Ahad, 4 Disember 2016

11:41-44 Tafsir Surah Hud, ayat 41-44.

وَقَالَ ارْكَبُوا فِيهَا بِسْمِ اللَّهِ مَجْرَاهَا وَمُرْسَاهَا إِنَّ رَبِّي لَغَفُورٌ رَحِيمٌ (٤١) وَهِيَ تَجْرِي بِهِمْ فِي مَوْجٍ كَالْجِبَالِ وَنَادَى نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَبْ مَعَنَا وَلا تَكُنْ مَعَ الْكَافِرِينَ (٤٢) قَالَ سَآوِي إِلَى جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاءِ قَالَ لا عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِلا مَنْ رَحِمَ وَحَالَ بَيْنَهُمَا الْمَوْجُ فَكَانَ مِنَ الْمُغْرَقِينَ (٤٣) وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الأمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ وَقِيلَ بُعْدًا لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (٤٤)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal Nabi Nuh a.s. yang berkata kepada orang-orang yang diperintahkan agar dibawa masuk ke dalam kapalnya.

"41. Dan dia berkata, "Naiklah kalian di dalamnya dengan nama Allah pada waktu berlayarnya dan berlabuhnya.""

Dengan menyebut nama Allah ia dapat berlayar di atas air, dan dengan menyebut nama Allah pula ia dapat berlabuh di akhir perjalanannya. Mereka menaiki kapal itu pada tanggal sepuluh Rajab.

Allah berfirman, "Apabila kamu dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas kapal itu, maka ucapkanlah, "Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kami dari orang-orang zalim.” Dan berdoalah, "Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati, dan Engkau adalah sebaik-baik Yang memberi tempat."” (Al Mu’minun 23:28-29)

Maka disunatkan membaca basmalah semasa hendak menaiki apa saja kenderaan.

"Sesungguhnya Tuhanku sungguh Maha Pengampun Maha Penyayang."

Allah benar-benar mempunyai keampunan yang luas bagi manusia, walaupun mereka zalim. Dia akan menyelamatkan kita. Dia benar-benar sangat keras dan cepat pembalasan azab dan siksaNya. Dia menimpakan atas orang-orang kafir dengan menenggelamkan mereka semuanya.

"42. Dan ia berlayar dengan mereka dalam gelombang seperti gunung." 

Dalam hal tinggi dan besarnya gelombang itu, namun Allah s.w.t. menjaga kapal Nabi Nuh dan menjaga para penumpangnya.

Kapal itu berlayar membawa mereka di atas permukaan air yang telah menggenangi semua daratan di bumi dengan izin, pengawasan, pemeliharaan, penjagaan, dan kurnia Allah. Ketinggiannya sampai lima belas hasta dari puncak-puncak gunung yang tertinggi. Menurut pendapat lain, tinggi banjir besar itu mencapai lapan puluh batu.

"Dan memanggil Nuh anaknya, dan dia di tempat terpencil," 

Ketika Nuh a.s. hendak menaiki kapalnya, Beliau memanggil anaknya yang ke empat iaitu Kan’an.

"Hai anakku! Naiklah bersama kami dan janganlah kamu menjadi bersama orang-orang yang kafir." 

Nuh a.s. memanggil dan menyeru Kan'an agar beriman serta naik kapal bersama mereka supaya tidak tenggelam bersama orang-orang yang kafir.

"43. Dia berkata, "Aku akan menuju ke gunung yang akan menjagaku dari air!""

Kerana kebodohannya, Kan'an menyangka bahawa banjir itu tidak akan dapat mencapai puncak-puncak gunung, dan seandainya dia mendaki ke puncak gunung itu, nescaya dia dapat selamat dari air bah tersebut.

Maka Nuh a.s. berkata kepadanya,

"Dia berkata, "Tidak ada pelindung hari ini dari azab Allah kecuali orang yang Dia kasihani.""

Tidak ada sesuatu pun pada hari itu yang dapat melindungi dari azab Allah. Walaupun dia telah berusaha mencari sebab yang dia sangka dapat menyelamatkannya.

