Jumaat, 18 November 2016

39:60-63 Tafsir Surah Az Zumar, ayat 60-63.

وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ تَرَى الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللَّهِ وُجُوهُهُمْ مُسْوَدَّةٌ أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِلْمُتَكَبِّرِينَ (٦٠) وَيُنَجِّي اللَّهُ الَّذِينَ اتَّقَوْا بِمَفَازَتِهِمْ لا يَمَسُّهُمُ السُّوءُ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ (٦١) اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ (٦٢) لَهُ مَقَالِيدُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ اللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ (٦٣)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan keadaan dua golongan manusia.

"60. Dan pada hari Kiamat kamu lihat orang-orang yang mereka berdusta terhadap Allah," 

Manusia yang berada di mauqif (padang mahsyar) mengenali mereka. Di dunia mereka berbuat dusta terhadap Allah dengan menisbatkan sekutu, anak, isteri kepadaNya, memberitahukan tentang Dia dengan sesuatu yang tidak layak bagiNya, berpecah belah, selalu berselisih pendapat, mengaku menjadi nabi, berkata dalam syariatNya sesuatu yang tidak dikatakanNya, memberitahukan bahawa Dia berfirman ini dan itu atau menetapkan syariat ini dan itu padahal tidak demikian.
Kebenaran adalah sesuatu yang terang, tetapi mereka menghitamkan kebenaran dengan kedustaan. Disebabkan perbuatan mereka itu,

"wajah-wajah mereka menjadi hitam." 

Allah s.w.t. menjadikan wajah mereka menjadi hitam legam seperti malam yang kelam sebagai balasan yang sesuai dengan amal yang mereka kerjakan. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. berfirman,

"Bukankah dalam neraka Jahannam tempat tinggal untuk orang-orang yang menyombongkan diri?" 

Neraka Jahanam itu cukup sebagai penjara dan tempat kembali mereka. Di dalamnya mereka mendapat azab, kehinaan, kerendahan, kemurkaan yang besar dan keras disebabkan kesombongan dan keangkuhan mereka serta menolak tidak mahu mengikuti kebenaran, sombong dari beribadah kepada Tuhannya lagi berdusta terhadapNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya orang-orang yang sombong dihimpunkan pada hari kiamat dalam bentuk yang mirip dengan semut yang paling kecil, tetapi berupa manusia; mereka diliputi oleh semua kehinaan hingga dimasukkanlah mereka ke dalam penjara neraka dalam sebuah lembah yang dikenal dengan nama Bulis, iaitu penjara yang terbuat dari api neraka. Mereka diberi minuman perasan keringat ahli neraka dan tinatul khabal (keringat penduduk neraka)."

"61. Dan Allah menyelamatkan orang-orang yang mereka bertakwa dengan keberuntungan mereka." 

Sebahagian yang lain kelihatan putih bersinar wajahnya. Mereka adalah ahli sunnah wal jama'ah. Kebahagiaan dan keberuntungan mereka telah ditetapkan bagi mereka di sisi Allah (dalam takdirNya).

Mafaaz bermaksud tempat kemenangan, iaitu syurga. Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dengan menjadikan mereka masuk ke syurga. Mafaaz juga bermaksud najaat (keselamatan). Allah menyelamatkan mereka kerana bersama mereka ada alat keselamatan, iaitu bertakwa kepada Allah. Takwa merupakan bekal menghadapi berbagai peristiwa menegangkan pada hari Kiamat.

"Tidak menimpa mereka keburukan dan mereka tidak berduka cita." 

Allah s.w.t. menafikan dari mereka terkena kegemparan yang dahsyat, azab dan rasa takut, sehingga mereka benar-benar aman dari semua hal yang mengejutkan. Mereka terhindar dari semua keburukan dan mendapat semua kebaikan. Keamanan sentiasa bersama mereka sampai mereka masuk ke tempat keselamatan (syurga).

"62. Allah Pencipta segala sesuatu" 

Dialah Yang Menciptakan segala sesuatu di alam bahagian atas maupun alam bahagian bawah. Segala sesuatu selain Allah adalah makhlukNya.

"dan Dia atas segala sesuatu penjaga." 

Dia Maha Pemelihara atas segala sesuatu. Dialah Yang Menguasai, Memiliki, Mentadbir, Mengatur dan Mengawasi segala sesuatu. Segala sesuatu tunduk dan terserah kepada perintahNya.

"63. BagiNya kunci-kunci langit dan bumi." 

Maqalid ertinya kunci-kunci, bahasa asalnya adalah bahasa Parsi. KepunyaanNyalah kunci-kunci perbendaharaan langit dan bumi seperti hujan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Kendali semua urusan itu berada di tangan kekuasaanNya. BagiNya kerajaan dan segala puji. Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Dia Maha Agung.

"Dan orang-orang yang mereka kafir kepada ayat-ayat Allah," 

Mereka tidak mengagungkanNya dengan sepatutnya, kafir kepada hujah-hujah dan bukti-bukti kebenaranNya.

"mereka itu, mereka orang-orang yang rugi." 

Mereka rugi kerana tidak mendapat sesuatu yang memperbaiki hati mereka, iaitu beribadah dan ikhlas kepada Allah. Mereka tidak mendapat sesuatu yang memperbaiki lisan mereka, iaitu zikrullah. Mereka tidak mendapat sesuatu yang memperbaiki anggota badan mereka iaitu ketaatan.

Mereka ganti semua itu dengan perbuatan yang merosakkan hati, lisan dan anggota badannya, sehingga mereka rugi kerana tidak mendapat syurga yang penuh kenikmatan yang diperuntukkan untuk orang-orang yang baik hati, lisan dan anggota badannya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...