Ahad, 20 November 2016

52:45-49 Tafsir Surat At Tur, ayat 45-49.

فَذَرْهُمْ حَتَّى يُلاقُوا يَوْمَهُمُ الَّذِي فِيهِ يُصْعَقُونَ (٤٥) يَوْمَ لا يُغْنِي عَنْهُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا وَلا هُمْ يُنْصَرُونَ (٤٦) وَإِنَّ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا عَذَابًا دُونَ ذَلِكَ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لا يَعْلَمُونَ (٤٧) وَاصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ فَإِنَّكَ بِأَعْيُنِنَا وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ حِينَ تَقُومُ (٤٨) وَمِنَ اللَّيْلِ فَسَبِّحْهُ وَإِدْبَارَ النُّجُومِ (٤٩)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang ditimpa berbagai tuduhan dan tipu daya dari kaum kafir.

"45. Maka biarkanlah mereka hingga mereka menemui hari mereka yang padanya mereka dibinasakan." 

Maka biarkanlah mereka hingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka iaitu hari Kiamat. Pada hari itu mereka dibinasakan dengan azab yang besar.

"46. Hari tidak berguna dari mereka tipu daya mereka sedikit pun dan mereka tidak ditolong." 

Terkadang ada tipu daya dari mereka yang dapat mereka lakukan di dunia, namun dalam waktu yang sebentar saja. Pada hari Kiamat, Tiada gunanya lagi tipu daya dan makar yang pernah mereka lakukan di dunia. Semua tipu daya mereka akan lenyap, usaha mereka sia-sia. Hal itu tidak dapat menolong atau membela mereka barang sedikit pun pada hari kiamat.

"47. Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim azab selain itu," 

Selain azab pada hari Kiamat, mereka diazab di dunia seperti terbunuh, tertawan, diusir, kebuluran, kemarau panjang, terbunuh pada perang Badar, azab di alam barzakh dan seumpamanya. Allah mengazab mereka di dunia dan Dia coba mereka dengan berbagai macam musibah agar mereka kembali ke jalan Allah s.w.t. dan bertaubat.

"akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui." 

Mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. terhadap diri mereka. Bahkan apabila dilenyapkan dari mereka sebahagian dari musibah dan cobaan itu, mereka kembali melakukan perbuatan buruknya. Bahkan lebih buruk daripada sebelumnya.

Perumpamaan mereka itu sama seperti unta yang tidak mengerti mengapa manusia mencucuk hidungnya dan mengapa manusia melepaskannya dengan bebas.

Allah s.w.t. telah menerangkan hujjah-hujjah dan bukti-bukti yang menunjukkan batilnya ucapan orang-orang yang mendustakan, maka Allah s.w.t. memerintahkan RasulNya s.a.w.,

"48. Dan bersabarlah pada ketetapan Tuhanmu," 

Bersabarlah terhadap ketetapan Allah baik yang qadari (alam semesta) maupun syar’i (agama) iaitu dengan tetap istiqamah di atasnya. Bersabarlah terhadap gangguan mereka. Janganlah kamu bersempit dada. Janganlah engkau hiraukan mereka. Jangan engkau pedulikan mereka sedikit pun.

"maka sesungguhnya kamu pada pengawasan Kami," 

Kami sentiasa melihat, memantau, menjaga, memelihara kamu dari gangguan manusia dan memberikan kamu kecukupan.

"dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu ketika kamu bangun." 
 
Iaitu ketika bangun dari tidur, ketika bangun berdiri hendak solat dan bangun hendak meninggalkan majlis.

Nabi s.a.w. bersabda, “Barang siapa yang terbangun dari tidurnya, lalu mengucapkan,

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ ، لَهُ الْمُلْكُ ، وَلَهُ الْحَمْدُ ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ . الْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan bagiNya segala puji. Dia Mahakuasa terhadap segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, dan Mahasuci Allah, dan tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan Allah Maha Besar dan tidak ada daya serta upaya kecuali dengan pertolongan Allah.”

Kemudian berkata,

رَبِّ اغْفِرْ لِي

“Ya Allah, ampunilah aku”

atau dia berdoa, maka doanya akan diperkenankan baginya. Jika dia bangkit, lalu berwudhu’ kemudian solat, maka solatnya akan diterima.”

Kalimat tasbih atau doa iftitah ketika bangun berdiri hendak solat adalah,

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ تَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلاَ إِلَهَ غَيْرُكَ.

“Mahasuci Engkau ya Allah sambil memujiMu, Mahaberkah NamaMu, Mahatinggi keagunganMu dan tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.”

Kalimat tasbih atau doa kaffaratul majlis ketika bangun hendak meninggalkan majlis adalah,

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ.

"Mahasuci Engkau ya Allah, dan dengan memujiMu, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, aku memohon ampun kepada Engkau dan bertaubat kepada Engkau."

Jika engkau berbuat baik dalam majlismu, maka makin bertambahlah kebaikanmu; dan jika engkau berbuat selain itu (bergaduh, berbantahan dan sebagainya), maka doamu itu merupakan kifarat (penghapus dosa)nya. Allah akan mengampuni apa yang terjadi dalam majlisnya itu.

Allah s.w.t. juga memerintahkan RasulNya s.a.w. agar dapat bersabar dengan berdzikr dan beribadah.

"49. Dan dari sebahagian malam, maka bertasbihlah kepadaNya," 

Berzikirlah dan sembahlah Dia dengan berqiyamullail melalui bacaan Al Qur'an dan solat di tengah malam iaitu solat tahajud. Ada yang menafsirkan dengan solat di waktu Maghrib dan Isya serta di waktu Fajar (solat Subuh).

"dan terbenam bintang-bintang." 

Solat yang dimaksudkan adalah dua rakaat yang dikerjakan seiring dengan terbenamnya bintang-bintang sebelum waktu fajar, iaitu sebelum solat Subuh. Dua rakaat solat sunat subuh lebih baik daripada dunia dan seisinya. Ia patut diutamakan walaupun sedang dikejar bahaya. Ada yang menafsirkan dengan solat Subuh.

Selesai tafsir surah At Tur dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...