Ahad, 4 Disember 2016

9:117-119 Tafsir Surah At Taubah, ayat 117-119

لَقَدْ تَابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ وَالْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ فِي سَاعَةِ الْعُسْرَةِ مِنْ بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ إِنَّهُ بِهِمْ رَءُوفٌ رَحِيمٌ (١١٧) وَعَلَى الثَّلاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّى إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الأرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنْفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَنْ لا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (١١٨) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ (١١٩) 

Allah s.w.t. berfirman,

"117. Sungguh Allah menerima taubat atas nabi, dan orang-orang Muhajirin, dan orang-orang Ansar," 

Allah s.w.t. mengampuni ketergelinciran mereka, memperbanyak kebaikan dan menaikkan mereka ke darjat yang tinggi disebabkan mereka sanggup melakukan perbuatan-perbuatan yang berat dilakukan.

"orang-orang yang mengikutinya dalam waktu kesulitan," 

Mereka berangkat menuju medan Tabuk di negeri Syam dalam situasi yang sangat berat. Mereka mengalami musim kemarau yang berat tahun itu. Cuacanya sangat kering dan panas terik. Mereka sukar mendapatkan biaya. Mereka kekurangan kenderaan sehingga sepuluh orang bergantian menunggangi seekor unta.

Mereka kesukaran mendapatkan bekalan makanan dan air sehingga ada dua orang lelaki berkongsi sebiji buah kurma. Sejumlah pasukan berganti-gantian menghisap sebiji kurma, setelah itu barulah minum air. Kemudian sebiji kurma itu berpindah ke tangan yang lain, setelah minum diberikannya kepada yang belum. Ada yang menyembelih untanya, lalu memeras bahagian perut unta yang mengandung air, kemudian meminumnya, lalu sisanya ia siramkan ke dadanya.

"dari setelah apa yang hampir berpaling hati segolongan dari mereka,"

Segolongan dari mereka hampir berpaling dari kebenaran, merasa ragu kepada agama Rasulullah s.a.w., serta bimbang kerana masyaqat dan kesengsaraan yang mereka alami dalam perjalanan mereka menuju medan perang. Sedangkan musuh berjumlah besar. Semua itu boleh menyebabkan seseorang meninggalkan perang.

Berpalingnya hati adalah dengan berpaling dari jalan yang lurus. Jika berpaling dalam hal yang berkenaan dasar agama, maka boleh menjadi kafir. Namun jika berpalingnya dalam syari’at yang cabang (bukan usul), maka keadaannya bergantung kepada sejauh mana tingginya kedudukan syari’at itu. Berpaling tersebut boleh dengan tidak melakukannya atau melakukannya namun tidak sesuai syari’at.

"kemudian Dia menerima taubat atas mereka." 

Allah s.w.t. mengilhamkan kepada mereka bertaubat kepadaNya dan kembali teguh dalam membela agamaNya. Akhirnya Allah menerima taubat mereka, menjadikan mereka tetap kukuh dan memulangkan mereka dari medan perangnya.

Abu Bakar meminta Rasulullah s.a.w. berdoa untuk mereka. Maka Rasulullah s.a.w. mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. Sebelum beliau menurunkan kedua tangannya, langit menurunkan hujan yang lebat. Kemudian keadaan menjadi tenang. Maka mereka memenuhi semua wadah yang mereka bawa dengan air. Kemudian mereka memeriksa kawasan. Hujan itu hanya turun di kawasan markas pasukan kaum muslim.

"Sesungguhnya Dia kepada mereka Maha Pengasih Maha Penyayang."

Di antara kasih sayangNya kepada mereka adalah dengan mengurniakan mereka taufik untuk bertaubat, menerimanya dan meneguhkan mereka di atasnya.

Allah s.w.t. telah berfirman kepada Rasulullah s.a.w. bahawa orang-orang munafik akan bersumpah dengan nama Allah apabila Beliau kembali ke Madinah. Tujuan mereka supaya Beliau s.a.w. tidak mencela mereka kerana tidak ikut berperang.

Setelah pulang dari medan Tabuk, Rasulullah s.a.w. pergi ke masjid, lalu solat di sana dua rak’at dan kemudian duduk di hadapan manusia.

Berdatanganlah kepada Beliau s.a.w. lapan puluh orang lebih yang tidak ikut berperang. Mereka mengemukakan uzurnya dan bersumpah. Maka Rasulullah s.a.w. menerima lahiriah mereka, membai’at mereka dan memintakan ampunan untuk mereka, serta menyerahkan rahsia hati mereka kepada Allah s.w.t.

"118. Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan," 

Mereka adalah Ka'b ibnu Malik, Hilal ibnu Umayyah dan Mararah ibnu Rabi'. Semuanya dari kalangan Ansar. Mereka sudah berniat menyertai perang itu. Ketika kaum sibuk bersiap-siap, mereka berlengah-lengah sehinga mereka ketinggalan. Kemudian mereka merasa berdosa. Mereka mengatakan dengan jujur dan berterus terang bahawa ketidakikutsertaan mereka dalam perang bukanlah kerana beruzur (berhalangan). Bahkan keadaan mereka baik dan lapang.

