Selasa, 1 November 2016

4:170 Tafsir Surah An Nisa, ayat 170.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَكُمُ الرَّسُولُ بِالْحَقِّ مِنْ رَبِّكُمْ فَآمِنُوا خَيْرًا لَكُمْ وَإِنْ تَكْفُرُوا فَإِنَّ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا (١٧٠) 

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan kepada seluruh manusia,

"170. Wahai manusia! Sungguh telah datang kepada kalian seorang rasul dengan kebenaran dari Tuhan kalian," 

Telah datang Nabi Muhammad s.a.w. kepada kalian dengan membawa hidayah, agama yang hak, dan keterangan yang memuaskan dari Allah s.w.t. Kedatangan Beliau s.a.w. adalah hak (benar) dan syari'at yang dibawanya juga hak.

Orang yang berakal mengetahui bahawa jika manusia tetap di atas kebodohan (masa jahiliyyah), berada dalam kekufuran dan lagi risalah telah putus, maka tidak sesuai dengan hikmah Allah dan rahmatNya jika mereka dibiarkan.

Bahkan termasuk hikmah Allah dan rahmatNya diutusNya rasul kepada mereka untuk mengenalkan mana petunjuk dan mana yang sesat, mana jalan yang benar dan mana jalan yang salah.

Dengan memperhatikan risalah Beliau s.a.w. terdapat dalil yang pasti terhadap kebenaran Beliau. Begitu juga dengan memperhatikan syari'at yang dibawa Beliau s.a.w., di dalamnya terdapat berita-berita ghaib; masa lalu maupun yang akan datang, yang hal itu tidak diketahui kecuali dengan perantaraan wahyu.

Isinya memerintahkan kepada semua kebaikan, kebenaran, keadilan, ihsan, kejujuran, berbakti kepada orang tua, menyambung silaturrahim, menunaikan amanah, menepati janji, berakhlak mulia dan melarang dari semua keburukan dan kerosakan, permusuhan dan kezaliman, akhlak buruk, dusta, derhaka kepada orang tua dan memutuskan tali silaturrahim.

Ini semua membuat kita semakin yakin bahawa apa yang Beliau s.a.w. bawa benar-benar dari sisi Allah.

"maka berimanlah kalian, lebih baik bagi kalian." 

Sebab yang mewajibkan untuk beriman kepada Beliau s.a.w. adalah pemberitahuanNya. Beriman kepada RasulNya lebih baik daripada keadaanmu sekarang ini. Baik di sini umum, baik untuk kebaikan badan, hati, ruh, dunia dan akhirat kita.

Beriman mengandungi banyak maslahat dan faedah iaitu pahala di dunia dan di akhirat, pertolongan, petunjuk, ilmu, amal soleh, kesenangan dan kebahagiaan, mendapat syurga dan kenikmatannya.

Kesengsaraan di dunia dan akhirat diakibatkan dari ketidakadaan iman atau kekurangannya. Adapun bahaya dari tidak beriman, maka banyak sekali, di antaranya ia akan mendapatkan kebalikan dari apa yang didapatkannya jika beriman.

"Dan jika kalian kafir, maka sungguh milik Allah apa yang di langit dan bumi." 

Jika seluruh manusia di muka bumi kafir dan bermaksiat, maka kekafiran dan maksiat itu tidak mudaratkanNya, tidak mengurangi kerajaanNya dan tidak merugikanNya sedikit pun. Mereka hanya merugikan dirinya sendiri. Allah tidak memerlukan hamba-hambaNya dan iman mereka. Sesungguhnya Allah Mahakaya lagi Maha Terpuji. Milik Allahlah semua yang ada di langit dan di bumi.

"Dan Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana."

Allah Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat hidayah, lalu Dia berikannya hidayah dan siapa yang berhak mendapat kesesatan, lalu Dia menyesatkannya. Dia Maha bijaksana dalam semua ucapan, perbuatan, syariat dan takdirNya. Dia Maha bijaksana dalam menempatkan kepada siapa hidayah diberikan dan kepada siapa kesesatan ditimpakan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...