"Dan menghalangi di antara keduanya gelombang; maka dia menjadi termasuk orang-orang yang ditenggelamkan."

Kan’an menjauhi kapal dan isteri Nabi Nuh a.s. binasa kerana dia masih memeluk agama kaumnya, sehingga dia tertimpa apa yang menimpa kaumnya.

Allah s.w.t. telah menenggelamkan seluruh penduduk bumi kecuali Nuh a.s. dan orang-orang yang bersamanya yang ada di dalam kapal itu.

"44. Dan difirmankan, "Wahai bumi! Telanlah airmu dan wahai langit berhentilah.""

Allah s.w.t. memerintahkan kepada bumi agar menelan airnya yang telah dipancarkan darinya dan berkumpul di permukaannya. Allah memerintahkan pula kepada langit agar menghentikan hujannya.

"Dan surutkanlah air, dan diselesaikan perintah" 

Allah telah melaksanakan janjinya dengan membinasakan seluruh penduduk bumi yang kafir kepada Allah s.w.t. dan Nabi Nuh a.s., sehingga tiada sesuatu pun dari rumah mereka yang tersisa.

Kapal Nuh a.s. mengelilingi kawasan Timur dan Barat. Allah mengarahkan kapalnya ke Mekah, lalu tawaf di Baitullah selama empat puluh hari, kemudian Allah mengarahkannya ke Gunung Judi.

"dan berlabuh di atas bukit Judi," 

Kapal itu pun berlabuh di atas Gunung Judi, yang terletak di Armenia sebelah selatan, bersempadan dengan Mesopotamia. Ada juga yang mengatakan bahawa Judi adalah nama sebuah bukit yang terletak di Jazirah Arab, sebuah bukit yang terletak di Mausul atau Bukit Tur. Allahu a'lam.

Semua gunung saling meninggikan dirinya dari banjir pada hari itu agar tidak tenggelam, tetapi Gunung Judi bertawadu (merendahkan dirinya) kepada Allah s.w.t. Kerana itu, ia tidak tenggelam.

Allah s.w.t. menyelamatkan orang-orang yang beriman. Mereka berlayar di dalam kapal itu selama seratus lima puluh hari. Berlabuhlah kapal itu bersama para penumpangnya di atas Gunung Judi selama sebulan sebelum mereka turun darinya. Nuh a.s. di dalam kapalnya ditemani oleh lapan puluh orang lelaki bersama isteri-isteri mereka.

Nuh a.s. mengirimkan burung gagak untuk mendatangkan berita tentang daratan kepadanya. Lalu burung gagak pergi, dan ia hinggap pada bangkai sehingga membuatnya melalaikan tugasnya. Kemudian Nuh a.s. mengirimkan burung merpati untuk mendatangkan berita yang sama, maka burung merpati kembali dengan membawa daun pohon zaitun dan kedua kakinya berlumuran lumpur.

Sejak saat itu Nabi Nuh a.s. mengetahui bahawa air telah surut, maka ia turun ke bahagian bawah Gunung Judi, iaitu di lembahnya. Mereka keluar dari kapal pada hari Asyura bulan Muharam dan berpuasa pada hari itu.

Nuh a.s. mulai membangun sebuah kota yang diberi nama Samanin. Di suatu masa, bahasa mereka terpecah belah menjadi lapan puluh bahasa, salah satunya adalah bahasa Arab. Mereka saling tidak memahami bahasa-bahasa mereka. Nabi Nuhlah yang menjadi juru penerjemahnya di kalangan mereka.

"dan dikatakan, "Binasalah bagi kaum yang zalim.""

Binasa dan merugilah mereka serta dijauhkanlah mereka dari rahmat Allah s.w.t. Sesungguhnya mereka telah binasa sampai ke akar-akarnya, sehingga tiada seorang pun dari mereka yang masih hidup.

Allah membiarkan kapal Nabi Nuh tetap ada di atas Gunung Judi sebagai pelajaran dan petanda, hingga dapat dilihat oleh generasi pertama dari kalangan umat Nabi s.a.w. Berapa banyak kapal yang ada sesudahnya, tetapi semuanya hancur dan menjadi debu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...