatirkannya itu tetap akan terjadi.

Apabila Allah s.w.t. menginginkan sesuatu, maka Dia memudahkan sebab-sebabnya dan menyiapkan jalannya. Dia telah menakdirkan dan menjalankan sebab-sebabnya yang tidak diketahui oleh wali-waliNya dan musuh-musuhNya, di mana sebab tersebut dapat mencapai kepada maksud yang dikehendaki Allah s.w.t.

Awal sebab yang dimunculkan Allah adalah Dia mengadakan RasulNya Musa a.s., yang Dia jadikan sebagai orang yang akan menyelamatkan Bani Israil ini melalui tangannya dan dengan sebabnya, di mana ketika itu sedang terjadi peristiwa yang mengerikan, iaitu penyembelihan terhadap anak lelaki yang lahir.

Keputusan Allah berlangsung dan guratan qalam takdirNya di zaman azali telah menyurat, bahawa kebinasaan Fir'aun pasti di tangan Musa a.s. Kemunculannya dan tempat pemeliharaan Musa a.s. berada di tempat tidur Fir'aun dan di dalam rumahnya, serta makan dari makanannya. Fir'aun sendirilah yang memelihara, memanjakan dan menyayanginya. Tetapi kematian dan kebinasaan Fir'aun serta kebinasaan bala tenteranya berada di tangan Musa a.s.

Allah s.w.t., Tuhan seluruh langit yang tinggi, Dialah Yang Mahaperkasa, Mahamenang, Mahaagung, Mahakuat, Mahamulia, lagi Mahakeras siksaanNya. Segala sesuatu yang dikehendakiNya pasti terjadi, dan segala sesuatu yang tidak dikehendakiNya pasti tidak akan terjadi.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...