Mereka mengharap keampunan Allah kerana kejujurannya itu. Rasulullah s.a.w. menangguhkan urusan mereka hingga Allah s.w.t. sendiri yang memberi keputusanNya. Allah memberi jalan keluar kepada mereka dari kesempitan dan musibah yang menimpa mereka.

Rasulullah s.a.w. melarang kaum muslim berbicara dengan mereka bertiga. Manusia pun menjauhi, mengasingkan dan berubah sikap terhadap mereka.

"sehingga apabila telah sempit atas mereka bumi dengan keluasannya dan telah sempit atas mereka diri mereka" 

Bumi yang luas ini terasa sempit. Jiwa mereka terasa sempit. Semua jalan dan semua pemikiran tertutup. Tiada satu pun tempat pun yang dapat membuat mereka merasa tenteram. Mereka tidak mengetahui apa yang harus dilakukan. Kesedihan mereka amat mendalam disebabkan taubat mereka yang ditunda.

Ka'ab adalah orang yang paling muda, paling sabar, paling kuat dan paling tahan dalam menderita di antara mereka. Ia tetap ikut solat berjemaah bersama kaum muslim dan berkeliling di pasar-pasar tanpa ada seorang pun yang mahu berbicara dengannya. Sedangkan Hilal dan Mararah merasa hina dan tinggal di rumah mereka sambil menangis tiada henti-hentinya kerana menyesali perbuatannya.

"dan mereka mengira tidak ada tempat lari dari Allah, kecuali kepadaNya," 

Meloloskan diri dari kemarahan dengan suatu alasan amatlah mudah. Akan tetapi, mereka mengetahui bahawa jika mereka berdusta, tentu Allah akan mengazab dan membinasakan mereka kerana berdusta. Lebih-lebih lagi berdusta kepada Rasulullah s.a.w.

Setelah berlalu empat puluh hari Rasulullah s.a.w. mengutuskan utusan memerintahkan mereka menjauhi dan tidak mendekati isteri masing-masing hingga Allah memutuskan perkara itu menurut apa yang dikehendakiNya.

Penangguhan Allah terhadap penerimaan taubat mereka itu bukanlah kerana mereka tidak ikut berperang, tetapi ditangguhkan dari orang-orang yang mengemukakan uzurnya dan bersumpah kepada Nabi untuk mempercayainya, lalu Nabi s.a.w. menerima alasan mereka.

"kemudian Dia menerima taubat atas mereka agar mereka bertaubat." 

Allah memberi taufik kepada mereka untuk bertaubat. Mereka tetap bersabar kepada perintah Allah dan tenang menunggu perintahNya serta bersikap teguh. Allah memberikan jalan keluar bagi mereka. Akhirnya Allah menerima taubat mereka setelah lima puluh hari.

Rasulullah s.a.w. memaklumkan berita gembira itu. Orang ramai menyambutnya dengan gembira dan mengucapkan selamat kepada mereka. Akibat yang baik bagi mereka adalah berkat kejujuran mereka terhadap Rasulullah s.a.w.

"Sesungguhnya Allah Dia Maha Penerima Taubat Maha Penyayang."

Dia banyak menerima taubat, memaafkan dan mengampuni ketergelinciran dan kemaksiatan. RahmatNya sentiasa mengucur kepada semua hamba di setiap waktu, setiap saat dan di setiap detik. Dengannya urusan agama dan dunia mereka menjadi tegak.

"119. Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kalian kepada Allah," 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jujurlah kalian, kerana sesungguhnya kejujuran itu membimbing ke arah kebajikan; dan sesungguhnya kebajikan itu membimbing ke arah syurga. Dan seseorang yang terus-menerus melakukan kejujuran serta berpegang teguh kepada kejujuran pada akhirnya dia akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur (benar). Hati-hatilah kalian terhadap kebohongan, kerana sesungguhnya bohong itu membimbing kepada kederhakaan; dan sesungguhnya kederhakaan itu membimbing ke arah neraka. Dan seseorang yang terus-menerus melakukan kebohongan serta bersikeras dalam kebohongannya, pada akhirnya dia akan dicatat di sisi Allah sebagai seorang pembohong (pendusta)."

"dan jadilah kalian bersama orang-orang yang benar." 

Bersamalah dengan orang-orang benar baik dalam perkataan, perbuatan, maupun keadaan seperti Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya. Hati mereka selamat dari niat buruk, berhati ikhlas dan berniat baik. Jika engkau ingin bersama orang-orang yang benar, maka berzuhudlah kamu terhadap duniawi, dan cegahlah dirimu dari (menyakiti) saudara seagamamu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...