Sabtu, 24 Disember 2016

2:8-9 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 8-9.

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ (٨)يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ (٩) 

Sifat orang munafik diterangkan di dalam surah-surah Madaniyah, kerana di Mekah tidak ada sifat munafik (nifaq), bahkan sebaliknya. Di antara orang-orang dalam tempoh Mekah ada yang menampakkan kekufuran kerana terpaksa, padahal batinnya adalah orang mukmin tulin.

Ketika Nabi s.a.w. hijrah ke Madinah, di situ telah ada kaum Ansar yang terdiri daripada kabilah Aus dan kabilah Khazraj. Di masa Jahiliah, mereka juga penyembah berhala sama seperti kebiasaan kaum musyrik Arab.

Di Madinah juga terdapat orang-orang Yahudi dari kalangan ahli kitab yang memeluk agama menurut nenek moyang mereka. Mereka terdiri daripada tiga kabilah, iaitu Bani Qainuqa' (sekutu kabilah Khazraj), Bani Nadir, dan Bani Quraizah (sekutu kabilah Aus).

Ketika Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah dan orang-orang Ansar dari kalangan kabilah Aus dan kabilah Khazraj telah masuk Islam. Hanya seorang Yahudi yang masuk Islam, iaitu Abdullah ibnu Salam r.a.

Pada saat itu (tempoh pertama Madinah) masih belum terdapat nifaq, kerana kaum muslim masih belum mempunyai kekuatan yang berpengaruh, bahkan Nabi s.a.w. hidup rukun bersama orang-orang Yahudi dan kabilah-kabilah Arab yang berada di sekitar kota Madinah, hingga terjadi Perang Badar Besar, dan Allah memenangkan kalimahNya dan memberikan kejayaan kepada Islam serta para pemeluknya.

Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul adalah seorang pemimpin di Madinah, berasal dari kabilah Khazraj. Dia adalah pemimpin kedua kabilah di masa Jahiliah, mereka bertekad akan menjadikannya sebagai raja mereka.

Kemudian datanglah kebaikan (agama Islam) kepada mereka, dan mereka semua masuk Islam, menyibukkan dirinya dengan urusan Islam, sedangkan Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul tetap pada pendiriannya sambil memerhatikan perkembangannya Islam dan para pemeluknya.

Apabila terjadi Perang Badar dan kaum muslim mendapat kemenangan, dia berkata, "Ini merupakan suatu perkara yang benar-benar telah mengarah (kepada kekuasaan)." Akhirnya dia menampakkan lahiriahnya masuk Islam, dan sikapnya ini diikuti oleh penyokongnya, juga oleh orang lain dari kalangan ahli kitab. Sejak itulah muncul nifaq (kemunafikan) di kalangan sebahagian penduduk Madinah dan orang-orang Badui yang berada di sekitar kota Madinah.

Adapun kaum Muhajirin, tidak ada seorang munafik pun di kalangan mereka kerana tiada seorang pun yang berhijrah kerana dipaksa, bahkan setiap Muhajirin berhijrah meninggalkan harta benda dan anak-anaknya kerana mengharapkan pahala di sisi Allah kelak di hari kemudian.

Allah s.w.t. memperingatkan, menerangkan dan menampakkan sifat-sifat dan ciri khas orang-orang munafik agar kaum mukmin dapat membedakan mereka dengan yang lain dan agar kaum mukmin tidak tertipu oleh lahiriah sikap mereka.
Hal tersebut akan mengakibatkan timbulnya kerosakan yang luas jika tidak berwaspada terhadap mereka dan jika meyakini keimanan mereka. Padahal kenyataannya mereka adalah orang-orang kafir. Bersangka baik kepada ahli maksiat merupakan larangan besar.

Untuk itu Allah s.w.t. berfirman,

"8. Dan dari manusia ada orang yang berkata, "Kami beriman kepada Allah dan kepada Hari Akhir,""

Mereka adalah orang-orang munafik dari kalangan kabilah Aus, kabilah Khazraj dan orang-orang yang mengikuti mereka. Nifaq atau munafik ialah menampakkan kebaikan dan menyembunyikan kejahatan. Orang-orang munafik menampakkan keislaman pada lahirnya, namun batinnya kafir. Ucapannya bertentangan dengan perbuatannya, keadaan batinnya bertentangan dengan sikap lahiriahnya, bahagian dalamnya bertentangan dengan bahagian luarnya dan penampilannya bertentangan dengan keperibadiannya.

Kemunafikan besar adalah berkaitan dengan akidah, mengeluarkan pelakunya dari Islam dan menyebabkan pelakunya kelak di dalam neraka.

Kemunafikan kecil adalah berkaitan dengan perbuatan atau amalan, ia tidaklah mengeluarkan pelakunya dari Islam namun sebagai wasilah atau pembawa kepada kemunafikan besar. Jenis ini merupakan salah satu dari dosa besar. Antaranya berdusta bila berbicara, mengingkari janji, mengkhianati amanah, malas beribadah, berat melaksanakan solat berjama'ah dan sebagainya.

Orang-orang munafik mengukuhkan kesaksiannya dengan mengaku beriman kepada Allah, hari kemudian dan Nabi Muhammad s.a.w. benar-benar Rasul Allah. Mereka mengatakan demikian semasa di hadapan Beliau s.a.w. dan orang-orang mukmin saja, padahal kenyataannya tidak demikian.

"dan tidak mereka orang-orang mukmin."

Padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Allah s.w.t. mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta.

Mereka dikatakan "tidak beriman" kerana iman yang sesungguhnya adalah pengakuan lisan yang dibenarkan oleh hati dan diamalkan oleh anggota badan. Jika tidak seperti itu sama saja dengan menipu.

"9. Mereka menipu Allah dan orang-orang yang beriman."

Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman.

Mereka menyangka bahawa diri mereka menipu menipu Allah dan orang-orang beriman dengan hanya menampakkan keimanannya pada lahiriahnya saja, sedangkan batin mereka memendam kekufuran.

"Dan tidak mereka menipu melainkan diri mereka sendiri dan tidak mereka menyedari."

Padahal mereka hanyalah menipu diri sendiri tanpa mereka sedari. Mereka menyangka hal tersebut menghasilkan manfaat di sisiNya, dapat mengelabui Allah s.w.t. sebagaimana mereka dapat mengecoh sebahagian kaum mukmin.

Kerana kebodohan mereka sendiri, akibat penipuan itu hanya kembali kepada diri mereka sendiri. Kebodohan mereka yang sangat membuat mereka tidak menyedarinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...