Jumaat, 9 Disember 2016

19:12-15 Tafsir Surah Maryam, ayat 12-15.

يَا يَحْيَى خُذِ الْكِتَابَ بِقُوَّةٍ وَآتَيْنَاهُ الْحُكْمَ صَبِيًّا (١٢) وَحَنَانًا مِنْ لَدُنَّا وَزَكَاةً وَكَانَ تَقِيًّا (١٣) وَبَرًّا بِوَالِدَيْهِ وَلَمْ يَكُنْ جَبَّارًا عَصِيًّا   (١٤) وَسَلَامٌ عَلَيْهِ يَوْمَ وُلِدَ وَيَوْمَ يَمُوتُ وَيَوْمَ يُبْعَثُ حَيًّا (١٥)

Nabi Zakaria a.s. telah mendapat khabar gembira akan lahirnya seorang anak. Maka lahirlah Nabi Yahya a.s. Beliau semakin membesar dan sudah dapat memahami perbicaraan. Allah s.w.t. mengajarinya Al Kitab, iaitu kitab Taurat, yang biasa mereka baca di antara sesama mereka, dan menjadi pegangan para nabi dalam memutuskan hukum terhadap orang-orang yang beragama Yahudi, para rabbani, dan para ahbar (pendeta).

Maka Allah s.w.t. berfirman,

"12. Wahai Yahya! Ambillah Kitab dengan kuat."

Ambillah kitab Taurat itu dengan sungguh-sungguh. Pelajarilah ia dengan sedaya upaya dan bersungguh-sungguh, baik dengan menghafalnya, memahami maknanya, mengamalkan perintah, menjauhi larangannya dan sampaikanlah kepada umatmu.

"dan Kami telah memberinya hikmah ketika kanak-kanak." 

Ketika itu Yahya a.s. berusia tiga tahun. Hal ini adalah kurnia Allah buatnya, juga buat kedua orang tuanya. Hikmah bermaksud kenabian, ilmu, pemahaman terhadap Taurat, pendalaman agama, kesungguhan, tekad, suka kepada kebaikan dan menekuninya dengan segala kemampuannya.

Kanak-kanak berkata kepada Yahya ibnu Zakaria a.s.," Marilah kita main-main, hai Yahya!" Yahya a.s. menjawab, "Kita diciptakan bukan untuk main-main."

"13. Dan rasa belas kasihan dari sisi Kami" 

Hanan bermaksud kecintaan, kasih sayang yang diiringi dengan rasa belas kasihan dan rasa rindu. Allah s.w.t. jadikan kepada Yahya a.s. rahmat, kecintaan, rasa kasih sayang kepada sesama, penghormatan dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisiNya. Tiada sesiapa pun yang dapat menilainya selain Dia.

"dan kesucian." 

Az zakah bermaksud amal soleh yang berkah, bersih dari najis, dosa dan kotoran. Allah s.w.t. jadikan Yahya a.s. bersih dari dosa dan taat kepada Tuhannya. Tidak ada sifat-sifat tercela dan akhlak yang buruk dalam dirinya. Ada yang menafsirkan dengan suka bersedekah kepada orang lain.

"Dan dia orang yang bertakwa." 

Yahya a.s. juga seorang yang bertakwa dan tidak pernah melakukan suatu dosa pun.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada seorang pun yang menjumpai Allah kelak di hari kiamat melainkan membawa dosa, kecuali Yahya ibnu Zakaria."

"14. Dan seorang yang berbakti kepada kedua orang tuanya," 

Yahya a.s. taat, berbuat baik, berbakti dan menjauhi hal-hal yang menyakitkan kedua orang tuanya, baik secara ucapan maupun perbuatan. Perintah dan larangan kedua orang tuanya selalu ditaati.

"dan tidak dia orang yang sombong orang yang derhaka." 

Yahya a.s. tidak sombong dari beribadah kepada Allah dan tidak sombong terhadap manusia, bahkan Beliau seorang yang tawadhu’.

"15. Dan sejahtera atasnya pada hari dilahirkan, dan pada hari dia mati, dan pada hari dia dibangkitkan hidup kembali." 

Hal yang paling mengerikan bagi seseorang ialah di tiga keadaan, iaitu: saat dia dilahirkan, kerana dia melihat dirinya keluar dari tempat pertamanya. Saat dia mati, maka dia melihat kaum yang belum pernah disaksikannya. Dan saat dia di bangkitkan hidup kembali, maka dia melihat dirinya berada di padang mahsyar yang luas. Allah memuliakan Yahya ibnu Zakaria a.s. dengan memberinya kesejahteraan dan aman dalam tiga hal yang menegangkan itu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...