Sabtu, 19 November 2016

42:16-19 Tafsir Surah Asy Syura, ayat 16-19.

وَالَّذِينَ يُحَاجُّونَ فِي اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مَا اسْتُجِيبَ لَهُ حُجَّتُهُمْ دَاحِضَةٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ (١٦) اللَّهُ الَّذِي أَنْزَلَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ وَالْمِيزَانَ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ السَّاعَةَ قَرِيبٌ (١٧) يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ بِهَا وَالَّذِينَ آمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ أَلا إِنَّ الَّذِينَ يُمَارُونَ فِي السَّاعَةِ لَفِي ضَلالٍ بَعِيدٍ (١٨) اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ (١٩)

Agama Allah telah diterima oleh orang-orang yang berakal setelah Allah menerangkan kepada mereka ayat-ayat yang qath’i (pasti) dan hujjah yang jelas.

Orang-orang kafir mendebat kaum mukmin untuk menghalang-halangi mereka dari jalan Allah, iaitu jalan petunjuk. Mereka menginginkan agar orang-orang mukmin itu kembali ke jalan Jahiliah sama dengan mereka.

Maka Allah s.w.t. berfirman mengancam mereka.

"16. Dan orang-orang yang berbantah-bantahan tentang Allah setelah apa yang diterima padanya," 

Mereka membantah agama Allah dengan hujjah-hujjah yang batil serta syubhat yang bertentangan setelah jelas kebenarannya seperti yang dilakukan orang-orang Yahudi.

"bantahan mereka sia-sia di sisi Tuhan mereka." 

Hujjahnya batil, batal dan tertolak di sisi Allah kerana mengandungi penolakan terhadap yang hak. Segala sesuatu yang menyelisihi yang hak adalah batil.

"Dan atas mereka kemurkaan" 

Mereka dimurkai Allah kerana kederhakaan, berpaling dan mendustakan hujjah-hujjah Allah serta bukti-buktinya.

"dan bagi mereka azab yang keras." 

Itu merupakan atsar (bekas) dari kemurkaan Allah kepada mereka. Inilah hukuman bagi setiap orang yang mendebat yang hak dengan yang batil.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan kepada orang-orang mukmin, "Agama kami lebih baik daripada agamamu, dan nabi kami ada sebelum nabi kamu. Maka kami lebih baik daripada kamu dan lebih diutamakan oleh Allah daripada kamu." Padahal mereka dusta dalam pengakuannya itu.

"17. Allah yang menurunkan Al Kitab dengan kebenaran dan neraca." 

Allah s.w.t. menurunkan kitab-kitab dari sisiNya kepada nabi-nabiNya. Al Qur’an diturunkan dengan membawa kebenaran, kejujuran dan keyakinan. Semuanya adalah ayat-ayat yang jelas, dalil yang terang terhadap semua tuntutan ilahi dan keyakinan dalam beragama.

Al Qur'an diturunkan dengan membawa neraca. Neraca bermaksud keadilan, supaya manusia dapat melaksanakan keadilan dan tidak melampaui batas. Termasuk ke dalam neraca adalah semua dalil ‘aqli (akal), baik ayat-ayat yang ada di ufuk maupun yang ada pada diri manusia, memandang dari sisi syar’i, munasabah (kesesuaian), illat (alasan-alasan), hukum-hukum dan hikmah-hikmah.

"Dan tahukah kamu, barang kali kiamat itu sudah dekat?" 

Maka segeralah beramal untuk menyambut kedatangannya, takutlah terhadapnya dan berzuhudlah terhadap duniawi.

"18. Minta disegerakan dengannya orang-orang yang tidak beriman kepadanya"

Mereka membangkang, mendustakan, menganggap mustahil kejadiannya, kafir, ingkar dan menganggap Tuhannya lemah.

"dan orang-orang yang beriman merasa takut darinya" 

Mereka bimbang dan takut terhadap kejadiannya kerana keimanan mereka kepadanya. Mereka tahu bahawa hari itu adalah hari pembalasan terhadap amal. Mereka takut kerana mereka kenal Tuhan mereka. Mereka takut jika amal mereka tidak membahagiakan dan tidak menyelamatkan mereka.

"dan mereka mengetahui bahawasanya dia benar." 

Mereka yakin bahawa kiamat itu pasti akan terjadi. Kerananya mereka bersiap-siap untuk menyambutnya dengan melakukan amal soleh sebagai bekalnya.

Pernah ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. dengan suara yang keras di saat Beliau berada di dalam suatu perjalanannya. Lelaki itu menyeru Nabi s.a.w. seraya berkata, "Hai Muhammad." Maka Rasulullah s.a.w. menjawab dengan suara yang sama, "Ya!" Lelaki itu bertanya, "Bilakah hari kiamat itu?" Rasulullah s.a.w. balik bertanya, "Celakalah kamu, sesungguhnya hari kiamat itu pasti terjadi, lalu apakah yang telah engkau persiapkan untuk menyambutnya?" Maka lelaki itu menjawab, "Kecintaan kepada Allah dan rasulNya." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Engkau (akan dihimpunkan bersama dengan) orang yang engkau cintai."

"Ingatlah, sesungguhnya orang-orang yang membantah tentang hari kiamat benar-benar dalam kesesatan yang jauh."

Mereka yang menganggap mustahil akan kejadian kiamat itu berada di dalam kebodohan yang nyata. Allah telah menciptakan langit dan bumi. Dia juga yang menciptakan dan menghidupkan manusia dari permulaan kemudian mematikan. Dia juga yang akan menghidupkan kembali orang-orang mati dan itu lebih mudah bagiNya.

"19. Allah Maha Lembut kepada hamba-hambaNya;" 

Kelembutan adalah salah satu sifat Allah s.w.t. Dia mengetahui yang tersembunyi maupun yang rahsia. Dia membawa hamba-hambaNya (khususnya kaum mukmin) kepada sesuatu yang terdapat kebaikan bagi mereka dari arah yang tidak mereka ketahui dan tidak mereka sangka.

Dia memerintahkan kaum mukmin ibadah yang dilakukan secara jama’i (berjamaah). Dengannya niat mereka kuat, cita-cita mereka bangkit, terjadilah perlumbaan kepada kebaikan serta mencintainya dan sebahagian mereka mengikuti sebahagian yang lain.

Dia menetapkan kepada hambaNya semua sebab yang menghalanginya berbuat maksiat, kerana dunia, harta, kepemimpinan dan sebagainya (yang biasa dikejar oleh orang-orang yang cinta dunia) akan memutuskan dan melalaikan hambaNya dari ketaatan kepadaNya serta membuatnya jatuh ke dalam maksiat. Maka Dia palingkan hambaNya dan membatasi rezekinya.

"Dia memberi rezeki siapa yang Dia kehendaki," 

Dia memberi rezeki mereka semuanya tanpa ada sesiapa pun yang dilupakan dan tanpa mengira siapa yang bertakwa atau siapa yang derhaka. Namun, Dia meluaskan rezeki siapa yang dikehendakiNya sesuai hikmah (kebijaksanaan) dan kelembutanNya.

"dan Dia Maha Kuat Maha Perkasa." 

Dia memiliki kekuatan semuanya, tidak ada daya dan upaya bagi makhluk kecuali dengan pertolonganNya. Tiada sesuatu pun yang dapat mengalahkanNya. Segala sesuatu tunduk kepadaNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...