Isnin, 28 November 2016

5:110-111 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 110-111.

إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ اذْكُرْ نِعْمَتِي عَلَيْكَ وَعَلى وَالِدَتِكَ إِذْ أَيَّدْتُكَ بِرُوحِ الْقُدُسِ تُكَلِّمُ النَّاسَ فِي الْمَهْدِ وَكَهْلا وَإِذْ عَلَّمْتُكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالإنْجِيلَ وَإِذْ تَخْلُقُ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ بِإِذْنِي فَتَنْفُخُ فِيهَا فَتَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِي وَتُبْرِئُ الأكْمَهَ وَالأبْرَصَ بِإِذْنِي وَإِذْ تُخْرِجُ الْمَوْتَى بِإِذْنِي وَإِذْ كَفَفْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَنْكَ إِذْ جِئْتَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ إِنْ هَذَا إِلا سِحْرٌ مُبِينٌ (١١٠) وَإِذْ أَوْحَيْتُ إِلَى الْحَوَارِيِّينَ أَنْ آمِنُوا بِي وَبِرَسُولِي قَالُوا آمَنَّا وَاشْهَدْ بِأَنَّنَا مُسْلِمُونَ (١١١)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan anugerah yang telah diberikanNya kepada hamba dan rasulNya, iaitu Nabi Isa a.s. Ingatlah, 

"110. Ketika Allah berfirman, "Wahai Isa putera Maryam!""

Sebutlah oleh lisanmu dan ingatlah dalam hatimu, serta tetaplah bersyukur kepada Tuhanmu, kerana telah memberimu nikmat yang tidak diberikanNya kepada selainmu. Beliau dikurniakan berbagai bentuk mukjizat yang jelas dan hal-hal yang bertentangan dengan kebiasaan (hukum alam).

"Ingatlah nikmatKu atas kamu dan atas ibu kamu," 

Isa a.s. diciptakan dari ibunya tanpa bapa. Allah jadikannya sebagai tanda yang menunjukkan kekuasaanNya terhadap segala sesuatu dengan penguasaan yang mutlak. Beliau dijadikan sebagai bukti bagi ibunya Maryam yang menunjukkan kebersihan dirinya dari apa yang dituduhkan oleh orang-orang yang zalim. Mereka menuduhnya telah berbuat fahisyah (zina).

"ketika Aku menguatkan kamu dengan Ruhul Qudus." 

"Ruhul qudus" adalah roh, wahyu dan malaikat Jibril a.s. Allah s.w.t. menguatkan Isa a.s. dengan roh dan wahyu yang menyucikan dirinya dan menjadi penguat dalam menjalankan perintah Allah dan mengajak manusia kepadaNya. Malaikat Jibril a.s. sentiasa mendampinginya dan mengukuhkannya di saat-saat yang berat.

"Kamu berbicara kepada manusia dalam buaian dan sesudah dewasa." 

Allah s.w.t. jadikan Isa a.s. seorang nabi yang menyeru manusia menyembah Allah s.w.t. sejak Beliau masih bayi di dalam buaian. Berbicara di sini bermaksud da'wah ilallah.

Lalu Beliau bersaksi menyatakan kebersihan diri ibunya dari setiap cela dan aib, dan Beliau mengakui sebagai hambaNya, dan Beliau beritakan kepada manusia tentang risalah yang Allah berikan kepadanya, iaitu kamu menyeru mereka untuk menyembahNya.

Seseorang disebut "dewasa" apabila telah berusia 30 tahun ke atas sampai 50 tahun. Setelah dewasa juga bermaksud setelah Beliau turun semula ke dunia menjelang kiamat, kerana Beliau diangkat ke langit sebelum mencapai umur dewasa.

"Dan ketika Aku mengajarkan Kitab, dan Hikmah," 

Allah s.w.t. mengajar Isa a.s. menulis, membaca dan diberi pemahaman dengan kitab-kitab terdahulu. Hikmah adalah mengetahui rahsia syari'at, faedah dan hukumnya, bagus dalam berdakwah dan mengajar, serta memperhatikan apa yang perlu diperhatikan.

"dan Taurat, dan Injil." 

