Khamis, 17 November 2016

33:45-48 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 45-48.

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا (٤٥) وَدَاعِيًا إِلَى اللَّهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيرًا (٤٦) وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ بِأَنَّ لَهُمْ مِنَ اللَّهِ فَضْلا كَبِيرًا (٤٧) وَلا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَ وَدَعْ أَذَاهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلا (٤٨)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"45. Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami mengutusmu" 

Allah s.w.t. menyebutkan tujuan, inti dan usul(dasar) risalah Beliau s.a.w. Dengannya Allah s.w.t. telah mengistimewakan Beliau s.a.w.

"sebagai saksi," 

Syahid adalah saksi. Beliau s.a.w. menjadi saksi keesaan Allah, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah. Beliau s.a.w. menjadi saksi yang adil dan diterima terhadap umat manusia dan amal perbuatan mereka yang baik atau buruk kelak di hari kiamat.

"dan pembawa khabar gembira" 

Mubasysyir adalah penyampai khabar gembira kepada kaum mukmin yang bertakwa, beriman, beramal soleh dan meninggalkan maksiat. Di dunia mereka akan diberikan balasan segera dari sisi dunia maupun agama, sedangkan di akhirat mereka diberi kenikmatan yang kekal. Amal yang mendatangkan khabar gembira itu adalah semua amal soleh, iaitu amal yang diperintahkan Allah dan RasulNya. Hal ini menghendaki disebutkan secara rinci amalan tersebut dan disebutkan berbagai perkara takwa.

"dan pemberi peringatan." 

Nazir adalah pemberi peringatan kepada orang-orang kafir, yang mendustakan dan pelaku maksiat. Di dunia mereka akan mendapat hukuman dari sisi duniawi dan sisi agama akibat kebodohan dan kezalimannya, sedangkan di akhirat mereka akan mendapat azab yang mengerikan, menyakitkan dan berpanjangan. Amal yang mendatangkan peringatan itu adalah semua amal maksiat, terutama sekali yang paling besarnya iaitu syirik dan kekufuran serta dosa-dosa besar lainnya.

"46. Dan penyeru kepada Allah dengan izinNya" 

Da’i adalah penyeru kepada Allah. Allah s.w.t. mengutus Beliau s.a.w. untuk menyeru manusia kepada Tuhan mereka dan mengajak untuk memasuki tempat istimewaNya (syurga), serta memerintahkan mereka untuk beribadah kepadaNya; di mana untuk itulah mereka diciptakan.

Hal ini menghendaki agar tetap istiqamah dalam berdakwah, menyebutkan secara rinci apa yang dia dakwahkan dengan mengenalkan mereka kepada Tuhan mereka dengan sifat-sifatNya yang suci, menyucikanNya dari sesuatu yang tidak layak dengan keagunganNya, mengajak mereka mentauhidkanNya, mengajak mereka kepada usul (dasar-dasar) syariat Islam dan furu’nya, berdakwah dengan cara yang lebih dekat dan menyampaikan maksudnya, melihat keadaan mad’u (yang didakwahi), mengikhlaskan dakwah kepada Allah, bukan kepada dirinya dan bukan untuk membesarkan dirinya. Itu semua tentunya dengan izin, perintah, iradah (keinginan) dan qadar Allah.

"dan pelita yang menerangi." 

Siraj munir adalah pelita yang menerangi. Umat manusia ketika itu berada dalam kegelapan dan kebodohan yang besar. Tidak ada cahaya untuk menyinarinya serta pengetahuan yang meneranginya sampai Allah mengutus NabiNya yang mulia, maka melalui Beliau Allah menyinari kegelapan ketika itu. Maka manusia mengetahui mana yang benar dan mana yang salah.

Melalui Beliau Allah menunjuki orang-orang yang tersesat ke jalan yang benar. Maka orang-orang yang bersikap lurus semakin jelas jalan mereka, lalu mereka berjalan di belakang imam yang mulia ini (Rasulullah s.a.w.).

Melalui Beliau mereka mengenal mana yang baik dan mana yang buruk, siapa orang yang bahagia dan siapa orang yang sengsara, dan melalui Beliau mereka dapat mengenal Tuhan mereka, mengenal dengan sifat-sifatNya yang terpuji, perbuatan-perbuatanNya yang lurus dan hukum-hukumNya yang tepat.

"47. Dan berilah khabar gembira orang-orang yang beriman dengan sesungguhnya bagi mereka dari Allah kurnia yang besar." 

Orang-orang yang beriman akan mendapat khabar gembira.  Bagi mereka kurnia yang besar yang sulit diukur, seperti kemenangan di dunia, hidayah bagi hati, diampuni dosa, dihilangkan derita, diperbanyakkan rezeki, nikmat yang menyenangkan, keridhaan Allah, pahalaNya yang berlimpah, selamat dari kemurkaan dan siksaNya.

Hal ini memberi semangat supaya mereka beramal dan membantu mereka untuk menempuh jalan yang lurus. Ini termasuk di antara sejumlah hikmah-hikmah syara’.

Termasuk hikmahnya juga adalah mentarhib (menakut-nakuti) dengan disebutkan hukumannya agar membantu seseorang meninggalkan perbuatan yang dilarang Allah. Hanya orang yang membangkang dan tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang mengingkarinya.

Mereka menghalangi orang-orang yang mengajak kepada Allah (para rasul dan para pengikutnya). Mereka adalah orang-orang kafir yang menampakkan kekafirannya pada zahir dan batinnya, dan orang-orang munafik yang menampakkan keimanan pada zahirnya, padahal batinnya kafir lagi fasik.

"48. Dan janganlah kamu menaati orang-orang kafir dan orang-orang munafik," 

Janganlah kamu taat atau tunduk kepada mereka dalam setiap perkara yang menghalangi dari jalan Allah. Akan tetapi jangan kamu menyakiti mereka.

"dan biarkan gangguan mereka" 

Janganlah engkau hiraukan gangguan mereka. Jangan kamu dengar celaan dan ejekan mereka kepadamu. Maafkanlah, ampunilah dan berpalinglah dari mereka.

"dan bertawakallah kepada Allah." 

Pasrahkan dan serahkan segala urusan mereka kepada Allah.

"Dan cukuplah Allah Pelindung." 

Cukuplah Allah sebagai Pelindung. Dia akan melindungi, menolong, memudahkan, menyempurnakan urusanmu dan menghindari kamu dari gangguan musuh-musuhmu. Dia akan mengurus dan mengecewakan mereka.

Semua sikap ini dapat menarik mereka, mengajak mereka menerima Islam dan menghalang mereka menyakiti dirimu dan keluargamu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...