Taurat adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Musa ibnu Imran yang digelar sebagai Kalamullah (orang yang pernah diajak berbicara langsung oleh Allah s.w.t.). Isa a.s. adalah orang yang paling mengetahui isi Taurat setelah Musa a.s. Injil adalah kitab yang diturunkan kepada Isa a.s.

"Dan ketika kamu bentuk dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu," 

Isa a.s. membentuk tanah liat menjadi patung seekor burung atas perintah Allah.

"maka kamu tiupkan di dalamnya, maka dia menjadi burung dengan izinKu." 

Isa a.s. meniup patung burung itu dengan izin Allah. Patung burung itu benar-benar hidup dan dapat terbang sebagai burung yang sebenarnya dengan izin Allah. Demikian itu merupakan ciptaanNya melalui tangan Isa a.s.

"Dan kamu menyembuhkan orang buta dan orang sakit lepra dengan izinKu." 

Isa a.s. menyembuhkan orang buta sejak lahirnya dan orang yang terkena penyakit kusta atau sopak dengan izin Allah.

"Dan ketika kamu mengeluarkan yang mati dengan izinKu." 

Isa a.s. panggil mayat dari kubur. Mereka hidup dan dapat bangkit dari kuburnya dengan izin, kekuasaan, kehendak dan keinginan Allah.

Semua ini merupakan mukjizat Beliau yang mengalahkan ilmu perubatan, kedoktoran, fizik dan biologi yang masyhur ketika itu. Maka Isa a.s. datang kepada mereka dengan membawa mukjizat-mukjizat yang tidak ada jalan bagi seorang manusia pun untuk dapat menirunya, kecuali jika diperkuat oleh Tuhan yang membuat syariat.

"Dan ketika Aku menahan Bani Israil dari kamu" 

Bani Israil berusaha untuk membunuh dan menyalib Isa a.s. Maka Allah s.w.t. menghalang niat jahat mereka ke atas Beliau. Allah selamatkan Isa a.s. dari mereka dengan mengangkat Beliau kepadaNya. Allah bersihkan Isa a.s. dari kekotoran mereka dan Allah lindungi Isa a.s. dari kejahatan mereka.

"ketika kamu datang kepada mereka dengan keterangan," 

Bani Israil berusaha untuk membunuh dan menyalib Isa a.s. ketika Beliau datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti dan hujjah-hujjah yang jelas yang membuktikan kenabian dan kerasulannya dari Allah kepada mereka.

"maka berkata orang-orang yang kafir di antara mereka, "Tidaklah ini kecuali sihir yang nyata.""

Orang-orang kafir di antara mereka berkata, "Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata." Mereka mendustakan Isa a.s. dan menuduhnya sebagai seorang penyihir.

"111. Dan ketika Aku wahyukan kepada Hawariyyin, hendaknya mereka beriman kepadaKu dan kepada RasulKu."

Allah s.w.t. menganugerahkan kepada Isa a.s. kaum Hawariyyin, iaitu para sahabat, pengikut dan penolong yang setia kepadanya. Dia mewahyukan, mengilhamkan dan memasukkan ke dalam kalbu mereka melalui Isa a.s. Beliau menyeru mereka supaya beriman kepada Allah dan rasulNya. Maka dengan serta merta mereka menyambut dan menerima seruannya. Lalu mereka tunduk dan mengikuti Isa a.s.

"Mereka berkata, "Kami beriman dan saksikanlah bahawa sungguh kami orang-orang muslim.""

Mereka telah beriman dan meminta rasulNya Isa a.s. menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang patuh kepada seruannya dan menyerah diri kepada Allah. Lalu mereka mengamalkan semua yang diilhamkan kepada mereka.

Ini semua merupakan nikmat Allah kepada hamba dan rasulNya Isa a.s., Allah mengajak Beliau untuk bersyukur kepadaNya. Maka Isa a.s. melakukannya serta bersikap sabar dalam berdakwah sebagaimana saudara-saudaranya dari kalangan para nabi.

Allah s.w.t. menganugerahkan nikmatNya kepada Isa a.s. sesudah ia diangkat ke langit dan juga pada hari kiamat. Kejadiannya pasti akan berlaku. Berita ini termasuk hal-hal ghaib yang diperlihatkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...